DARI KENANGAN KE KERINDUAN, NUHA BAHRIN KEMBALI DENGAN SINGLE BAHARU “MALAM-MALAM” — SENTUHAN ARABIC & SPANISH MEMIKAT JIWA
PENYANYI dan penulis lagu sensasi, Nuha Bahrin, kembali mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik tempatan menerusi pelancaran single terbaharu berjudul “Malam-Malam”, sebuah karya kolaboratif bersama komposer prolifik Ezra Kong di bawah inisiatif kreatif terkininya, mimpi.
Dikenali menerusi fenomena “Casablanca”, Nuha sekali lagi mempertaruhkan kekuatan vokal dan emosi dalam sebuah karya yang menggabungkan elemen bunyi Arabic dan Spanish, dipadankan dengan nuansa pop Melayu kontemporari. “Malam-Malam” mengangkat tema kerinduan yang halus namun mendalam—tentang memori, kehilangan, dan kehadiran yang kini hanya tinggal bayangan.
Lagu ini menelusuri kisah dua jiwa yang pernah berkongsi detik indah di bawah sinar bulan, namun kini terpisah oleh waktu dan jarak. Bulan menjadi simbol puitis kepada detik yang tidak mungkin berulang, menjadikan karya ini dekat dengan pengalaman emosi pendengar yang pernah merasai kehilangan.
Menurut Ezra Kong, mimpi. diwujudkan sebagai sebuah ruang ekspresi artistik yang lebih bebas dan jujur. “Projek ini menjadi wadah untuk saya bereksperimen dengan bunyi, struktur, dan penceritaan—mencari titik temu antara identiti muzik saya dan jiwa artis yang saya bekerjasama,” jelas beliau.
Inspirasi “Malam-Malam” turut berakar daripada kisah nyata, terutamanya pengalaman individu yang berjauhan daripada insan tersayang atas tuntutan tugas. Sentimen ini diterjemahkan menjadi naratif romantis yang menyentuh hati, sekaligus memberikan dimensi emosi yang autentik kepada lagu tersebut.
Bagi Nuha Bahrin, single ini membawa makna yang lebih peribadi. “Malam-Malam bukan sekadar tentang merindui seseorang, tetapi juga tentang merindui versi diri yang lama—yang lebih berani dan bebas. Ia refleksi kepada perjalanan emosi yang mungkin ramai alami, terutamanya saat sunyi di waktu malam,” ujar beliau.
Dari sudut penyampaian vokal, Nuha menampilkan pendekatan yang lebih jujur dan ‘raw’, mengimbangi kelembutan dengan nuansa emosi yang tersirat. Hasilnya, sebuah interpretasi yang bukan sahaja menyentuh, malah meninggalkan kesan mendalam kepada pendengar.
Mengiringi pelancaran lagu ini, muzik video rasmi “Malam-Malam” hadir dengan visual puitis dan simbolik, menggambarkan dunia kenangan yang terus menghantui realiti. Naratifnya memperlihatkan kewujudan dua dimensi—antara realiti dan memori—yang akhirnya memperkukuh tema kehilangan dan kerinduan yang menjadi nadi utama karya ini.
Kolaborasi ini turut menemukan kembali Nuha bersama Ezra Kong serta penulis lirik Sufairah Mohd, sekali gus membuka ruang eksplorasi artistik yang lebih berani. Gabungan elemen muzik lintas budaya dalam karya ini mencerminkan evolusi bunyi yang segar dan berdaya saing.
Dengan keunikan komposisi dan kekuatan emosi yang dibawakan, “Malam-Malam” dijangka menjadi teman setia pendengar, khususnya dalam momen-momen sunyi yang penuh refleksi.
Single “Malam-Malam” akan mula tersedia di semua platform penstriman digital bermula 24 April 2026.





