ANDI BERNADEE KEMBALI DENGAN “AKU NAK KAHWIN” — ANTHEM SANTAI PENUH MAKNA BUAT GENERASI MENANTI JODOH
PENYANYI dan penghibur versatil tanah air, Andi Bernadee, kembali menghangatkan industri muzik tempatan dengan pelancaran single terbaharunya berjudul “Aku Nak Kahwin”, sebuah karya segar yang mengangkat realiti kehidupan masyarakat moden dengan pendekatan santai, jujur dan penuh makna.
Mengangkat tema yang dekat di hati ramai, lagu ini menyelami kisah individu yang telah bersedia melangkah ke alam perkahwinan, namun masih menanti hadirnya jodoh yang tepat. Dengan lirik yang bersahaja dan terus terang, “Aku Nak Kahwin” turut menyentuh tekanan sosial serta harapan untuk membina cinta yang halal dan membahagiakan.
Menurut Andi, kekuatan utama lagu ini terletak pada mesejnya yang mudah difahami serta dekat dengan pengalaman ramai.
“Lagu ini sangat relatable, terutamanya buat mereka yang sudah lama single dan bersedia untuk berkahwin. Ia jujur, straight to the point, dan mudah untuk pendengar kaitkan dengan kisah hidup mereka sendiri,” jelas beliau.
Dalam landskap muzik semasa yang banyak dihiasi tema kekecewaan dan konflik percintaan, Andi melihat single ini sebagai satu nafas baharu yang lebih ringan dan positif.
“Kita kurang lagu dengan tema sebegini. Jadi saya ingin hadirkan sesuatu yang ‘happy’, santai dan memberi keseimbangan emosi kepada pendengar,” tambahnya.
Lebih daripada sekadar hiburan, lagu ini turut menyentuh isu sosial yang relevan, khususnya tekanan daripada keluarga dan persekitaran terhadap soal perkahwinan. Andi menegaskan kepentingan untuk menangani situasi ini dengan tenang serta kekal positif dalam menjalani kehidupan.
Dari sudut produksi, “Aku Nak Kahwin” menampilkan gabungan elemen nyanyian dan rap yang memberikan warna tersendiri kepada karya ini. Pendekatan tersebut bukan sahaja memperkaya struktur muzik, malah menjadi cabaran kreatif yang menyeronokkan buat Andi sebagai seorang artis.
Di sebalik pelancaran ini, Andi turut berkongsi perjalanan menghasilkan karya tersebut bukanlah mudah. Perancangan asal untuk melancarkan lagu bersama album penuh “Ding Geding” sebelum ini terpaksa ditangguhkan akibat masalah kesihatan. Namun tempoh tersebut dimanfaatkan sepenuhnya untuk pemulihan dan kembali dengan semangat baharu.
Kini, dengan keadaan yang semakin pulih, beliau bersyukur dapat berkongsi karya ini kepada para peminat sebagai pembuka jalan kepada album penuh yang bakal dilancarkan.
“Aku Nak Kahwin” membawa mesej ringan namun bermakna — bahawa kebahagiaan tidak diukur melalui status, sebaliknya terletak pada perjalanan hidup masing-masing. Lagu ini diharap mampu menyuntik aura positif dan menjadi teman kepada sesiapa sahaja yang sedang menanti jodoh dengan penuh harapan.
Single “Aku Nak Kahwin” boleh mula distrim di semua platform digital bermula 17 April 2026.
Ikuti perkembangan Andi Bernadee di:
Instagram | TikTok | YouTube





