Sambutan Hari Peneroka & 70 Tahun FELDA 2026 Raikan Legasi Tujuh Dekad, Perkukuh Agenda Transformasi Luar Bandar Negara
Lebih 250,000 pengunjung dijangka hadir, himpun warga peneroka, generasi baharu, pelabur, pemain industri dan masyarakat dalam sambutan terbesar sejarah FELDA
JENGKA, PAHANG | 6 Julai 2026 – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bakal mencipta satu lagi detik bersejarah menerusi Sambutan Hari Peneroka & 70 Tahun FELDA 2026, sebuah acara berskala nasional yang bukan sahaja meraikan kejayaan tujuh dekad pembangunan institusi itu, malah menandakan permulaan fasa baharu transformasi FELDA sebagai pemacu pembangunan luar bandar yang moden, berdaya saing dan mampan.
Berlangsung dari 4 hingga 7 Julai 2026 di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Jengka, Pahang, sambutan berprestij ini akan mencapai kemuncaknya pada 7 Julai 2026 (Selasa), jam 1.45 petang, menerusi majlis perasmian yang akan disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia.
Sambutan ulang tahun ke-70 ini menjadi penghormatan tertinggi kepada lebih enam dekad jasa dan pengorbanan warga peneroka yang telah bersama-sama membina kejayaan FELDA sehingga muncul sebagai antara model pembangunan luar bandar paling berjaya di dunia.
Sejak ditubuhkan pada 1 Julai 1956, FELDA telah mengubah landskap sosioekonomi negara melalui pembangunan tanah secara sistematik, pemerkasaan komuniti serta peningkatan taraf hidup ratusan ribu keluarga peneroka. Hari ini, FELDA terus berevolusi sebagai institusi pembangunan yang menggabungkan kemajuan teknologi, inovasi, pembangunan modal insan dan kelestarian sebagai teras utama masa depannya.
Pentas Memperlihatkan Wajah Baharu FELDA
Sambutan Hari Peneroka & 70 Tahun FELDA 2026 menjadi platform memperlihatkan pencapaian transformasi organisasi dalam pelbagai bidang strategik termasuk pendigitalan, kecerdasan buatan (AI), automasi, teknologi pertanian, pembangunan ekonomi, keusahawanan, pendidikan, tenaga hijau serta agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Lebih daripada sebuah sambutan ulang tahun, penganjuran ini mencerminkan aspirasi FELDA untuk terus memimpin pembangunan luar bandar berteraskan inovasi, produktiviti dan kesejahteraan komuniti, selari dengan agenda pembangunan negara.
Lebih 40 Program Berimpak Tinggi
Pengunjung bakal menikmati lebih 40 program yang dirangka bagi memenuhi pelbagai segmen masyarakat.
Antara pengisian utama termasuk:
- Transformasi Digital menerusi FELDA Robo Experience, teknologi robotik, aplikasi AI, sesi perkongsian digital dan masterclass teknologi masa hadapan.
- Kelestarian, yang menampilkan inisiatif Biodiesel B100, tenaga solar, ekonomi kitaran, pemuliharaan biodiversiti dan Jejak Lestari sebagai manifestasi komitmen FELDA terhadap pembangunan mampan.
- Ekonomi dan Industri, melibatkan pameran agensi kerajaan, demonstrasi mekanisasi ladang, teknologi pertanian moden, Field Day serta peluang pelaburan dan keusahawanan.
- Belia dan Komuniti, melalui Glow Night Run, Teroka100, Liga Sukan Belia, Rising Star Cup serta pelbagai pertandingan yang menggalakkan penyertaan aktif generasi kedua dan ketiga FELDA.
- Kerohanian dan Kekeluargaan, menerusi Khutbah Jumaat Khas Hari Peneroka serta FELDA Berselawat bagi memperkukuh nilai murni, perpaduan dan keharmonian masyarakat.
Sambutan Nasional Libatkan Seluruh Ekosistem FELDA
Berbeza daripada penganjuran sebelum ini, sambutan ulang tahun ke-70 dimulakan lebih awal bermula 1 Julai 2026 melalui pelbagai program yang dilaksanakan serentak di tanah rancangan FELDA, wilayah-wilayah FELDA serta lokasi terpilih di seluruh negara.
Pendekatan ini memberi peluang kepada seluruh warga FELDA untuk bersama-sama menghayati sejarah, pencapaian dan aspirasi masa hadapan institusi itu sebelum kemuncak sambutan di Bandar Jengka.
Secara keseluruhannya, sambutan ini dijangka menghimpunkan kira-kira 250,000 pengunjung, melibatkan warga peneroka, generasi kedua dan ketiga FELDA, agensi kerajaan, pemain industri, usahawan, pelabur, institusi pendidikan, golongan belia serta masyarakat umum.
Simbol Kesinambungan Legasi Negara
Sambutan Hari Peneroka & 70 Tahun FELDA membawa mesej bahawa kejayaan FELDA bukan sekadar legasi sejarah, sebaliknya menjadi asas kepada pembentukan masa depan pembangunan luar bandar Malaysia yang lebih progresif, inklusif dan lestari.
Dalam mendepani cabaran global, FELDA terus komited memperkukuh daya saing komuniti peneroka melalui pemerkasaan ekonomi, inovasi teknologi, pembangunan bakat, transformasi digital serta amalan pembangunan mampan demi memastikan manfaatnya terus dinikmati oleh generasi akan datang.
Kenyataan Rasmi
“Sambutan Hari Peneroka & 70 Tahun FELDA merupakan manifestasi penghargaan negara terhadap jasa warga peneroka yang telah membina asas kemajuan Malaysia. Dalam masa yang sama, sambutan ini menjadi simbol tekad FELDA untuk terus memacu transformasi, memperkukuh ekonomi komuniti, memperkasa generasi baharu dan menerajui pembangunan luar bandar yang moden, inklusif serta mampan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.”
Fakta Ringkas
- Tarikh: 4–7 Julai 2026
- Pra-Sambutan: Bermula 1 Julai 2026 di seluruh tanah rancangan dan wilayah FELDA
- Majlis Perasmian: 7 Julai 2026 (Selasa), 1.45 petang
- Lokasi: Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Jengka, Pahang
- Perasmi: YAB Perdana Menteri Malaysia
- Penubuhan FELDA: 1 Julai 1956
- Ulang Tahun: 70 Tahun
- Jumlah Aktiviti: Lebih 40
- Sasaran Kehadiran: 250,000 pengunjung





