SELEPAS PERJALANAN PENUH WARNA, FAZURA MERANGKUMKAN EMOSI DALAM “KISAH TERBAIK”

FAZURA KEMBALI DENGAN “KISAH TERBAIK”

Sebuah Balada Sarat Emosi Tentang Kekuatan, Penerimaan dan Harapan

 MENCIPTA  pelbagai detik bermakna dalam landskap hiburan tempatan, Fazura kembali memperkukuhkan perjalanan seninya menerusi pelancaran single terbaharu berjudul “Kisah Terbaik”, sebuah balada yang menyentuh jiwa dengan naratif tentang penerimaan, kekuatan dalaman dan keberanian untuk memulakan lembaran baharu.

Lebih daripada sekadar lagu cinta, Kisah Terbaik mengangkat kisah universal tentang bagaimana setiap pengalaman—sama ada manis mahupun pahit—membentuk seseorang menjadi individu yang lebih tabah, matang dan penuh harapan.

“Bagi saya, Kisah Terbaik bukan sekadar tentang cinta, tetapi tentang menerima setiap pengalaman yang membentuk diri kita. Walaupun ada kisah yang menyakitkan, akhirnya kita sedar semuanya hadir dengan hikmah. Saya berharap lagu ini dapat menjadi teman kepada sesiapa yang sedang melalui fasa untuk melepaskan dan memulakan lembaran baharu,” kata Fazura.

Single ini merupakan hasil kolaborasi bersama komposer, penulis lirik dan penerbit Aiman Sidek serta Reza Ramsey, yang berjaya menterjemahkan emosi dan penceritaan secara autentik melalui gabungan melodi yang indah dan lirik yang mendalam.

Menurut Fazura, proses pembikinan lagu ini berlangsung dalam suasana yang penuh keterbukaan dan kepercayaan, sekali gus memberi ruang kepada setiap emosi diterjemahkan dengan jujur.

“Prosesnya sangat jujur dan terbuka. Kami banyak berbincang tentang emosi yang ingin disampaikan, dan Aiman serta Reza benar-benar memahami apa yang saya ingin luahkan. Mereka memberi ruang untuk saya berkongsi pandangan dan pengalaman, menjadikan lagu ini sangat peribadi dan ikhlas.”

Dari sudut susunan muzik, Kisah Terbaik tampil dengan nuansa sinematik yang berkembang secara progresif, membawa pendengar menyusuri perjalanan emosi daripada kelembutan dan kerapuhan kepada kekuatan serta harapan yang semakin mekar.

“Saya rasa lagu ini mempunyai perjalanan emosi yang sangat indah. Ia bermula dengan rasa yang lembut dan rapuh sebelum berkembang menjadi lebih besar dan penuh harapan. Susunan muziknya benar-benar menghidupkan setiap emosi dalam lirik. Bagi saya, inilah antara karya yang paling matang dan paling dekat dengan diri saya.”

Hubungan Fazura dengan karya ini turut diperkukuhkan oleh pengalaman hidup yang telah membentuk dirinya sepanjang perjalanan sebagai wanita, ibu, usahawan dan anak seni.

“Saya percaya setiap orang melalui fasa jatuh dan bangun, begitu juga saya. Ada banyak pengalaman yang mengajar saya tentang kekuatan, keikhlasan dan menerima apa yang telah ditentukan. Sebab itu saya begitu terhubung dengan lagu ini kerana ia mengingatkan saya bahawa setiap perjalanan, walaupun sukar, tetap mempunyai makna yang indah.”

Melalui Kisah Terbaik, Fazura berharap karya ini mampu menjadi sumber ketenangan dan kekuatan buat mereka yang sedang melalui cabaran hidup.

“Harapan saya sangat sederhana. Saya berharap Kisah Terbaik dapat menyentuh hati pendengar dan memberi sedikit ketenangan kepada mereka yang sedang melalui waktu-waktu sukar. Jika lagu ini mampu membuat seseorang berasa difahami atau memberi mereka harapan untuk terus melangkah, itu sudah menjadi hadiah yang sangat bermakna buat saya.”

Dengan gabungan melodi yang memikat, susunan muzik yang sinematik serta lirik yang dekat dengan realiti kehidupan, Kisah Terbaik menjadi manifestasi kematangan Fazura sebagai seorang penyanyi yang terus berkembang, bukan sahaja dari sudut vokal tetapi juga dalam menyampaikan karya yang mempunyai nilai emosi dan kemanusiaan.

Single ini mengajak pendengar meraikan setiap episod kehidupan sebagai sebahagian daripada perjalanan menuju versi diri yang lebih kuat, lebih bijaksana dan lebih bermakna.

“Kisah Terbaik” kini boleh distrim di semua platform penstriman digital.

Ikuti Fazura
Instagram | TikTok | YouTube

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *