‘ROMANSA’ EVOLUSI SENI SABHI SADHI SEBAGAI PENYANYI BALADA ROMANTIK

TIDAK GENTAR DILABEL ‘PENYANYI WEDDING’, SABHI SADHI KEMBALI DENGAN ‘ROMANSA’

Pertaruhan Baharu Selepas Kejayaan Fenomena Cinta Sesungguhnya, Angkat Kisah Cinta Yang Tulus, Matang dan Abadi

 SELEPAS mencipta fenomena menerusi Cinta Sesungguhnya yang menjadi pilihan ramai pasangan sebagai lagu tema hari bahagia mereka, penyanyi kelahiran Sabah, Sabhi Sadhi, kembali mewarnai industri muzik tempatan dengan single terbaharu berjudul ROMANSA – sebuah karya yang meraikan keindahan cinta, kesetiaan dan pengorbanan dalam sebuah hubungan yang dibina dengan penuh keikhlasan.

Lebih daripada sekadar sebuah lagu cinta, ROMANSA menjadi manifestasi kematangan seni Sabhi yang sentiasa mengutamakan kualiti berbanding kuantiti. Beliau mengakui setiap karya yang diterbitkan perlu melalui proses pemilihan yang teliti agar benar-benar mencerminkan identiti muzik serta nilai yang ingin disampaikan kepada pendengar.

“Saya bukan jenis artis yang mengejar jumlah lagu. Saya lebih percaya kepada karya yang mempunyai jiwa, mesej dan mampu meninggalkan kesan positif kepada pendengar. Sebab itu saya mengambil masa yang agak panjang sebelum tampil dengan lagu baharu,” katanya.

Menurut Sabhi, setiap lagu yang dipilih perlu membawa naratif yang membina dan mampu menyentuh emosi tanpa mengangkat mesej negatif yang boleh mempengaruhi pendengar.

“Bagi saya, muzik bukan sekadar hiburan. Ia mempunyai pengaruh yang besar terhadap emosi dan pemikiran seseorang. Saya mahu setiap lagu yang saya nyanyikan memberi harapan, bukan keputusasaan.”

Menyahut Cabaran Selepas Kejayaan Cinta Sesungguhnya

Selepas kejayaan luar biasa Cinta Sesungguhnya, Sabhi mengakui cabaran terbesar ialah memastikan karya baharunya mampu memenuhi jangkaan peminat.

“Saya sentiasa bertanya kepada diri sendiri, apakah lagu yang mampu menyamai impak Cinta Sesungguhnya. Saya tidak pernah bersaing dengan artis lain, tetapi saya sentiasa mahu menghasilkan karya yang lebih baik daripada karya saya sendiri.”

Walaupun ramai mengaitkan lagu-lagunya dengan majlis perkahwinan, Sabhi melihat persepsi itu sebagai satu penghargaan terhadap hasil seninya.

“Saya tidak kisah jika orang melabel saya sebagai penyanyi ‘wedding’. Jika lagu saya menjadi pilihan pasangan untuk mengiringi hari paling bermakna dalam hidup mereka, itu satu penghormatan yang sangat besar buat saya.”

.

Kolaborasi Kreatif Yang Berkongsi Visi

ROMANSA menyaksikan Sabhi bergandingan dengan komposer Farouk Roman dan penulis lirik Senna, satu kolaborasi yang disifatkan berjalan lancar kerana semua pihak berkongsi falsafah seni yang sama.

“Kami mempunyai visi yang sama iaitu menghasilkan lagu yang berkualiti, jujur dan mampu menyentuh hati pendengar. Saya juga banyak berkongsi idea mengenai emosi, jalan cerita dan suasana yang ingin diterapkan dalam lagu ini.”

Dari segi muzik, ROMANSA hadir dengan susunan melodi romantis yang lembut dipadankan dengan lirik puitis yang mengisahkan perjalanan cinta dua insan yang terpisah akibat ujian kehidupan sebelum dipertemukan semula.

Berbeza dengan Cinta Sesungguhnya yang lebih memfokuskan kepada detik penyatuan dalam perkahwinan, ROMANSA membawa naratif yang lebih dramatik tentang perjalanan sebuah hubungan sebelum menemukan pengakhiran yang bahagia.

Farouk Roman: Lagu Tentang Menghargai Sebelum Kehilangan

Selaku komposer, Farouk Roman berkata idea menghasilkan ROMANSA lahir daripada keinginan untuk menghasilkan karya yang dekat dengan realiti kehidupan masyarakat.

“Tema cinta dan kehilangan adalah sesuatu yang universal. Kita sering hanya menyedari nilai sesuatu hubungan apabila ia mula menjauh atau hilang.”

Beliau menjelaskan inspirasi lagu tersebut merupakan gabungan pengalaman peribadi dan pemerhatian terhadap kisah-kisah kehidupan di sekeliling.

Menurutnya, kekuatan utama ROMANSA terletak pada penceritaan yang jujur serta melodi yang mudah dihayati oleh semua lapisan pendengar.

“Sabhi memiliki karakter vokal yang sangat sesuai untuk lagu ini. Cara beliau menyampaikan emosi benar-benar menghidupkan keseluruhan cerita.”

Farouk turut mendedahkan beberapa bahagian rakaman diulang beberapa kali bagi memastikan setiap emosi yang ingin disampaikan benar-benar mencapai tahap terbaik.

Sabhi Teraju Sendiri Muzik Video

Keistimewaan ROMANSA bukan hanya terletak pada lagunya, malah turut diterjemahkan melalui sebuah muzik video yang lebih sinematik dan dramatik.

Sabhi mengambil cabaran sebagai pengarah muzik video dengan mengangkat kisah perjalanan cinta daripada pertemuan, perpisahan sehingga penyatuan semula dalam sebuah ikatan perkahwinan.

Beliau mengakui cabaran terbesar ialah membimbing barisan pelakon yang tidak mempunyai pengalaman dalam bidang lakonan.

“Saya memilih wajah-wajah baharu kerana mahu mendapatkan emosi yang lebih asli. Cabaran utamanya ialah membimbing mereka menghidupkan setiap babak daripada kegembiraan, kesedihan sehingga saat penyatuan semula.”

Sebuah Karya Yang Ingin Kekal Dekat Di Hati Pendengar

Bagi Sabhi, kejayaan sebenar sesebuah lagu bukan sekadar jumlah tontonan atau penstriman, tetapi sejauh mana karya itu mampu menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup pendengarnya.

“Saya berharap ROMANSA mampu terbang lebih tinggi seperti Cinta Sesungguhnya. Lebih penting, saya mahu pendengar dapat melihat diri mereka dalam lagu dan muzik video ini kerana cinta sentiasa hadir bersama pengorbanan.”

Dengan gabungan melodi romantis, lirik yang menyentuh emosi serta visual sinematik yang kuat, ROMANSA dijangka terus memperkukuhkan kedudukan Sabhi Sadhi sebagai antara penyanyi balada romantik yang konsisten menghasilkan karya berkualiti dalam industri muzik tempatan.

Diterbitkan oleh AJ Productions, ROMANSA kini boleh distrim di semua platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *