CINTA, LUKA & DIALEK: SEBUAH INTERPRETASI BAHARU BABY SHIMA

BABY SHIMA MELAKAR SEJARAH PERIBADI
SINGLE SULUNG DIALEK KELANTAN, BEY KELIK LAA BEY

PENYANYI versatil dan berpengaruh, Baby Shima, sekali lagi membuktikan keberanian artistiknya dengan melancarkan single terbaharu berjudul BEY KELIK LAA BEY, sekali gus menandakan kemunculan sulung beliau merakamkan lagu sepenuhnya dalam dialek Kelantan.

Karya istimewa ini menampilkan sentuhan komposer tersohor Eddie Hamid, dengan lirik yang digarap secara kolaboratif oleh Fadil Turbo, Mama Ana, Jaju dan Te Ha. Gabungan ini menjadikan BEY KELIK LAA BEY sebuah karya yang sarat emosi, berakar budaya dan segar dari segi penyampaian.

Idea penghasilan lagu berdialek Kelantan ini tercetus secara organik hasil sokongan serta permintaan berterusan peminat Baby Shima, khususnya dari Pantai Timur, yang sering melontarkan cadangan melalui media sosial. Keunikan dialek tersebut, yang sarat kelembutan meskipun membawa emosi marah atau pilu, menjadi daya tarikan utama lagu ini.

“Ramai peminat dari Kelantan selalu tinggalkan komen minta saya cuba nyanyi lagu Kelate. Lama-lama, saya sendiri jatuh cinta dengan keunikan dialeknya. Walaupun bunyinya marah, tetap kedengaran comel,” ujar Baby Shima.

Bagi memastikan sebutan dialek Kelantan disampaikan dengan tepat dan autentik, Baby Shima mengakui beliau meluangkan masa lebih seminggu untuk berlatih secara intensif. Proses rakaman turut diserikan dengan pelbagai momen santai dan mencuit hati.

“Ada masa terkeluar juga loghat Semenanjung, jadi saya rasa belum puas hati. Paling kelakar bila rakam dalam keadaan lapar — memang mudah tersasul. Tapi lepas makan budu, terus ‘on’ balik dialek Kelantan,” katanya sambil berseloroh.

Mengulas kerjasama bersama Eddie Hamid, Baby Shima menyifatkannya sebagai pengalaman yang berbeza dan sangat positif. Beliau memuji komposer itu sebagai seorang mentor yang tenang, sabar dan profesional.

“Dalam studio, abang Eddie jadi cikgu, saya pula murid yang suka buat lawak. Dari sebutan hingga teknik vokal, semuanya dia pantau dengan teliti. Walaupun banyak ketawa dan ulang rakam, prosesnya sangat lancar. Abang Eddie memang penyabar, mungkin sebab dah ‘immune’ dengan perangai saya,” tambah Shima dengan nada gurau.

Dari segi naratif, BEY KELIK LAA BEY mengangkat kisah kekecewaan dan kerinduan seorang wanita yang dilukai oleh janji palsu cinta. Lagu ini merakamkan perasaan pilu seorang insan yang masih berharap kekasihnya kembali setelah menghilangkan diri, menjadikannya sebuah balada emosi yang dekat dengan jiwa pendengar.

Single BEY KELIK LAA BEY terbitan Kijang Music dan edaran Nova Music  mula distrim di semua platform penstriman muzik bermula 31 Disember 2025, tepat di ambang tahun baharu. Video muzik rasmi pula akan ditayangkan secara perdana pada hari yang sama, jam 8.00 malam, menerusi saluran YouTube Kijang Music.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *