SUARA BAHARU, RASA YANG ABADI — AZEVA DAN ‘TANPA RASA JEMU’

AZEVA BUKA LANGKAH PERTAMA DALAM INDUSTRI MUZIK MENERUSI ‘TANPA RASA JEMU’

Karya Sarat Makna Tentang Cinta Tanpa Syarat Diangkat Sebagai OST Filem Bisikan Nafsu

 HADIR membawa suara dan cerita yang tersendiri, penyanyi baharu Azeva membuka lembaran pertama perjalanan seninya menerusi single sulung berjudul “Tanpa Rasa Jemu”, sebuah karya yang mengangkat tema kasih sayang, kesetiaan dan cinta yang tetap teguh biarpun berdepan pelbagai ujian.

Lebih istimewa, karya ciptaan Zul (2By2), Aiman dan Madi Mulyadi dengan lirik nukilan ibunya, Datuk A. Aida, itu turut diberi penghormatan apabila dipilih sebagai runut bunyi rasmi (OST) filem Bisikan Nafsu yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 1 Oktober 2026.

Pemilihan “Tanpa Rasa Jemu” sebagai single sulung bukan sekadar memperkenalkan sisi vokal Azeva kepada khalayak, malah menjadi sebuah permulaan yang cukup peribadi buat dirinya apabila karya tersebut turut menghubungkan perjalanan seninya dengan insan yang paling dekat di hatinya.

Menurut Azeva, daripada beberapa buah lagu yang diperdengarkan kepadanya, “Tanpa Rasa Jemu” hadir dengan tarikan tersendiri sejak detik pertama.

“Daripada semua lagu yang saya dengar, Tanpa Rasa Jemu benar-benar menyentuh hati saya. Saya jatuh cinta dengan susunan muzik, lirik dan keseluruhan dinamik lagu ini. Setiap kali mendengarnya, saya rasa tidak puas.

“Lagu ini juga sangat istimewa kerana mama turut terlibat dalam proses pembikinan lirik, manakala Abang Zul, Aiman dan Madi banyak membimbing saya sepanjang proses rakaman.

“Sebagai lagu pertama saya, pengalaman ini sangat bermakna dan saya amat bersyukur kerana mereka membimbing saya dari A hingga Z tanpa pernah berputus asa,” katanya.

Cinta Yang Tidak Mengenal Jemu

Bagi Azeva, kekuatan “Tanpa Rasa Jemu” terletak pada mesejnya yang dekat dengan naluri manusia – tentang sebuah kasih yang tidak mudah menyerah apabila berdepan dugaan.

Lagu ini berkisarkan tentang cinta yang terus dipertahankan dengan penuh kesetiaan, meskipun perjalanan yang dilalui tidak sentiasa mudah.

Mesej tersebut selari dengan jalan cerita Bisikan Nafsu, yang mengetengahkan kisah seorang lelaki yang tetap setia mencintai pasangannya meskipun diuji dengan cabaran yang berat.

Namun, Azeva melihat makna “Tanpa Rasa Jemu” lebih luas daripada sekadar hubungan antara dua insan.

Menurutnya, nilai kasih tanpa syarat turut dapat diterjemahkan melalui hubungan kekeluargaan – tentang insan yang sentiasa menerima, memahami dan memberikan sokongan tanpa mengenal penat mahupun jemu.

Justeru, karya ini diharap bukan sekadar menjadi lagu tema sebuah filem, tetapi turut menemukan ruangnya sendiri dalam hati pendengar yang pernah merasai makna sebuah kasih yang ikhlas.

Dari Kelas Vokal Ke Pentas Seni

Mengakui dirinya masih baharu dalam dunia nyanyian profesional, Azeva tidak melihat pengalaman yang terbatas sebagai penghalang, sebaliknya menjadikannya sebagai ruang untuk terus belajar dan memperbaiki diri.

Proses rakaman “Tanpa Rasa Jemu” memberikan pengalaman baharu buat Azeva, khususnya dalam aspek teknik vokal, sebutan, kawalan suara dan penghayatan terhadap sesebuah karya.

Penglibatannya dalam kelas vokal juga membantu meningkatkan keyakinan untuk berhadapan dengan persembahan secara langsung.

“Pengalaman mengikuti kelas vokal menjadikan saya lebih yakin untuk membuat persembahan secara langsung, sekali gus membuktikan bahawa setiap proses pembelajaran telah membentuk diri saya sebagai seorang penyanyi yang lebih matang,” katanya.

Buat Azeva, perjalanan seorang penyanyi bukan hanya tentang memiliki suara, tetapi turut menuntut disiplin, kesediaan menerima teguran dan keberanian untuk terus berkembang.

Tidak Berhenti Pada Single Sulung

Biarpun “Tanpa Rasa Jemu” baru sahaja membuka tirai perjalanan seninya, Azeva sudah mempunyai beberapa perancangan untuk meneruskan langkah dalam industri muzik.

Dua projek rakaman baharu sedang dalam perancangan, termasuk sebuah versi baharu lagu “Sejiwa” yang mempunyai nilai sentimental buat keluarganya serta sebuah lagi karya yang bakal dijadikan lagu tema (OST) untuk sebuah animasi.

Perancangan tersebut memperlihatkan kesungguhan Azeva untuk membina perjalanan muziknya secara berperingkat, dengan terus meneroka karya dan genre yang mampu memperlihatkan perkembangan dirinya sebagai seorang penyanyi.

“Harapan saya semoga semua orang terus mendengar Tanpa Rasa Jemu, tanpa rasa jemu juga. Saya mahu lagu ini kekal di hati pendengar dan menjadi karya yang sentiasa mereka ingati.

“Ini hanyalah permulaan perjalanan saya dalam dunia muzik, dan saya berharap dapat terus berkongsi lebih banyak karya selepas ini,” katanya.

Single sulung Azeva, “Tanpa Rasa Jemu”, diterbitkan menerusi kerjasama Nova Music Malaysia dan A. Aida Production dan mula distrim di semua platform penstriman muzik pada 11 September 2026.

Muzik video rasmi lagu tersebut turut boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos bermula jam 3 petang, 11 September 2026.

“Tanpa Rasa Jemu” – sebuah kisah tentang kasih yang memilih untuk terus bertahan, terus percaya dan terus mencintai, tanpa mengenal jemu.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *