MALAM NOSTALGIA PENUH ELEGAN: ERNIE ZAKRI & SYAMEL MENDAKAP TAHUN BAHARU DI LE MERIDIEN

Konsert Nostalgia New Year’s Eve Cipta Pengalaman Eksklusif di Le Méridien Petaling Jaya

SAMBUTAN ambang Tahun Baharu 2026 di Le Méridien Petaling Jaya diraikan dengan penuh elegan menerusi Konsert Nostalgia New Year’s Eve, sebuah acara eksklusif yang menampilkan gabungan keindahan muzik, keselesaan hospitaliti dan sentuhan nostalgia yang menghangatkan malam penutup tahun.

Dianjurkan hasil kolaborasi strategik antara Universal Music Malaysia dan Le Méridien Petaling Jaya, konsert tertutup (indoor) ini menawarkan alternatif segar kepada kebiasaan sambutan Tahun Baharu yang sering dikaitkan dengan kesesakan dan suasana terbuka. Bertempat di ballroom hotel mewah tersebut, para tetamu disajikan pengalaman sambutan yang lebih tersusun, selesa dan intim.

Malam berprestij ini diserikan dengan persembahan istimewa daripada Ernie Zakri, Syamel serta sentuhan muzik bertenaga oleh DJ Fuzz, sekali gus mencipta suasana yang seimbang antara emosi, nostalgia dan keterujaan menyambut tahun baharu.

Syamel menyifatkan penganjuran konsert ini sebagai satu pengalaman yang baharu dan signifikan dalam perjalanan seninya.

“Ini merupakan kali pertama saya terlibat dalam sambutan Tahun Baharu yang dianjurkan secara tertutup. Apabila dimaklumkan oleh Universal Music mengenai kerjasama bersama Le Méridien, kami sendiri teruja kerana ia sesuatu yang belum pernah kami lakukan sebelum ini,” katanya.

Menurut Syamel, suasana tenang dan teratur memberikan dimensi baharu ketika beraksi di pentas.

“Pengalaman menyanyi dalam suasana yang sangat selesa dan eksklusif ini benar-benar berbeza. Lazimnya sambutan Tahun Baharu sinonim dengan hiruk-pikuk, namun malam ini segalanya berjalan begitu lancar sehingga tanpa sedar kita sudah pun melangkah ke tahun baharu,” tambahnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para peminat, rakan media dan pihak penganjur atas sokongan berterusan yang menjayakan acara tersebut.

Sementara itu, Ernie Zakri mengakui pada awalnya berasa sedikit gusar memandangkan konsert Malam Tahun Baharu kali ini berlangsung di dalam sebuah ballroom.

“Kami tidak pasti bagaimana ‘vibe’ dan reaksi penonton kerana ini bukan kebiasaan. Namun dari segi keselesaan, suasana dewan sememangnya sangat menyenangkan,” ujarnya.

Namun, kebimbangan tersebut segera terlerai sebaik persembahan bermula.

“Apabila Syamel memulakan nyanyian dan saya mendengar sorakan penonton, Alhamdulillah, ‘feel’ yang dirasai tidak jauh berbeza dengan konsert luar. Emosi dan tenaga yang terhasil tetap sama,” jelasnya.

Ernie turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas kepercayaan yang diberikan.

“Kami amat berterima kasih kepada Le Méridien dan Universal Music kerana memberi peluang serta kepercayaan untuk mengendalikan konsert Malam Tahun Baharu ini. Ia sesuatu yang mencabar kerana kebiasaannya orang memilih untuk meraikannya di luar, namun malam ini menjadi istimewa apabila mereka memilih untuk bersama kami,” katanya.

Menurut Ernie, Konsert Nostalgia New Year’s Eve merupakan projek yang amat bermakna buat dirinya dan Syamel.

“Ini adalah projek yang benar-benar membahagiakan kami, dan kami bersyukur kerana dapat merealisasikannya dengan jayanya,” tambah beliau.

Konsert ini dilengkapkan dengan persembahan DJ Fuzz yang menyuntik elemen nostalgia dan tenaga segar, menjadikan keseluruhan pengalaman sambutan Tahun Baharu ini sebagai satu detik eksklusif yang penuh kenangan dan kehangatan buat semua tetamu yang hadir.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *