TENTANG NILAM ; PERIHAL KOMENG
Jalan berliku ke Genting menuju ke destinasi tujuan memberi ingatan tentang cerita hidup yang tidak pernah lurus. Pun begitu dek liku liku yang mencabar dan menguji sabar dan perlu cekal, itulah yang pasti membawa kita ke titik temu yang ditakdirkan.
Kami mengambil masa hampir sejam untuk tiba ke Batang Kali dari Taman Permata, Kuala Lumpur. Perjalanan yang melalui tol Gombak itu kelihatan lancar dan santai sahaja.
Sepanjang perjalanan kami bercerita tentang Genting Highland. Kata Amizan sudah lama dia tidak naik Genting. Dan saya, dua tahun lalu menyambut tahun baharu di Genting. Tiada yang menarik sangat melainkan terlalu ramai yang datang. Terasa seperti berada di dunia lain dengan himpunan manusia yang berkumpul di Genting.
Jika ada kelainan pun tentunya menikmati turunnya salji tiruan selepas maghrib. Selebihnya Genting tetap Genting. Bagi saya, bercuti tiga hari dua malam sudah memadai. Menikmati keindahan suasana. Hanya itu. Makanan pula mahal. Kena bawa duit lebih untuk tujuan makan minum atau ingin menaiki permainan yang ada. Mujur penginapan ditaja. Lebih selesalah bila bercuti di hotel lima bintang sesekali sekala.
Ahh, melalut pulak perihal destinasi Genting. Cerita sebenar kami perlu sampai ke Batang Kali. Tujuan untuk melawat pejabat utama Nilam HQ sekaligus mengabadikan fotografi suasana di sana bersama kakitangan Nilam. Paling penting ingin melihat sendiri fenomena parcel Minyak Herba Nilam yang sedang diperkatakan di Tiktok dan media massa lainnya.
Sepanjang perjalanan jugak, saya berbual dengan Rose tentang mengapa Batang Kali menjadi pejabat Operasi Nilam HQ. Nilam dan Azlan Komeng menetap di Semenyih. Ini bererti hampir dua jam untuk sampai setiap hari. Apa tarikan Batang Kali sehingga menjadi pilihan kedua pasangan sensasi ini?
Saya membuat andaian mudah adalah produk Nilam HQ berasaskan herba. Barangkali di daerah Batang Kali mudah untuk mendapatkan bahan mentah sebegitu. Alam semula jadi Batang Kali tentunya memiliki khazanah herba yang tidak ternilai.
Nilam tersenyum manis apabila mendengar pertanyaan saya itu. Lady Boss yang pintar bercakap dan pantas merancang strategi syarikat ini ternyata ada perancangan yang lebih besar berbanding sangkaan saya. Bagi Nilam, situasi persekitaran Batang Kali yang terbelakang dari hiruk pikuk suasana Lembah Klang, bukan bererti ianya gagal untuk menyumbang sesuatu untuk Nilam HQ. Malahan ianya lebih dari itu. Di daerah sini banyak kemudahan dan keperluan yang diperlukan.
“Saya ingin memberikan sesuatu yang berbeza untuk Nilam HQ, daripada persekitaran yang jauh dari hiruk pikuk Kuala Lumpur, banyak kelebihan lain yang orang tidak tahu tentang daerah Batang Kali ini. ” Cerita Nilam membuka rahsia tentang lokasi Batang Kali.
Saya tidak mahu mengulas lanjut tentang ‘rahsia’ tersembunyi Batang Kali itu. Pun begitu bagi saya percaturan Puan Nilam dan Tuan Azlan wajar dipuji. Berada di luar Kuala Lumpur sekaligus memberi peluang pekerjaan kepada anak tempatan adalah sesuatu yang amat bertanggungjawab. Ketika ramai remaja ingin ke bandar besar, bagaimana pula dengan daerah yang sedikit dilupakan? Sedangkan di daerah itu banyak keistimewaan yang kita tidak gali dan singkap,
Melihat senyum para pekerja Nilam HQ yang rata-rata anak muda dari daerah Batang Kali dan sekitarnya, saya pasti ini juga jawapannya. Memberi ruang dan peluang kepada mereka yang tidak ingin meninggalkan daerah sendiri bukanlah sesuatu yang indah. Nilam HQ telah menyempurnakan impian dan keinginan mereka untuk terus dekat dengan keluarga tercinta. Menarik bukan?
Sebenarnya apa yang dapat saya katakan, ketika melihat sendiri bungkusan parcel yang bertimbun dalam guni yang tinggi, saya teruja dan turut berbangga dengan pencapian drastik Nur Nilam Ortiz dan Azlan Komeng ini.
Hanya dengan takdirNya yang menghantar ramuan Minyak Herba Nilam ketika Azlan terlantar sakit separuh nyawa satu ketika dahulu dan berjaya pulih dalam waktu terdekat, telah mendatangkan hasil yang lumayan pada masa seterusnya. Siapa sangka minyak urut yang pada asalnya untuk merawat si suami telah menjadi
enomena untuk semua golongan terutama mereka yang menderita penyakit saraf. Sekaligus ianya menjadi amal jariah berterusan dari Nilam HQ untuk kita semua. Alhamdulilah atas rahmat dan rezekinya.
Saya sendiripun terkejut mendengar harga yang murah amat. Apatah lagi dengan pelbagai ramuan akar kayu dalam dan luar negara diadun dengan resipi istimewa, tetapi harganya hanya RM35 untuk tiga botol. Logikkah dengan harga sebegitu? Apatah lagi dengan kos produksi yang tentunya bukan sedikit. Sesuatu yang berkaitan dengan herba, saya pasti bukannya murah cap ayam.
“Jika Anwar mengatakan ianya murah. Ada lagi golongan yang tidak mampu membelinya. Kita merasakan harga itu murah tetapi ada yang masih tidak mampu membeli. Inilah tujuan kami untuk terus menjadikan Minyak Herba Nilam terus dengan harga yang sama. Kerana saya pasti, sesiapa yang menggunakannya pasti akan merasakan kesan pada penyakit yang dialami mereka. Insya-Allah,” jelas Nilam dengan jujur. Ada rasa sebak dan terharu di kelopak matanya.
Barangkali rasa syukur kerana minyak untuk suami tercinta, telah membuahkan sesuatu yang berbeza dalam kehidupan mereka dan Nilam HQ. Ramai yang berkongsi rezeki di TikTok selaku affiliate Minyak Herba Nilam.
“Apa moment terindah di sepanjang wujudnya Nilam HQ?” tanya saya mengorek rahsia keduanya.
”Moment terindah dalam wujudnya Nilam HQ adalah sokongan dari keluarga dan orang sekeliling tiada henti dan membuatkan kami semangat untuk terus berfikiran ke depan,” tokok Azlan.
“Fenomena Minyak Herba adalah luar biasa, bagaimana kalian melihat nilai kejayaan daripada kejutan ini?”
“Kami tak sangka dalam beberapa bulan sahaja Minyak Herba Nilam diminati oleh orang kebanyakan dan saya bersyukur dapat membantu ramai orang yang mempunyai masalah saraf dan pelbagai penyakit lainnya lagi”
“Dengan kejayaan sekarang apakah visi dan sasaran Nilam HQ untuk 5 tahun akan datang ?”
“Kami harap Nilam HQ akan menjadi peneraju industri penghasilan produk seratus peratus bahan semula jadi yang berkualiti tinggi, memberikan manfaat kesihatan yang terbukti, dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat melalui inovasi dan kelestarian,” cerita Nilam penuh semangat.
“Menjadi jutawan dalam masa singkat adalah sesuatu yang hebat untuk Nilam HQ, bagaimana kalian berhadapan dengan situasi begini,” tanya saya lagi.
“Menjadi jutawan dalam masa singkat adalah pencapaian yang hebat, namun kami di Nilam HQ memahami bahawa kejayaan sebenar tidak hanya diukur dari segi kekayaan semata-mata. Kami melihat peluang untuk meraih kejayaan sebagai langkah pertama dalam perjalanan yang lebih besar. Di Nilam HQ, kami lebih menekankan pada pembangunan produk dan perkhidmatan yang memberi manfaat berpanjangan kepada pelanggan, serta memastikan setiap keputusan yang kami ambil memberi impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar.
“Walaupun kejayaan segera mungkin berlaku, kami sentiasa mengutamakan strategi yang mampan dan pengurusan kewangan yang bijak. Kami mahu memastikan bahawa kejayaan kami bukan hanya bersifat sementara, tetapi memberi asas yang kukuh untuk pertumbuhan yang berterusan dan memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat.
“Kami juga percaya bahawa kejayaan yang dicapai dengan nilai dan integriti adalah lebih bermakna daripada sekadar pencapaian kewangan.
“Oleh itu, kami komited untuk terus berinovasi, meningkatkan kualiti produk, dan memberikan nilai kepada pelanggan kami, sementara memastikan kelestarian dan tanggungjawab sosial tetap diutamakan,” jelas keduanya saling bercerita tentang visi dan perasaan mereka.
“Tentunya ada rahsia di sebalik semua kejayaan luar biasa ini bukan?”
“Tiada rahsia yang boleh dikatakan terlalu rahsia. Kejayaan hari ini barangkali bersebab dengan pelbagai jatuh bangun kami dalam dunia perniagaan selama ini. Berkat kesabaran dan terus bersabar serta yakin satu hari nanti ada ‘sesuatu’ yang hebat akan Allah berikan; inilah yang saya katakan rahsianya.” cerita Azlan.
Sempat juga saya bertanya pada Nilam apa nasihat dan tips yang dapat diberikan untuk mereka yang ingin berjaya seperti Nilam HQ?
– “Untuk berjaya dalam perniagaan, penting untuk mengenali pasaran dan pelanggan dengan baik, merancang strategi yang jelas, dan sentiasa fokus kepada inovasi. Pengurusan kewangan yang bijak, pembangunan jenama yang kuat, serta hubungan jangka panjang dengan pelanggan adalah kunci kejayaan.
“Selain itu, pengurusan masa dan sumber yang efisien, serta pertumbuhan yang berperingkat, akan memastikan kelestarian perniagaan. Membangun rangkaian dan sentiasa belajar serta beradaptasi dengan perubahan pasaran adalah penting untuk memastikan perniagaan terus berkembang dan relevan.” kata Nilam penuh panjang lebar.
Saya akui kebenaran kata-kata Nilam itu. Untuk berjaya memang memerlukan strategi yang terbaik daripada semua segi. Ianya tidak boleh sekadar cantik di atas kertas tetapi untuk merealisasinya amat sukar sekali.
Sempat juga saya mengusik keduanya ketika saya datang ke Batang Kali, isu tentang Azlan Komeng akan berkahwin lagi tengah hebat diviralkan. Pelbagai versi diceritakan. Sehinggakan kita tidak pasti kebenarannya.
Bertemu tuan badan, saya rasa lebih selesa bertanya sendiri. Baik Azlan maupun Nilam tidak mengelak dengan pertanyaan demi pertanyaan panas yang saya utarakan. Keduanya cukup bijak mengendalikan isu yang hangat diperkatakan.
Saya tidak mahu menyentuh soal tersebut, tetapi ada isu lain yang buat saya seronok melihat pasangan hebat itu. Keduanya memiliki sikap yang berbeza. Berbanding Azlan yang lebih cool, Nilam agak ke depan dalam banyak hal. Nyatanya sebagai Lady Boss Nilam membuktikan kehebatannya yang tersendiri. Beliau bijak mengendalikan segala hal dengan cara yang positif meskipun bagi sesetengah orang merasakan Nilam terlalu agresif berbanding Azlan.
“Saya akui itu. Memang saya lebih dominan dan lantang. Saya bukan jenis manusia yang hipokrit. Saya akan berterus terang apa yang saya rasa. Memang adakalanya kedengaran agak pedas dan berani tetapi itulah diri saya. Saya perlu bercakap tentang fakta dan ada hala tujunya.
“Lebih lima tahun saya dan Azlan berkahwin banyak perkara yang kami lalui. Bayangkan kami kenal seminggu terus kahwin. Tetapi saya anggap itu jodoh yang telah disuratkan. Kami akan terus ke hadapan bersama. Azlan tetap ada bersama saya. Itu sudah memadai. Bagaimana perbezaan sikap saya dan dia, itu bukan lagi satu masalah. Kami ada cara tersendiri mencipta bahagia dan keindahan berumah tangga,”
“Nilam, saya pasti di sebalik sikap tegas dan berani Nilam itu boleh saya katakan, Nilam juga ada hati kecil yang mudah tersentuh dan mudah menangis bukan? Ianya tidak ditunjukkan pada sesiapa kan? Hanya pada Dia?” usik saya.
Nilam angguk dan mengakui kebenaran kata-kata saya itu. Apatah lagi semenjak memeluk Islam, jiwanya berasa lebih tenang dan damai. Segala apa yang membelenggu diri dizahirkan pada yang Esa dalam solat dan tahajudnya. Itulah selalu Nilam amalkan untuk memujuk hati dan diri ketika dihimpit bahagia dan cabaran hidup.
Momen berhijab beliau juga menarik perhatian ramai. Semua kagum dengan kecantikan Nilam yang tersendiri itu. Makahan ketika fotografi muka depan ini, Nilam umpama wanita Asia Barat yang anggun mempesona. Dengan solekan dari Khai Lanang kecantikan sebenar Nur Nilam Ortik terserlah.
Sebelum balik sempat saya bertanyakan kepada keduanya. Siapakah idola mereka?
Bagi Nilam, ayahnya adalah idola yang menjadikan dia hebat seperti sekarang. Sementara Azlan Komeng yang bakal ke kerusi pengarahan, menjadikan Dato’ Rosyam Nor sebagai idolanya.
Untuk kedua pasanagan sensasi dan jutawan ini semoga kalian terus sukses dengan kejayaan yang berterusan. Semoga juga terus tabah dengan segala dugaan hidup. Ingatlah Allah menguji ketika kita senang dan susah.Hidup ini adalah ujian. Hanya yang sentiasa bersyukur, reda dan yakin dengan takdirNya akan dilimpahi rahmat yang berkekalan hingga ke jannah.
Saya, Amizan dan Rose tinggalkan Batang Kali dengan cerita indah. Insya-Allah kita akan berkunjung lagi ke Batang Kali kerana rasanya ada ‘rindu’ dan ‘agenda’ yang menggamit untuk datang semula selepas ini.
Batang Kali tunggu kami datang lagi!
Biodata
Nama penuh : Mohd Azlan Bin Kamiran
Nama komersil : Azlan Komeng
Asal : Batu Pahat Johor
Hobi : bersilat dan melukis
Pendidikan : Sarjana Muda Seni Halus
Kerjaya : Pelakon / Usahawan
Antara filem / drama / teater yang dilakonkan?
Filem : Anak Perjanjian Syaitan, Impak Maksima , Langgar
Drama: KL Menjerit the series, Gerak Khas, Kelas Tahanan Cikgu Hiragi
Facebook : Azlan Komeng,
Muhammad Azlan Azlan komeng
Instagram : Azlan Komeng
Nama penuh : Mohd Azlan Bin Kamiran
Nama komersil : Azlan Komeng
Asal : Batu Pahat Johor
Hobi : bersilat dan melukis
Pendidikan : Sarjana Muda Seni Halus
Kerjaya : Pelakon / Usahawan
Antara filem / drama / teater yang dilakonkan?
Filem : Anak Perjanjian Syaitan, Impak Maksima , Langgar
Drama: KL Menjerit the series, Gerak Khas, Kelas Tahanan Cikgu Hiragi
Facebook : Azlan Komeng,
Muhammad Azlan Azlan komeng
Instagram : Azlan Komeng
Biodata:
Nama penuh : Suzane Ortiz
Nama komersil : NilamOrtiz
Asal : Thailand
Adik Beradik : Anak Tunggal
Hobi: Berniaga
Pendidikan : Phd In Psychology
Kerjaya : Usahawan / Pelakon
Antara Drama yang pernah dilakonkan : Jalan Sesat Ke Syurga,
Nomi Chamber, Menukah Kasih, Kelas Tahanan Cikgu Hiragi.
Anugerah : Anugerah Usahawan Madani
Facebook Nur Nilam Ortiz
Instagram : NurNilam_Ortiz
Tiktok : Puan Nilam Ortiz
Foto : Amizan Ahmad
Mua : Khai Lanang
Busana : Dato’ Anas Abdullah / Nilam Hq
Penyelaras : Rose Cun
Konsep : Anwar Razali
Mua : Khai Lanang
Busana : Dato’ Anas Abdullah / Nilam Hq
Penyelaras : Rose Cun
Konsep : Anwar Razali





