Wong Mew Choo Dilantik Duta Rasmi I MISHANG, AI SEE LIFE Perkukuh Langkah Strategik Ke Pasaran Malaysia
SELEPAS lebih sedekad mencipta kejayaan di China, jenama penjagaan kulit profesional I MISHANG, di bawah naungan AI SEE LIFE, kini secara rasmi melebarkan pengaruhnya ke pasaran Malaysia menerusi pelancaran eksklusif yang berlangsung penuh gemilang baru-baru ini.
Beroperasi selama 12 tahun di China, I MISHANG hadir bukan sekadar sebagai jenama kecantikan biasa, tetapi memperkenalkan satu ekosistem penjagaan diri menyeluruh yang membawa pengguna daripada sekadar tampil cantik kepada menikmati gaya hidup yang lebih berkualiti dan seimbang.
Majlis pelancaran tersebut turut menyaksikan pengumuman istimewa apabila bekas pemain badminton nombor satu negara, Datin Seri Wong Mew Choo, diperkenalkan sebagai duta rasmi jenama I MISHANG Malaysia.
Lebih bermakna, acara berprestij itu turut dimeriahkan dengan kehadiran suami tercinta, legenda badminton negara Datuk Seri Lee Chong Wei, bersama anak-anak mereka yang hadir memberikan sokongan penuh sempena sambutan kejutan ulang tahun kelahiran Wong Mew Choo.
Mengangkat falsafah perniagaan “Lead With Love, Illuminate Life”, I MISHANG menitikberatkan standard keselamatan produk yang tinggi dengan mengekalkan prinsip formulasi tanpa hormon, tanpa logam berat dan bebas bahan terlarang, sekali gus memberi keyakinan kepada pengguna terhadap keberkesanan serta keselamatan produk.
Berbeza dengan kebanyakan model perniagaan kecantikan lain, AI SEE LIFE turut menegaskan bahawa syarikat mereka tidak mewajibkan pembelian pakej tertentu mahupun sistem tambah nilai, memastikan setiap perbelanjaan pengguna benar-benar tertumpu kepada keperluan penjagaan diri tanpa kos tersembunyi.
Dalam masa sama, AI SEE LIFE turut komited terhadap pembangunan sosial menerusi pelaksanaan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang memberi fokus kepada golongan ibu tunggal serta individu orang kurang upaya (OKU) dengan menyediakan peluang latihan dan keusahawanan bagi membantu mereka menjana pendapatan.
Ketua Pegawai Eksekutif I MISHANG, Sheri Yap, berkata syarikat komited untuk membangunkan lebih ramai usahawan dalam industri kecantikan.
“Selagi mereka mempunyai kesungguhan untuk belajar dan berusaha, kami bersedia melatih mereka menjadi pakar kecantikan profesional, menyediakan peluang pekerjaan yang stabil serta membantu mereka menjana pendapatan yang mampan.”
Menurut beliau, I MISHANG kini berkembang sebagai sebuah sistem perniagaan kecantikan holistik dan bukan sekadar bergantung kepada promosi produk semata-mata.
“I MISHANG bukan sekadar penjagaan kulit, tetapi sistem peningkatan gaya hidup yang menyeluruh — daripada kesihatan kulit kepada kesejahteraan hidup secara keseluruhan. Ia dibangunkan oleh pasukan profesional dan diposisikan sebagai jenama estetik serta healing bertaraf premium.”
Beliau turut menjelaskan bahawa produk I MISHANG amat sesuai dengan pengguna Malaysia kerana memenuhi tiga keperluan utama pasaran tempatan iaitu:
- Hidrasi ringan tanpa rasa melekit
- Perlindungan kulit sesuai dengan gaya hidup berhawa dingin
- Formula lembut untuk kulit berminyak dan sensitif
Kini, produk I MISHANG boleh didapati di 20 outlet terpilih di seluruh negara selain boleh dibeli menerusi platform e-dagang rasmi AI SEE LIFE.
Malaysia dipilih sebagai destinasi pengembangan strategik kerana dilihat sebagai antara pasaran penjagaan kulit paling pesat berkembang di rantau ini, sekali gus menjadi pintu masuk penting bagi pengembangan jenama tersebut ke seluruh Asia Tenggara.
Menyentuh mengenai sasaran pasaran, Sheri berkata I MISHANG kini memberi fokus kepada pengguna bandar berusia 20 hingga 45 tahun, khususnya golongan profesional berumur 25 hingga 40 tahun yang lebih peka terhadap keberkesanan produk penjagaan kulit premium.
Sementara itu, Wong Mew Choo berkata keputusan beliau menerima tawaran sebagai duta jenama tersebut bukan didorong faktor komersial semata-mata, sebaliknya kerana nilai kemanusiaan yang dibawa syarikat berkenaan.
“Saya tertarik kerana mereka bukan sekadar menjual produk tetapi turut membantu masyarakat melalui latihan percuma kepada ibu tunggal dan golongan OKU untuk mendapatkan pekerjaan.”
“Ini merupakan kali pertama saya bersetuju menjadi duta produk kerana saya percaya penglibatan ini mampu memberi manfaat kepada orang lain.”
Beliau turut mengakui selama ini lebih memberi fokus kepada keluarga serta anak-anak dan jarang menerima tawaran komersial.
“Bukan kerana wang saya menerima tawaran ini, tetapi kerana nilai dan tanggungjawab sosial yang dibawa oleh jenama ini sangat bermakna.”
Antara tetamu kehormat yang memeriahkan majlis termasuk YM Sharifah Wani Jamalullail, YM Tunku Dayang Adelene Bahjah, Emma Maembong, Datuk Seri Lee Chong Wei, Nancy, Cisee Tan, Standi Yap, Dato’ Joe Lee serta Datin Win Lock.
Pelancaran ini menandakan permulaan baharu buat I MISHANG dalam memperkukuhkan kedudukannya sebagai jenama kecantikan premium yang bukan sahaja menitikberatkan kecantikan luaran, malah turut membawa impak sosial yang lebih besar kepada masyarakat.
Media Sosial : Facebook : I Mishang Malaysia : Ai See Life
Instagram : imishang_malaysia
Tiktok : i.mishang.life





