MAHER ZAIN PERKENAL ERA BAHARU DENGAN ALBUM TERKINI “BACK TO YOU”

MAHER ZAIN KEMBALI DENGAN ALBUM STUDIO TERBAHARU ‘BACK TO YOU’

Album Penuh Pertama Dalam Tempoh Sedekad Tampilkan Perjalanan Muzik dan Spiritual Lebih Mendalam

 AWAKENING Music dengan penuh bangga mengumumkan pelancaran album studio terbaharu daripada ikon muzik berinspirasikan keimanan bertaraf global, Maher Zain, berjudul Back To You. Pelancaran ini menandakan album studio penuh pertama beliau dalam tempoh 10 tahun, sekali gus menjadi antara karya paling dinantikan oleh peminat di seluruh dunia.

Selepas kejayaan luar biasa menerusi karya-karya terdahulu seperti Rahmatun Lil’Alameen dan Qalbi Fil Madinah, yang meraih jutaan penstriman global serta mendapat tempat istimewa dalam hati pendengar antarabangsa, Maher kembali dengan sebuah karya yang lebih matang dari sudut seni, emosi dan spiritual.

Album Back To You menampilkan 16 buah lagu yang menggabungkan penulisan dalam Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris, disulami elemen muzik kontemporari serta pengaruh ritma Afrika dan Afrika Utara. Namun, identiti utama Maher kekal utuh menerusi mesej-mesej keimanan yang mendalam merangkumi refleksi diri, harapan, zikir, keikhlasan serta tawakal kepada Tuhan.

Menurut Maher Zain:

“Album ini dinamakan Back To You kerana ia membawa makna kembali kepada Tuhan, kepada keikhlasan, kepada tujuan hidup dan kepada perkara yang benar-benar penting. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, saya berkembang dari sudut peribadi dan spiritual, dan album ini mencerminkan perjalanan tersebut. Saya mahu muzik ini hadir dengan rasa yang jujur, penuh renungan dan relevan—terutamanya ketika Ramadan, saat hati lebih terbuka untuk mencari makna.”

Album ini dibangunkan menerusi siri kem penulisan lagu antarabangsa yang berlangsung di Morocco, Turkey, Sweden, dan Indonesia, menghimpunkan bakat kreatif dari pelbagai negara Islam serta industri muzik global.

Antara kolaborator yang terlibat termasuk artis Harris J, rakan kolaborasi lama Maher, Bara Kherigi, serta beberapa penulis lagu antarabangsa yang memainkan peranan penting dalam pembentukan album ini.

Berbeza daripada pelancaran album konvensional, Back To You akan diperkenalkan menerusi strategi pelancaran berfasa yang dirancang bersempena perjalanan spiritual bulan Ramadan.

Kempen ini bermula pada penghujung Januari dengan pengenalan rasmi album, diikuti pelancaran lagu baharu setiap minggu bermula awal Februari. Setiap karya disusun dengan teliti agar selari dengan emosi dan refleksi spiritual sepanjang Ramadan—daripada fasa persediaan, pengabdian, muhasabah diri sehingga pembaharuan jiwa.

Pendekatan unik ini memberi ruang kepada pendengar untuk benar-benar menghayati setiap karya secara mendalam, menjadikan setiap lagu sebagai pengalaman refleksi tersendiri.

Pengarah Urusan Awakening Music, Bara Kherigi berkata:

“Maher Zain merupakan artis luar biasa yang muziknya telah menjadi sebahagian daripada suasana spiritual Ramadan di seluruh dunia. Ini adalah album studio penuhnya yang pertama dalam tempoh sedekad dan kami mahu setiap karya diberikan penghormatan sewajarnya. Back To You bukan sekadar album, tetapi sebuah perjalanan spiritual yang berkembang minggu demi minggu.”

Beberapa lagu dalam album ini turut menyentuh tema pergantungan kepada Tuhan ketika berdepan kesunyian dan ketidakpastian, kecintaan terhadap Nabi Muhammad SAW, serta pencarian universal manusia terhadap petunjuk, rahmat dan hubungan spiritual yang lebih mendalam.

Menerusi Back To You, Maher Zain sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai antara suara paling berpengaruh dalam landskap muzik berinspirasikan keimanan global masa kini—menghasilkan karya yang bukan sahaja didengar, tetapi benar-benar dirasai dan dihayati.

Album penuh Back To You dijadualkan dilancarkan pada awal April 2026 di semua platform penstriman digital global.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *