“YANG ENGKAU MAHUKAN” CERMINAN FASA BAHARU HAFIZ SUIP

HAFIZ SUIP GUGUP NAMUN YAKIN DENGAN SINGLE TERBAHARU, Yang Engkau Mahukan

WALAUPUN telah hampir dua dekad mengukir nama dalam industri muzik sejak menjuarai Akademi Fantasia Musim 7 pada tahun 2009, penyanyi bersuara emas, Hafiz Suip, mengakui perasaan gugup masih hadir setiap kali melancarkan karya baharu.

Perasaan itu kembali dirasai saat beliau merakamkan single terbaharunya, Yang Engkau Mahukan, sebuah karya ciptaan sepenuhnya oleh komposer tersohor Ajai. Lagu ini diterbitkan oleh Sheikh Qalam Records Sdn Bhd dengan kerjasama Sony Music Entertainment Malaysia, sekali gus menyaksikan kesinambungan kolaborasi mantap antara Hafiz dan Ajai.

Menurut Hafiz, keistimewaan karya Ajai terletak pada keunikan melodinya yang tidak statik, sentiasa berkembang dari segi emosi dan bunyi.

“Saya akui tetap berasa gementar kerana kita tidak tahu bagaimana penerimaan peminat, lebih-lebih lagi dalam landskap industri muzik yang kini semakin kompetitif dengan kemunculan ramai penyanyi lelaki baharu,” jelasnya.

Namun begitu, Hafiz melihat single ini sebagai hadiah istimewa buat peminat setia yang sekian lama menantikan karya baharu daripadanya.

Lebih peribadi, lagu ini turut menyentuh sisi kehidupannya sendiri, khususnya selepas beliau mendirikan rumah tangga bersama isterinya, Fiona Safiya, pada 13 Februari 2026 di Petrajaya, Kuching.

“Karya ini ada kaitan dengan perjalanan hidup saya. Selebihnya, biarlah pendengar menafsirkan sendiri makna di sebaliknya,” katanya.

Dari sudut produksi, Hafiz berkongsi bahawa proses rakaman dilakukan secara teliti bersama Ajai, termasuk penyesuaian semula ‘key’ vokal bagi mencapai dinamika suara yang paling tepat dengan emosi lagu.

Ajai sendiri memuji komitmen Hafiz yang hadir ke studio dengan persediaan rapi serta kematangan muzik yang semakin menyerlah.

“Suara lunaknya masih kekal, tetapi penghayatannya kini lebih mendalam. Dia tahu apa yang dimahukan, baik dari segi teknikal mahupun bunyi yang relevan dengan era semasa,” ujar Ajai.

Single Yang Engkau Mahukan mengambil masa sekitar sebulan untuk disiapkan, bermula daripada perbincangan konsep sehingga pembentukan melodi akhir. Lagu ini kini telah dilancarkan di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music sejak 16 Januari 2026.

Dengan pendekatan yang lebih matang dan emosional, Hafiz berharap karya ini mampu menyentuh jiwa pendengar serta terus memperkukuh kedudukannya dalam industri muzik tanah air.

“Terimalah Yang Engkau Mahukan,” ujar Hafiz penuh harapan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *