APFF-62 BAWA PETER PAU ; SYAFIQ KYLE RISING ICON

FESTIVAL FILEM ASIA-PASIFIK KE-62 KEMBALI KE MALAYSIA

Bermula 29 November 2025 — Menampilkan Peter Pau sebagai Ketua Juri dan Syafiq Kyle Dinobatkan “Asia-Pacific Rising Icon”

 Festival Filem Asia-Pasifik (APFF) ke-62 secara rasmi dilancarkan 10 Ogos lalu dalam satu sidang media penuh gemilang di GSC Mid Valley Megamall, menandakan kembalinya salah satu perayaan sinematik paling berprestij di rantau ini ke tanah air.

Ditubuhkan pada tahun 1954 oleh Federation of Motion Picture Producers in Asia-Pacific (FPA), APFF telah menjadi pentas utama meraikan kecemerlangan sinema serantau sambil memupuk pertukaran budaya antara negara anggota. Edisi kali ini akan berlangsung dari 29 November hingga 6 Disember 2025 di Kuala Lumpur, dengan semua tayangan rasmi dihoskan oleh GSC Cinemas selaku Rakan Pawagam Rasmi.

Aron Koh, Pengerusi Penganjur APFF ke-62 berkata:

“Kepulangan APFF ke Malaysia adalah satu penghormatan besar. Ia bukan sekadar meraikan pawagam, tetapi menjadi bukti keyakinan terhadap potensi industri kreatif negara. Festival ini adalah untuk semua yang percaya pada kuasa cerita yang mampu merentasi sempadan dan menyentuh jiwa.”

Setiausaha Agung FPA, Pansha, turut menegaskan:

“Membawa APFF kembali ke Malaysia ibarat pulang ke rumah. Pawagam kekal sebagai medium paling berkuasa untuk membina hubungan dan memperkukuh pertukaran budaya. APFF hadir untuk membuka lebih banyak ruang dialog dan kolaborasi merentas negara.”


Pelantikan Peter Pau sebagai Ketua Juri

Antara pengumuman utama pada pelancaran ini ialah pelantikan ahli sinematografi tersohor, Peter Pau — pemenang Academy Award for Best Cinematography menerusi karya ikonik Crouching Tiger, Hidden Dragon.

Dilahirkan di Hong Kong dan lulusan San Francisco Art Institute, Peter Pau terkenal dengan gaya visual yang puitis dan bertenaga. Beliau telah memenangi enam Hong Kong Film Awards untuk Sinematografi Terbaik, dan pernah bekerjasama dengan pengarah terkemuka seperti John Woo, Ang Lee, Wong Kar-wai, dan Ronny Yu. Senarai karya beliau merangkumi The Killer, The Bride with White Hair, The Promise, Shoot ’Em Up, dan The Forbidden Kingdom.


Syafiq Kyle Terima Anugerah “Asia-Pacific Rising Icon”

Pelakon Malaysia Syafiq Kyle diumumkan sebagai penerima Asia-Pacific Rising Icon Award tahun ini — pengiktirafan terhadap sumbangan beliau yang kian menonjol dalam industri filem serantau. Sejak mencuri perhatian umum melalui Hero Remaja, Syafiq terus mempamerkan versatiliti dalam pelbagai genre, termasuk filem Sheriff, Narko Integriti, The Experts, dan Blood Brothers: Bara Naga.


Reka Bentuk Visual Rasmi oleh Iqbal Hakim Boo

Edisi ke-62 turut memperkenalkan visual rasmi festival hasil karya pereka bebas Malaysia, Iqbal Hakim Boo. Reka bentuk ini mencerminkan komitmen APFF terhadap identiti artistik Asia-Pasifik dan integriti kreatif yang menjadi teras festival sejak penubuhannya.


Sokongan dan Penajaan

APFF ke-62 dianjurkan oleh Lomo Pictures Sdn. Bhd. dengan kerjasama Federation of Motion Picture Producers in Asia-Pacific (FPA) sebagai Rakan Penaja Utama, serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sebagai Rakan Sokongan.

Festival ini turut menerima sokongan GSC International Screens sebagai Rakan Pawagam Rasmi, serta tajaan daripada KK Mart, HotChain Media, dan Nuvo Clinic, di samping Fortune Media selaku Rakan Strategik dan MARQI sebagai Rakan Teknologi Digital.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *