STAMINA – BUKAN SEKADAR LAGU

SONAONE TAMPIL DENGAN “STAMINA” – ANTHEM EMOSI TENTANG KETAHANAN JIWA DALAM KEKALUTAN MODEN
Penyanyi, penulis lirik dan penerbit muzik terkemuka ini kembali dengan karya penuh kejujuran dan kedalaman rasa

 IKON hip hop kontemporari tanah air, SonaOne, kembali merancakkan industri muzik Malaysia dengan peluncuran single terbaharu berjudul “Stamina”, sebuah karya introspektif yang menyentuh tema ketahanan emosi dalam menghadapi gelora perasaan dan kekalutan kehidupan harian.

Dilancarkan secara rasmi di semua platform penstriman digital, Stamina menampilkan sisi lebih matang, reflektif dan tulus dari artis yang sinonim dengan keaslian dan inovasi sonik dalam karyanya. Lagu ini merupakan cetusan suara hati tentang usaha menahan rasa, mengekalkan ketenangan ketika segalanya terasa menggoncang dari dalam.

“Ia tentang mengekalkan ‘cool’ dalam situasi yang tak menentu. Tentang bila kita mahu meluahkan, tapi kita pendam — berharap orang itu tak pergi begitu saja. Ini stamina emosi – ketahanan jiwa, bukan sekadar kekuatan fizikal,” jelas SonaOne.

Menariknya, pembikinan lagu ini bermula secara spontan — hanya dengan hook “mmm-mmm-mmm” yang dirakam secara rawak dan akhirnya kekal sebagai elemen utama dalam versi akhir. Struktur lagu ini kemudiannya diperhalusi dengan kerjasama K1O yang menyempurnakan lirik, serta Wolfy yang menyusun binaan muzik berdasarkan draf awal SonaOne.

“Saya tak cuba terlalu keras. Saya ikut rasa. Kadang-kadang lagu terbaik hadir bila kita biarkan ia mengalir. Demo asal ‘Stamina’ sendiri sudah ada jiwa. Kami hanya memperhalusinya tanpa membuang rohnya. Dari lakaran ke gambaran penuh, degupan jantungnya kekal,” katanya lagi.

Stamina bukan sekadar lagu — ia adalah naratif peribadi yang dikongsi secara jujur oleh seorang seniman yang kini lebih selesa dan yakin dengan ekspresi dirinya. Bagi SonaOne, ini hanya permulaan kepada fasa baharu dalam kerjaya seninya.

“Ini baru pemanasan. Kenobi season akan datang. Akan ada lebih banyak muzik, lebih banyak visual, dan lebih banyak cerita. Kali ini, saya menulis dan berkarya tanpa sebarang kompromi — cara saya sendiri.”

Dengan produksi berkualiti tinggi, tanpa gimik, tanpa sensasi yang dibuat-buat, Stamina adalah manifestasi keikhlasan seorang seniman yang mendengar suara hatinya. SonaOne kembali bukan untuk mengejar arus, tetapi untuk mencipta gelombangnya sendiri.

“Stamina” kini boleh didengari di semua platform digital termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music dan lain-lain.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *