KORBAN RINDU PUTERA BOBO VIRAL

PUTERA BOBO LAKAR SEJARAH SENDIRI DENGAN SINGLE SULUNG “KORBAN RINDU”

Remaja viral TikTok tembusi carta Trending YouTube dalam masa 24 jam

MENYATU bakat semula jadi, kisah inspirasi dan impian besar, penyanyi remaja sensasi TikTok, Putera Bobo, kini secara rasmi memulakan langkah profesionalnya dalam dunia seni suara dengan pelancaran single sulung berjudul “Korban Rindu”, terbitan Nova Music.

Dalam masa kurang 24 jam selepas pelancaran rasmi pada 2 Julai lalu, muzik video Korban Rindu berjaya menembusi Top 20 Trending YouTube Malaysia, sekali gus menandakan satu pencapaian luar biasa buat penyanyi muda berusia 14 tahun itu.

Putera Bobo atau nama sebenarnya Putera Shah Nasratullah bin Mohd Nasran mula meraih perhatian apabila videonya mendendangkan lagu “Korban Perceraian” sambil mengenakan kostum maskot beruang tular di TikTok dan meraih lebih 5 juta tontonan. Nyanyian beremosinya bukan sahaja menyentuh hati warganet, malah telah membuka ruang rezeki apabila menarik perhatian pengasas kosmetik terkenal, Azian Zaid Khan atau lebih dikenali sebagai Kak Long Rosel Whitening.

Menurut Kak Long, beliau terpanggil untuk membantu Putera Bobo selepas mendengar sendiri persembahannya di Uptown Jerteh, Terengganu. “Saya tidak melihat beliau sekadar fenomena viral. Bakatnya luar biasa. Saya yakin, jika dibimbing dengan betul, Putera Bobo mampu menjadi ikon seni suara yang disegani,” ujar beliau yang juga memainkan peranan penting dalam mempertemukan Putera Bobo dengan label dan penggiat muzik profesional.

Hasil kerjasama Molek FM, Nova Music dan penerbit muzik tersohor, Eddie Hamid, Putera Bobo menjalani sesi rakaman rasmi di NAR Record, Taman Tun Dr Ismail pada 21 Jun lalu. Lagu Korban Rindu, ciptaan Eddie bersama penulis lirik Jaju, Hakim Hakimi, dan Te Ha, dibentuk khusus untuk menonjolkan kekuatan vokal dan emosi Putera Bobo sebagai penyanyi muda berjiwa besar.

“Putera menyanyi dari hati. Itu kekuatannya. Bakat seperti ini sangat bernilai dalam industri muzik tempatan dan saya percaya lagu Korban Rindu adalah permulaan kepada perjalanan seni yang lebih luas buat beliau,” kata Eddie Hamid yang tidak menolak potensi besar Putera untuk pergi jauh di peringkat lebih tinggi.

Ibu kepada Putera Bobo, Puan Elyani, turut meluahkan rasa syukur dan bangga apabila bakat anak ketiganya daripada lima beradik itu diberi ruang untuk bersinar. “Putera memang suka lagu yang beremosi. Sejak kecil dia sudah aktif dalam nasyid dan persembahan sekolah. Kini impiannya untuk menjadi penyanyi rakaman menjadi kenyataan,” katanya yang turut mendedahkan penglibatan keluarga mereka dalam kumpulan dikir barat Arwana Seri Muda, yang menjadi asas kepada minat Putera dalam bidang seni.

Meskipun berusia muda dan masih bersekolah di SMK Putra, Kampung Darau, Jerteh, Putera Bobo sudah membuktikan bahawa suara dan emosi mampu menyentuh jutaan hati, tanpa mengira usia atau latar belakang.

Muzik video Korban Rindu kini boleh ditonton di saluran rasmi Nova Music Videos di YouTube menerusi pautan berikut:
🎬 https://www.youtube.com/watch?v=zeoP9k6O-fQ

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *