SITI NURHALIZA LEGENDA MUZIK ASIA TENGGARA

SITI NURHALIZA DIMAHKOTAKAN SEBAGAI LEGENDA MUZIK ASIA TENGGARA

NAMA  besar Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, sekali lagi mencipta sejarah apabila diiktiraf oleh agensi antarabangsa, SeaAsia Stats, sebagai Legenda Muzik Asia Tenggara.

Pengiktirafan ini diberikan berdasarkan pencapaian beliau yang luar biasa sepanjang lebih tiga dekad bergelar anak seni, dengan rekod lebih 300 anugerah berprestij dalam dan luar negara, menjadikan beliau bukan sahaja ikon Malaysia tetapi juga simbol keunggulan muzik serantau.

Siti Nurhaliza, 46, turut pernah berada di tangga ke-27 dalam senarai 100 Penghibur Dunia Paling Banyak Menerima Anugerah, sekali gus meneguhkan kedudukannya sebagai salah seorang artis wanita paling berpengaruh di peringkat global.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur atas penghargaan besar ini. Saya tidak pernah meletakkan kemenangan anugerah sebagai matlamat utama, kerana bagi saya seni adalah cinta dan amanah. Namun apabila usaha dan dedikasi dihargai, ia menjadi suntikan semangat untuk terus memberi yang terbaik,” ujar beliau ketika ditemui di acara amal Stars On Court Celebrity Pickleball Fun Match anjuran Yayasan Nurjiwa, di Grand Pickleball Arena, petang semalam.

Selain Siti Nurhaliza, antara nama besar Asia Tenggara lain yang turut diiktiraf oleh SeaAsia Stats termasuk Iwan Fals (Indonesia), Bird Thongchai (Thailand), Regine Velasquez (Filipina) dan Maria Aires (Brunei Darussalam).

Mengulas lanjut, Siti menegaskan pengiktirafan ini tidak mengubah fokusnya dalam berkarya:

“Menang atau tidak, saya tetap berkarya dengan sepenuh hati. Kini saya berada dalam fasa memberi kembali kepada masyarakat. Gelaran legenda ini bukan beban, tetapi satu amanah untuk terus menghasilkan karya yang baik dan membahagiakan orang ramai,” tambahnya.

Siti Nurhaliza sebelum ini turut menerima pelbagai penghormatan berprestij, termasuk Anugerah Khas Biduanita Negara sempena Anugerah Seni Negara 2024 (ASN 2024) anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Dengan segala pencapaian gemilang ini, Siti Nurhaliza kekal sebagai penyanyi nombor satu Malaysia, malah kini diangkat sebagai lambang keunggulan muzik Asia Tenggara di persada dunia.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *