SITI NURHALIZA JANJI PERSEMBAHAN EPIK DI STADIUM NASIONAL BUKIT JALIL
Konsert Legacy 30: Merayakan 3 Dekad Legenda Seni Negara
BIDUANITA Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, bakal melakar sejarah baharu dalam perjalanan seninya menerusi konsert mega Legacy 30 Siti Nurhaliza yang dijadualkan berlangsung pada 10 Januari 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Konsert berskala besar ini menjadi simbol kemuncak sambutan 30 tahun pembabitan Siti dalam industri muzik, menzahirkan dedikasi, pengorbanan serta cinta beliau terhadap seni. Lebih daripada sebuah persembahan, Legacy 30 diangkat sebagai perayaan warisan muzik Malaysia yang turut menembusi persada antarabangsa.
Dengan kapasiti sehingga 60,000 penonton, Stadium Nasional Bukit Jalil dipilih bukan sekadar kerana prestijnya sebagai ikon negara, tetapi sebagai platform ideal untuk menghimpunkan peminat setia dari seluruh Malaysia serta rantau Asia.
Penganjur, SN Legacy Sdn Bhd, menegaskan bahawa Legacy 30 dirancang teliti bagi menghadirkan pengalaman konsert epik, eksklusif dan penuh makna – bukan semata-mata mengejar rekod jumlah penonton, sebaliknya memastikan keselesaan dan keterhubungan setiap pengunjung.
“Legacy 30 bukan sekadar konsert, tetapi simbol perjalanan, pengorbanan dan kejayaan seni saya sepanjang tiga dekad. Saya ingin peminat yang setia bersama sejak awal hingga kini, dapat turut sama merasai detik bersejarah ini serta menyelami kembali karya-karya yang menjadi sebahagian memori perjalanan seni saya,” ujar Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam kenyataan media.
Seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, konsert ini dijangka menarik peminat antarabangsa, sekali gus menyokong usaha menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan budaya dan hiburan bertaraf dunia.
Lebih daripada 20 album yang dirakamkan sepanjang karier, akan menjadi sumber inspirasi susunan persembahan eksklusif yang bakal dipentaskan – menjanjikan pengalaman muzik yang tidak akan dilupakan.
Jualan tiket dibuka secara pra-jualan eksklusif bermula hari ini, jam 12 tengah hari hingga Jumaat, 12 tengah hari. Manakala jualan umum bermula pada Jumaat, jam 3 petang melalui platform ticket2u.
Tiket ditawarkan antara RM69 hingga RM1,599 mengikut kategori tempat duduk.
Legacy 30 Siti Nurhaliza – Sebuah Persembahan, Sebuah Legasi, Sebuah Sejarah.





