JOE FLIZZOW DINOBATKAN SEBAGAI IKON BELIA JOHOR (PENGGIAT SENI)
Anugerah Sukan Johor Ke-31 Raikan Sumbangan Ikon Hip-Hop Malaysia
NAMA besar dalam industri muzik tanah air, Joe Flizzow, terus mengukir sejarah apabila dinobatkan sebagai Ikon Belia Johor (Penggiat Seni) sempena Anugerah Sukan Johor ke-31 (ASJ31).
Pengiktirafan berprestij ini diberikan sebagai penghormatan terhadap sumbangan beliau bukan sahaja dalam mengangkat martabat muzik hip-hop Malaysia ke peringkat antarabangsa, malah dalam memperkasakan seni, budaya dan pembangunan generasi muda.
Dikenali sebagai penyanyi, penulis lagu, penerbit muzik, usahawan dan pemimpin industri, Joe Flizzow telah membuka laluan luas buat generasi baharu untuk berani berkarya, menembusi sempadan dan menjadikan seni sebagai wahana perubahan positif.
Antara pencapaian gemilang Joe Flizzow:
MTV Europe Music Awards 2018 – Pemenang Best Southeast Asia Act, artis Malaysia pertama menerima anugerah ini.
Anugerah Industri Muzik (AIM) – 11 trofi sepanjang karier, termasuk bersama Too Phat dan sebagai artis solo; antara penerima AIM terbanyak dalam sejarah muzik tempatan.
Anugerah Juara Lagu 2015 (AJL29) – Juara bersama SonaOne menerusi Apa Khabar, lagu hip-hop pertama bergelar Juara Lagu.
Anugerah Juara Lagu 2023 (AJL37) – Naib Juara dengan lagu Satu Malam di Temasek.
Ikon Hip-Hop Malaysia – Menjadi kebanggaan Johor dan Malaysia di pentas seni global.
Pengasas Kartel Records & 16 Baris – Melahirkan ramai bakat seni baharu.
Usahawan Berjaya – Pengasas rangkaian Joe’s Barbershop dengan lebih 20 cawangan di seluruh negara.
Pemimpin Industri – Managing Director, Def Jam Recordings Southeast Asia, label hip-hop paling berprestij di dunia.
Terbaru, Joe Flizzow tampil dengan single “Berlian”, karya bermesej motivasi yang menegaskan konsistensinya dalam menghasilkan muzik segar, relevan dan penuh inspirasi buat anak muda.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja penghormatan kepada saya secara peribadi, tetapi juga kepada seluruh anak muda Johor yang berani bermimpi dan berusaha mencapai kejayaan dalam apa jua bidang,” ujar Joe Flizzow.
Penganugerahan ini sekali gus mengukuhkan kedudukan beliau sebagai salah seorang figura paling berpengaruh dalam dunia seni, belia dan keusahawanan, bukan sahaja di Johor, malah di peringkat antarabangsa.
Joe Flizzow – Ikon Seni, Inspirasi Belia, Legenda Hip-Hop Malaysia.





