“PERJALANAN”: MANIFESTO SENI ERNIE ZAKRI DENGAN KOMPOSISI AGUNG ANDI RIANTO


“PERJALANAN”: KOLABORASI AGUNG ANDI RIANTO & ERNIE ZAKRI
YANG MENYATUKAN HIDUP, EMOSI DAN SENI DALAM SATU KARYA

 INDUSTRI muzik serantau menyaksikan detik penuh makna dengan peluncuran karya terbaharu “Perjalanan”, sebuah kolaborasi berprofil tinggi antara komposer legenda Indonesia Andi Rianto dan vokalis tersohor Malaysia, Ernie Zakri. Lagu yang menggabungkan naratif peribadi, komposisi sinematik dan vokal beremosi mendalam ini hadir sebagai sebuah karya yang bukan sekadar didengar, tetapi dirasai.

“Perjalanan” berdiri sebagai refleksi hidup—kegagalan, kejayaan, luka dan penyembuhan—yang dilalui kedua-dua seniman dalam membina nama di pentas seni. Dengan lirik jujur yang ditulis sepenuhnya oleh Ernie Zakri dan komposisi megah hasil tangan maestro Andi Rianto, lagu ini dirangka sebagai sebuah dedikasi buat setiap insan yang sedang menempuh perjalanan hidup masing-masing.

Inspirasi Terbit Daripada Jiwa

Menurut Ernie, tercetusnya karya ini merupakan momen peribadi yang tidak dirancang.
“Idea lagu ni muncul bila Andi minta saya tulis tentang apa yang saya benar-benar rasa. Kami sama-sama teringat perjalanan hidup yang penuh warna—dan dari situlah lirik ini lahir,” jelas Ernie.

Bagi Andi Rianto, Ernie sendiri menjadi nadi inspirasi.
“Inspirasinya adalah Ernie Zakri. Dia punya perjalanan seni yang kuat, dan saya rasa ini masa terbaik untuk dia menyanyikan lagu seperti ‘Perjalanan’,” ujar beliau.

Workshop penciptaan lagu ini juga berlangsung secara sangat organik. Melodi terbit sewaktu perbualan tentang kehidupan, lalu berkembang menjadi karya yang emosinya mengalir tanpa dipaksa.
“Everything happened spontaneously. Semuanya sangat natural dan menyenangkan,” kata Andi.

Kerjasama Dua Dunia Seni, Satu Jiwa Kreatif

Ernie menggambarkan proses bekerja dengan Andi sebagai pengalaman yang jauh lebih mudah daripada jangkaan.
“Saya ingat akan ada banyak arahan, tapi Andi sangat menghormati ruang kreatif saya. Dia bagi saya kebebasan penuh untuk menulis kisah saya sendiri,” kata Ernie.

Meskipun lagu ini membawa DNA muzik Andi Rianto yang ikonik—orkestra besar, harmoni dramatik dan sentuhan sinematik—Ernie menegaskan bahawa identitinya tetap menjadi tunjang.
“Walaupun ada sentuhan Andi, penyampaian dan vibe itu tetap Ernie Zakri. Itu tak pernah berubah.”

Menonjolkan Kehebatan Seorang Seniman Lengkap

Bagi Andi Rianto, elemen paling penting dalam “Perjalanan” ialah vokal Ernie yang sarat emosi.
“Saya suka tone dan tekniknya, tetapi yang paling penting adalah perasaan yang dia bawa. Itulah yang saya mahu tonjolkan,” tegasnya.

Cabaran terbesar baginya adalah memastikan setiap kekuatan Ernie—sebagai penyanyi dan kini sebagai penulis lirik—dapat dirasakan sepenuhnya oleh pendengar.
“Saya mahu semua orang tahu betapa hebatnya Ernie Zakri. ‘Perjalanan’ harus menyampaikan itu.”

Lebih Daripada Sebuah Lagu

Ernie turut mengumumkan perancangan fan meeting yang bakal menyusul selepas pelancaran lagu ini—sebuah ruang lebih intim untuk peminat merasai karya baharunya dari dekat.

Lebih istimewa, “Perjalanan” turut dipilih sebagai OST drama terbaharu TV3, Cinta Anak Lorong. Vokal Ernie yang penuh penghayatan, digandingkan dengan produksi muzik dramatik Andi Rianto, dijangka memberi dimensi emosi lebih kuat kepada drama tersebut.

“Perjalanan” kini tersedia di semua platform digital.


Fakta Lagu

Artis: Andi Rianto & Ernie Zakri
Penulis Lirik: Ernie Zakri
Komposer: Andi Rianto
Penerbit: Andi Rianto

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *