PENERUS LEGASI…

PENERUS LEGASI BUKAN PENGGANTI
.
Catatan ini bukan saya rujukan pada Aina Abdul secara khususnya, tetapi mencakupi semua pelapis baharu dan lama. Ianya sebuah pandangan ikhlas tentang betapa bahayanya sindrom membanding dan mengganti yang diadu domba oleh para netizen, peminat tegar maupun sesiapapun yang tertarik dengan isu ini.
.
Aina Abdul pulang kosong tanpa anugerah terbaik di AJL39. Ramai yang memadan muka, tak kurang bersorak dan tak cukup sekadar itu melontarkan kata-kata kurang baik. Para Aination pula membalas dengan serangan yang tidak kurang hebat. Maka berlakulah perang yang tidak bermoral di media sosial .
.
Soalnya sekarang mengapa sindrom toxic ini menjadi keterlaluan? Lebih memalukan ianya berpusat pada artis wanita sahaja. Dan isu peminat memakai busana wanita di pentas akhir AJL39 yang secara tidak langsung berkaitan dengan penyanyi itu. Kecoh dan huru hara sehingga pihak Jakim dan Menteri Agama di minta turut campur dan mengambil tindakan.
.
Saya melihat perjalanan seni Aina Abdul, Erni Zakri, Nadeera maupun Marsha sendiri, bukan sesuatu yang mudah. Banyak jerih perih penat lelah terpaksa ditempuh untuk berada di kedudukan terkini. Sejarah tidak pernah menipu tentang semua itu. Mereka hebat sebagai penyanyi namun masa untuk menyerlah memakan masa setelah umur melepasi 30an.
.
Kerana perjalanan yang panjang itu makanya untuk mengekalkan kedudukan juga bukan mudah. Strategi dan ‘branding’diri perlu betul. Ianya memerlukan komitmen dan RM yang bukan sedikit. Terutamanya betapa pentingnya ada ‘killer song’ seperti hangat dikatakan oleh para artis dan pakar. Tanpa lagu yang malar segar dan disiul kan oleh sesiapa juga ianya bukan sesuatu yang akan jatuh dari langit.
.
Sebagai contoh Ernie Zakri mendahului di semua saluran media sosial berkat lagu Masing-Masing. Pencapaian maha hebat Ernie itu berjaya meletakkan Ernie lebih ke hadapan berbanding artis lain. Ini yang perlu dicontohi oleh semua penyanyi lama dan baharu. Ada ‘killer song’ maka sasaran dan startegi seni anda sudah berjaya.
.
Laporan RIM Industri Muzik Malaysia mencatat sejarah pada 2024 dengan pendapatan industri muzik tempatan meningkat 11.5% kepada RM339 juta, mengatasi rekod tertinggi sebelumnya sebanyak RM315 juta pada 1996. Selain itu, Insomniacks dinobatkan sebagai Artis Tempatan Paling Tinggi Distrim, manakala lagu Masing Masing nyanyian Ernie Zakri & Ade Govinda menjadi Lagu Tempatan Paling Tinggi Distrim sepanjang 2024.
.
Lihatlah betapa gahnya kumpulan Insomniacks dengan deretan lagu mereka di carta RIM. Mereka kekal mendahului dengan cara dan lagu mereka yang menarik perhatian. Mereka tidak terlalu viral tetapi tetap ada pengikut setia yang sentiasa strim lagu mereka.
.
Belum pernah Insomniacks dibandingkan dengan Masdo, Akim & Majistret maupun Exist, Search, Hujan, Wings atau seangkatannya. Masing-masing berjalan dan menikmati kejayaan dengan cara mereka.
.
Sedangkan hal begini tidak berlaku di kalangan artis wanita. Mengambil contoh ada peminat yang mencadangkan Aina Abdul menggantikan tempat Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza sebagai penyanyi nombor satu lantaran kejayaan hebat Aina di setiap AJL, kemenangan selaku Bintang Paling Popular APBH dan kemampuan mencipta lagu. Sikap begini adalah kurang baik untuk industri. Yuna yang mendunia di antarabangsa dan mencipta lagu sendiri pun tidak serakus itu untuk meletakkan kedudukannya sebagai nombor satu. Shila Amzah yang dikenali di China pun begitu. Yuna dan Shila Amzah mekar dengan cara mereka membina nama tanpa menumpang nama sesiapa.
.
Dekad 90an dahulu ketika nama Siti Nurhaliza meletup sehingga ramai berada kurang selesa apabila di setiap anugerah asyik Siti yang menang. Lalu tercetus siapakah yang boleh menewaskan Siti. Maka muncullah pelapis yang membawa konsep seperti Siti. Tetapi mereka gagal. Jenama Siti Nurhaliza tiada duanya. Kini tiga dekad Siti Nurhaliza tetap berada di takhtanya.
.
Percaya lah perjalanan seni Siti Nurhaliza pun tidak mudah jugak. Tiga dekad bukan masa yang singkat. Saya melihat dan mengikuti perkembangan beliau sejak awal kemunculan sehingga sekarang. Berjayanya Siti Nurhaliza kerana dikelilingi mereka yang berdaya saing, ada visi dan tahu arah perjalanan seninya.
.
Siti Nurhaliza bukan pengganti Saloma, Sharifah Aini, Sudirman, P.Ramlee maupun sesiapa pun. Beliau menerusi legasi Seni yang ditinggalkan oleh Legenda terdahulu. Itu fakta yang semua perlu faham.
.
Akhirnya untuk Aina Abdul, Ernie Zakri, Nadeera, Marsha dan artis yang lain, teruslah membina empayar anda sendiri tanpa perlu bersaing dengan sesiapa. Kita raikan semua. Melangkahlah dengan cara muzik dan kecintaan anda pada dunia seni dengan jujur. Binalah persekitaran seni yang sihat tanpa toxic, hipokrit dan munafik. Anda hebat dan mampu lebih hebat dari legasi terdahulu.
.
Anugerah Juara Lagu, APBH, Gempak, AIM, Gegar Vaganza , OIAM, Bintang RTM, BigStage maupun Maharaja Lawak sekalipun datang dan pergi. Kejayaan anda di mana-mana pertandingan adalah bonus hasil kerja hebat anda waktu itu. Jika gagal tidak mengapa, jika menang usah angkuh. Selebihnya teruslah menjadi luar biasa untuk diri sendiri, bangsa, negara dan agama.
.
Persaingan dan perbandingan yang paling menakutkan adalah dengan diri sendiri. Itulah pesaing dan perbandingan sebenar. Lawanlah kerakusan dan ketamakan serta sentiasa merasa kita hebat dalam diri sendiri sehabis mungkin. Selepas itu kita akan menarik nafas lega. Allah akan memberikan anugerah terbaik selepas itu. Yakinlah.
.
#StailistaLevelUp #AJL39 #sitinurhaliza #erniezakri #ainaabdul #marsha #Nadeera #insomniacks Apple Kinn

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *