ARUEL & THE FASOLA BAWA NOSTALGIA BERGAYA DALAM MALAM PESTA RONGGENG DI SALOMA KUALA LUMPUR
Dalam usaha mengangkat semula keindahan muzik klasik tanah air dan menyemarakkan kembali budaya tari menari yang kian dilupakan, HS Event & Entertainment mempersembahkan Malam Pesta Ronggeng, sebuah persembahan eksklusif oleh kumpulan muzik versatil, Aruel & The Fasola, yang bakal berlangsung pada 15 dan 16 Ogos 2025 bertempat di lokasi ikonik, Saloma Kuala Lumpur.
Mengangkat konsep penuh nostalgia, Malam Pesta Ronggeng dijangka menjadi sebuah acara prestij yang menyatukan generasi lama dan baharu menerusi alunan irama klasik yang diberi nafas moden. Lebih istimewa, malam tersebut akan diiringi oleh 10 pemuzik profesional bersama penyanyi latar, dalam suasana yang diinspirasikan daripada era keemasan Buloh Inn.
“Kami amat terharu dan bersyukur dengan peluang ini. Setelah sekian lama tampil dalam persembahan tertutup sejak tahun 2022, kini kami berpeluang membawa muzik kami kepada khalayak yang lebih luas. Pastinya kami akan memberikan persembahan terbaik buat semua tetamu yang hadir,” ujar Aruel, selaku ketua kumpulan The Fasola.
Menampilkan seleksi lagu-lagu malar segar dari era 1940-an hingga 1960-an termasuk karya agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Saloma, persembahan ini turut diserikan dengan susunan muzik eksklusif yang menggabungkan elemen klasik, Malay jazz serta suntikan Latin seperti Cha Cha, Rumba, Bossa Nova dan Twist — menjadikan setiap detik malam itu penuh dengan keinginan untuk berdansa.
“Konsep ‘ronggeng’ yang kami bawakan bukan sekadar tarian, tetapi sebuah pengalaman menyeluruh — menghidupkan suasana pesta seperti zaman silam dengan sentuhan kontemporari. Kami mahu semua tetamu turut serta menari dan merasai detik-detik indah melalui muzik,” tambah Aruel.
Menurut penganjur, Datin Riza Che Umar, acara ini bukan sahaja bertujuan menghiburkan, tetapi juga berperanan sebagai platform memperkenalkan semula warisan muzik klasik kepada generasi muda dalam bentuk yang lebih segar dan eksklusif.
“Malam Pesta Ronggeng adalah penghormatan kepada seni budaya kita yang semakin terpinggir. Kami ingin menjadikan acara ini sebagai ruang untuk rakyat Malaysia menghargai kembali keindahan irama lama dalam suasana yang penuh gaya dan keanggunan,” jelasnya.
Beliau turut berkongsi bahawa sambutan awal terhadap jualan meja bagi dua malam persembahan sangat menggalakkan, dengan sasaran 50 meja keseluruhan hampir tercapai.
“Alhamdulillah, sambutan amat positif. Kami juga dalam perancangan untuk menjadikan Malam Pesta Ronggeng sebagai acara berkala setiap empat bulan bagi memastikan kesinambungan muzik klasik terus terpelihara,” tambahnya lagi.
Acara eksklusif ini turut menawarkan tiga kategori pakej istimewa yang merangkumi pengalaman makan malam mewah serta barangan rasmi acara:
PAKEJ TIKET / MEJA:
DIAMOND (VIP) – RM8,000 / RM800 per pax
PLATINUM – RM6,000 / RM600 per pax
GOLD – RM4,000 / RM400 per pax
(Setiap pakej termasuk makan malam serta merchandise rasmi)
UNTUK PEMBELIAN TIKET / TEMPAHAN MEJA:
SNI: 012-662 4079
HATTA: 018-223 9934
JOE: 017-470 5455





