LAGI PEDAS LAGI TERANGKAT

“CERITA MAKAN SAYA: LAGI PEDAS, LAGI MENYERLAHKAN RASA”

 Foto : Amizan Ahmad

SETIAP individu punya kisah tersendiri di sebalik selera dan pilihan hidangan yang membentuk identiti mereka. Bagi penulis dan editor, Anwar Razali, dunia masakan bukan sekadar tentang makanan di pinggan, tetapi tentang memori, warisan dan kasih sayang yang dibalut dalam setiap aroma.

Walaupun bukan pakar masakan, beliau mengakui minatnya bereksperimen dengan pelbagai resipi, sering menjadikan gaya penyediaan Khairul Aming sebagai rujukan utama. “Tak sangka menjadi juga untuk selera saya,” selorohnya.

Antara pelbagai jenis protein, pilihan hatinya tetap berpihak kepada ikan dan udang — terutamanya udang sambal petai, satu hidangan yang mengingatkannya pada air tangan Datin Elveena Iris yang begitu dirindui.

Namun yang paling dekat di hati, tetaplah masakan kampung. Setiap kali pulang ke kampung halaman, hidangan seperti patin masak tempoyak, kulat sisir, jeruk maman dan pais patin seakan wajib dihidangkan. “Kalau tak ada petai, kerdas atau jering memang rasa tak lengkap — biasalah orang Pahang,” gurau Anwar.

Menariknya, beliau dulu kurang tahan pedas. Kini, selera berubah. “Kalau tak pedas, memang tak berselera. Lagi pedas, lagi terangkat,” katanya sambil ketawa.

Di sebalik semua itu, ada satu rasa yang tidak boleh ditandingi mana-mana menu: masakan arwah ibunya. “Saya makan di hotel mewah pun tak sama. Nasi goreng biasa buatan mak tetap nombor satu.”

Beliau turut memuji bakat memasak anak-anak buahnya — Amy Sofea, Hazwani Hamdan dan Emy Hafiza Hamdan — yang mampu menyediakan apa sahaja resipi “seakan petik jari”.

Dalam pada bercerita soal hidangan, Anwar turut mengingatkan pentingnya bersederhana. Rutin makannya kini lebih teratur, termasuk amalan makan malam sebelum maghrib bagi menjaga kesihatan dan kekal lansing. “Nak kekalkan pinggang macam Siti Nurhaliza,” selorohnya, mengakui sesekali ‘terbabas’ apabila memenuhi undangan makan.

Bercerita tentang selera sahabatnya, Amizan Ahmad, beliau ketawa kecil. “Mizan mungkin gemar ketam. Saya pula jarang pilih ketam… sebab tak pandai makan sangat. Tapi kalau orang belanja, kita makanlah juga!”

Sama ada pedas membara atau hidangan kampung penuh nostalgia, penceritaan Anwar mengingatkan bahawa makanan bukan sekadar pengisi perut — ia adalah cerita hidup yang menghubungkan masa lalu, keluarga dan rasa syukur.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *