KONSERT 40 TAHUN WINGS: 4 DEKAD TERBANG TINGGI TETAP DITERUSKAN

KONSERT ULANG TAHUN KE-40 WINGS DITERUSKAN SEBAGAI LAMBANG MARUAH & SEMANGAT ROCK MALAYSIA

 KUMPULAN rock legenda tanah air, WINGS, menegaskan bahawa Konsert Ulang Tahun Ke-40: 4 Dekad Terbang Tinggi akan tetap berlangsung pada 28 November 2025 di Idea Live Arena, Damansara, meskipun dua ahli asal – Black (dram) dan Eddie (bass) – baru-baru ini mengumumkan pengunduran diri mereka daripada kumpulan.

Menurut Dato’ Eddy Amir Salim, Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Rumah Produksi Merah (RPM) merangkap penganjur konsert, persembahan ini akan diteruskan sebagai tanda penghormatan terhadap empat dekad perjalanan seni WINGS yang telah menjadi ikon muzik rock Malaysia sejak 1985.

“Ulang tahun ke-40 ini bukan sekadar sebuah konsert. Ia adalah manifestasi maruah, semangat, dan legasi WINGS yang telah menghiburkan jutaan peminat selama empat dekad. Kami mahu memastikan setiap penonton membawa pulang kenangan yang abadi bersama lagu-lagu ikonik WINGS,” jelas Dato’ Eddy.

Beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada Black dan Eddie:

“Kami mendoakan agar segala urusan Abang Eddie dan Abang Black dipermudahkan oleh Allah SWT. Perjalanan seni mereka tetap menjadi sebahagian daripada sejarah gemilang WINGS.”

Pihak penganjur memaklumkan bahawa semua persiapan berjalan lancar. Dengan 90% tiket telah habis terjual, hanya sekitar 10% baki tiket masih tersedia untuk para peminat yang belum mendapatkan tempat mereka dalam acara bersejarah ini.

Konsert ini dijanjikan akan menjadi sebuah persembahan epik, menggabungkan nostalgia empat dekad dengan semangat rock yang tidak pernah pudar – satu malam penghormatan kepada warisan muzik tanah air yang tiada tandingan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *