INDUSTRI MUZIK MALAYSIA SEDIA JADI KUASA DIGITAL ASIA – RIM GESA SOKONGAN BELANJAWAN 2026

INDUSTRI MUZIK MALAYSIA DESAK SOKONGAN STRATEGIK KERAJAAN DALAM BELANJAWAN 2026

 PERSATUAN Industri Rakaman Malaysia (RIM) menyeru kerajaan agar memperkukuh sokongan terhadap industri muzik tanah air menjelang pengumuman Belanjawan 2026. Sebagai sebahagian daripada ekosistem industri kreatif negara, sektor muzik terbukti dinamik dan berpotensi menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi digital Malaysia.

Pengerusi RIM, Rosmin Hashim, menegaskan bahawa industri muzik bukan sekadar elemen hiburan, malah merupakan aset ekonomi strategik. “Berdasarkan Kajian Impak Ekonomi oleh PwC (2016–2020), industri muzik Malaysia berjaya menjana RM19.4 bilion, menyumbang lebih RM531 juta cukai tahunan serta menyediakan purata 111,000 peluang pekerjaan setiap tahun. Angka ini membuktikan muzik adalah nadi ekonomi yang wajar diperkasakan dengan dana pembangunan lebih menyeluruh,” jelas beliau.

Tahun 2024 mencatat sejarah baharu dengan pendapatan industri muzik Malaysia mencecah RM339 juta, hasil daripada platform digital global seperti YouTube, Spotify, Apple Music, TikTok dan Facebook. Rosmin menambah, jumlah sebenar jauh lebih besar sekiranya pendapatan daripada acara muzik langsung, penerbitan muzik, dan pengurusan artis turut dimasukkan.

Sokongan kerajaan melalui inisiatif seperti Dana Kreatif Digital Industri Muzik (DKK) telah terbukti berjaya melahirkan karya berkualiti. Beberapa artis penerima dana DKK seperti Aina Abdul, Dayang Nurfaizah, dan Hazama muncul dominan di Anugerah Industri Muzik (AIM), dengan Dayang Nurfaizah meraih Album Terbaik menerusi Belagu 2. “Keberkesanan DKK jelas menunjukkan keperluan untuk meneruskan dan memperkukuh inisiatif ini,” ujar Rosmin.

Selain sokongan dana, strategi promosi ke peringkat antarabangsa amat diperlukan. Malaysia, dengan keunikan kepelbagaian masyarakat, memiliki kelebihan menghasilkan rakaman muzik pelbagai bahasa yang berpotensi menembusi pasaran China, India, Indonesia serta pasaran global untuk muzik Islamik. “Sekiranya dasar kerajaan digarap secara menyeluruh, Malaysia mampu mengulangi kejayaan Korea Selatan dan Jepun yang menjadikan muzik sebagai eksport budaya berimpak tinggi,” kata Rosmin.

Kejayaan Korea Selatan dalam mengangkat K-Pop sebagai eksport utama membuktikan bahawa pelaburan strategik mampu menghasilkan pulangan ekonomi luar biasa. Malaysia kini berada di landasan terbaik untuk menjadi peneraju kandungan digital serantau.

“Dengan peningkatan sokongan kerajaan menerusi Belanjawan 2026 – termasuk dana pembangunan bakat, promosi agresif ke luar negara, serta ekosistem muzik yang lebih kukuh – Malaysia mampu berdiri sebagai kuasa besar muzik digital Asia,” tegas Rosmin sebagai penutup.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.rim.org.my atau ikuti  di Facebook (RecordingIndustryMalaysia) dan Instagram @recordingindustrymalaysia.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *