SHILA AMZAH PERKASA KEMBALI DENGAN SINGLE EMOSI BERJUDUL ‘PERNAH PUNYA AKU’
Menandakan era baharu buat penyanyi tersohor menerusi karya sepenuh jiwa dari album penuh akan datang
Penyanyi bertaraf antarabangsa, Shila Amzah kembali mencuri perhatian dunia muzik dengan peluncuran single terbaharu berjudul ‘Pernah Punya Aku’, karya penuh emosi yang ditulis dan digubah sepenuhnya oleh beliau sendiri. Lagu ini menjadi pembuka tirai kepada album penuh terbaru yang bakal dilancarkan penghujung tahun ini, sekali gus menandakan lembaran baharu perjalanan seni seorang ikon wanita selepas lebih dua dekad mengukir nama dalam industri hiburan.
Sebagai seorang anak seni yang sudah menempuh pelbagai fasa kehidupan — daripada pentas pertandingan ke peringkat global hinggalah ke ruang paling peribadi sebagai ibu dan isteri — Shila menyalurkan kedewasaan artistiknya ke dalam ‘Pernah Punya Aku’, sebuah lagu yang lahir dari ruang jiwa paling jujur.
“Ia tercipta dalam tempoh dua hari sahaja, sewaktu saya masih dalam fasa berpantang. Ketika emosi saya sangat tidak menentu, suami saya menyarankan agar saya mencurahkan segalanya ke dalam muzik. Lagu ini bukan sekadar luahan, tetapi terapi penyembuhan buat diri saya,” ujar Shila.
Dirakamkan dalam suasana yang tenang namun berdaya ekspresif, lagu ini diterbitkan dan digubah oleh maestro muzik, Genervie Kam, yang turut bertindak sebagai penerbit muzik rasmi. Rakaman vokal disempurnakan dalam tempoh kurang 40 minit – satu pencapaian yang membuktikan keprofesionalan dan keserasian artistik antara kedua-dua wanita hebat ini.
“Genervie memahami saya bukan sahaja sebagai artis tetapi juga sebagai seorang wanita. Proses rakaman sangat efisien dan mengalir dengan lancar,” tambah Shila.
‘Pernah Punya Aku’ menyentuh tema pengkhianatan, kesedihan dan kekuatan wanita, namun Shila menyuntik elemen harapan ke dalam naratif lagu agar ia menjadi ruang refleksi dan pemulihan buat para pendengar.
“Lagu ini bukan sekadar kisah patah hati. Ia adalah suara kepada wanita yang pernah ditinggalkan, tetapi akhirnya bangkit semula dengan kekuatan. Saya mahu para pendengar tahu bahawa mereka tidak bersendirian.”
Sebagai penghargaan kepada perjuangan kaum wanita, lagu ini terlebih dahulu diperdengarkan kepada ibunya — individu yang paling memahami maksud sebenar di sebalik setiap bait lirik.
“Lagu ini saya tujukan buat wanita yang pernah melalui kecurangan dan kehilangan. Ibu saya antara individu pertama yang saya mahu dengar lagu ini. Kata beliau, ia benar-benar menyentuh dan mengingatkan kepada apa yang pernah dilalui,” katanya dengan nada penuh emosi.
Single ‘Pernah Punya Aku’ juga hadir dalam waktu yang signifikan, ketika Shila terus diiktiraf atas kredibilitinya sebagai komposer. Terbaharu, beliau dipilih sebagai salah seorang komposer utama dalam program realiti digital ‘Raise The Star Malaysia’ yang kini bersiaran di Astro Ria, sebaris nama-nama besar seperti Ajai, Ikhwan Fatanna dan Audi Mok.
Menerusi kolaborasi bersama Nova Music, ‘Pernah Punya Aku’ boleh distrim di semua pelantar digital bermula 29 Jun 2025, sementara video muzik rasmi akan ditayangkan secara eksklusif di YouTube Nova Music Videos pada jam 3 petang hari yang sama melalui pautan berikut: https://youtu.be/AspTIpnf7A0
Maklumat Lagu:
Judul Lagu: Pernah Punya Aku
Penyanyi: Shila Amzah
Komposer & Penulis Lirik: Shila Amzah
Penerbit & Penggubah Muzik: Genervie Kam
Terbitan: Nova Music





