SENTUHAN MAGIS DATO’ SRI SITI NURHALIZA & ADE GOVINDA DALAM “MENAMAKANMU CINTA” – SEBUAH ODA CINTA TANPA BATAS
DUA nama unggul dalam industri muzik serantau, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, diva tersohor Malaysia yang telah menawan pentas antarabangsa, dan Ade Govinda, komposer prolifik dari Indonesia yang tidak asing lagi dengan karya-karya malar segar, kembali bersatu dalam sebuah kolaborasi penuh elegan dan sarat emosi menerusi single terbaharu mereka berjudul “Menamakanmu Cinta.”
Lagu ini bukan sekadar hasil kerjasama dua sosok ternama, malah merupakan manifestasi seni yang mengangkat tema cinta dalam bentuk paling tulus dan universal. Mengusung naratif indah tentang penghargaan terhadap insan tersayang, “Menamakanmu Cinta” menyatukan melodi yang menyentuh kalbu dengan kekuatan vokal Siti Nurhaliza yang sentiasa memukau.
Satu Lagi Permata Dalam Warisan Muzik Nusantara
Hubungan muzik antara Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan Ade Govinda bukanlah baru. Mereka pernah mencipta magis menerusi lagu-lagu ikonik seperti “Terbaik Bagimu,” “Engkau” dan “Tak Pernah Ragu” dari album Fragmen (2014). Kini, setelah lebih sedekad, mereka mempersembahkan sebuah karya yang lebih matang dan mendalam dari segi produksi dan jiwa – membuktikan evolusi muzik kedua-dua artis ini terus berkembang seiring zaman.
“Saya amat bersyukur dapat kembali bekerjasama dengan Ade Govinda selepas sekian lama. Lagu ini sangat indah dan sarat emosi. Ia membawa keunikan sentuhan Ade yang sentiasa mampu mencipta karya evergreen. Saya harap ia akan diterima dengan penuh kasih sayang oleh peminat bukan sahaja di Malaysia dan Indonesia, tetapi juga di seluruh dunia,” ujar Dato’ Sri Siti Nurhaliza penuh tulus.
Beliau turut menzahirkan harapannya agar lagu ini menjadi penyambung rasa buat mereka yang menghargai cinta dalam apa jua bentuknya.
Sentuhan Kreatif Ade Govinda
Sebagai komposer dan produser, Ade Govinda menyifatkan kolaborasi ini sebagai momen istimewa dalam kerjayanya.
“Lagu ini diinspirasikan daripada impian untuk mencipta sebuah karya cinta yang boleh dinyanyikan dalam perkahwinan, atau bila-bila masa seseorang ingin meraikan cinta. Proses rakaman bersama Dato’ Sri Siti berlangsung dengan sangat lancar – beliau bukan sahaja profesional, tetapi juga sangat menyenangkan,” kongsi Ade.
Ade juga mengenang suasana santai tetapi penuh dedikasi dalam sesi rakaman yang diserikan dengan keramahan Dato’ Sri Siti, termasuk kebiasaannya membawa makanan untuk semua yang terlibat.
“Beliau seorang insan seni yang bukan hanya berbakat besar, tetapi juga sangat merendah diri dan menghormati proses kreatif,” tambahnya.
“Menamakanmu Cinta”: Untuk Semua Yang Percaya Pada Cinta
Lagu ini disusun dan diolah secara teliti bagi memastikan setiap bait lirik dan alunan melodi menyampaikan pesanan yang menyentuh nurani. Ia diharapkan menjadi lagu tema peribadi bagi pasangan yang sedang menyulam cinta atau mengabadikan momen-momen bermakna dalam hidup mereka.
“‘Menamakanmu Cinta’ bukan sekadar lagu. Ia adalah pengalaman perasaan – tentang mengenang, menghargai dan menyintai dengan sepenuh hati. Saya percaya lagu ini akan menjadi peneman momen-momen istimewa buat ramai di luar sana,” ujar Ade menutup bicara.
INFO LAGU “MENAMAKANMU CINTA”
Artis: Dato’ Sri Siti Nurhaliza & Ade Govinda
Judul Lagu: Menamakanmu Cinta
Label: Universal Music Sdn Bhd, SN Legacy Sdn Bhd, MyMusic Records
Komposer & Penulis Lirik: Ade Govinda
Susunan Muzik & Produksi: Ade Govinda
Audio Mixing: Jones Roma
Mastering: Stephan Santoso
Penerbit Penerbitan: PT. Kreatif Indigo Musik
Sub-Penerbit: Universal Music Publishing
Lagu “Menamakanmu Cinta” kini boleh dinikmati di semua platform penstriman digital utama. Saksikan sendiri bagaimana dua legenda muzik Nusantara menyulam cinta dalam irama – dan biarkan hati anda turut menamakan cinta.





