DOLLA KEMBALI DENGAN “QUESTION”

DOLLA KEMBALI DENGAN “QUESTION”

Lagu Konfrontasi dan Pemberdayaan Emosi Penuh Gaya dan Kuasa

 KUMPULAN pop sensasi Malaysia, DOLLA, sekali lagi mengukuhkan kedudukan mereka sebagai ikon muzik moden melalui pelancaran single terbaharu berjudul “Question” — sebuah karya penuh tenaga dan emosi yang menyingkap sisi paling jujur tentang kekecewaan, pengkhianatan dan kebangkitan diri.

Pada pandangan pertama, “Question” mungkin tampak seperti lagu konfrontasi terhadap pasangan yang curang, namun di sebaliknya tersirat mesej pemberdayaan emosi — tentang keberanian untuk berdepan dengan luka, mengenali kelemahan, dan akhirnya menemui semula kekuatan diri.

“Lagu ini tentang berdepan dengan pasangan yang curang, tetapi pada intinya ia tentang berdepan dengan perasaan sendiri. Ia tentang membenarkan diri untuk rasa sedih dan terdedah — untuk jujur dengan emosi tanpa menyembunyikannya,” ujar Tabby, mewakili kumpulan.

Dicipta bersama oleh Justin Seow, Kuizz, Aziz Harun, serta anggota DOLLA sendiri — Tabby, Sabronzo, dan Angel — lagu ini menyatukan kekuatan lirik yang penuh jiwa dengan melodi pop yang segar dan mudah diingati. Di bawah sentuhan penerbit dan komposer berbakat Justin Seow dan Kuizz, “Question” menyerlahkan kematangan bunyi DOLLA yang kini lebih emosional, berlapis dan bertenaga.

“Kami menerima demo yang luar biasa daripada Kuizz dan Justin — korusnya sangat ‘catchy’. Kami ubah sedikit struktur dan lirik agar emosi lebih terserlah. Prosesnya menyeronokkan, kreatif, dan penuh tenaga,” tambah Tabby.

Koreografi yang Menyala, Visual yang Ikonik

DOLLA turut memperkukuh daya tarikan “Question” dengan persembahan tari yang mencerminkan keberanian dan keyakinan wanita moden. Koreografi tersebut dihasilkan bersama koreografer ternama dari Thailand, Akkaraphol Prompen, yang dikenali dengan gabungan gaya feminin dan formasi bertenaga.

“Kami mahu gerakan yang berani, yakin, tapi tetap ada elemen keseronokan. Earth-E benar-benar membawa gayanya tersendiri dalam rutin ini,” jelas Sabronzo.

Melengkapkan pengalaman visualnya, “Question” hadir bersama muzik video berkonsepkan suasana diner retro, dirakam di Fowlboys, The Campus, yang menonjolkan sisi sinematik dan penuh gaya DOLLA.

“Kami sukakan tema diner retro yang ceria dan ‘playful’. Dalam video ini, kami berkonfrontasi dengan teman lelaki yang curang — tapi dengan cara yang berani, sedikit nakal, dan penuh karakter!” kata Angel sambil ketawa.

Menerusi visual yang berwarna dan penuh simbolisme, DOLLA menukar rasa dikhianati menjadi naratif kekuatan — menjadikan “Question” bukan sekadar lagu, tetapi manifesto emosi dan keyakinan diri.

Misi Lebih Besar untuk 2026

Selepas pelancaran “Question”, DOLLA bersedia melangkah ke tahun 2026 dengan momentum yang lebih besar.

“Perancangan kami ialah untuk melancarkan album penuh DOLLA dan memperluas kehadiran ke seluruh Asia Tenggara. Kami teruja untuk berkongsi lebih banyak muzik dan berhubung dengan peminat di luar Malaysia,” ujar Angel.

Menutup tahun 2025 dengan gaya tersendiri, DOLLA bakal tampil dalam konsert istimewa yang sangat dinantikan — “Good Girls Gone Bad” — yang dijadualkan berlangsung pada 6 Disember 2025.


“Question” kini boleh didapati di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *