“BAHAGIA LAGI” – PICHE KOTA GEMPARKAN SPOTIFY & TIKTOK MALAYSIA

“Bahagia Lagi” Piche Kota Tular di Malaysia, Dominasi Carta Spotify & TikTok

 PENYANYI dan penulis lagu berbakat dari Indonesia, Piche Kota, kembali mencuri perhatian industri muzik serantau menerusi single terbaharunya berjudul “Bahagia Lagi”, sebuah karya pop balada yang sarat emosi dan kejujuran rasa.

Sejak dilancarkan, Bahagia Lagi mencatat fenomena luar biasa apabila tersenarai dalam Viral 50 – Malaysia serta Top Songs Malaysia di Spotify, selain merekodkan kadar tontonan harian yang tinggi di platform TikTok. Pencapaian ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Piche Kota sebagai antara suara baharu yang paling relevan dan diterima hangat oleh pendengar Malaysia.

Mengangkat tema percintaan dan pemulihan emosi, Bahagia Lagi mengisahkan tentang harapan untuk menemukan kembali kebahagiaan selepas melalui kehilangan dan kekecewaan. Lagu ini menjadi refleksi perasaan ramai, khususnya mereka yang pernah terperangkap dalam luka cinta namun tetap memilih untuk percaya pada bahagia.

Selepas kejayaan single sulung “Pada Satu Cinta” bersama maestro muzik Indonesia, Yovie Widianto, pada Jun 2025, Piche Kota terus melangkah yakin dengan karya terbaharunya ini. Alumni Indonesian Idol musim ke-13 itu bekerjasama dengan Happy Andromeda dan Dimas Bokor dalam penulisan Bahagia Lagi, menghasilkan sebuah komposisi yang matang, jujur dan menyentuh jiwa.

“Bagi mereka yang pernah kehilangan cinta, pasti faham bagaimana rasanya ingin bahagia semula selepas melalui kesedihan. Lagu ini merangkum perasaan itu,” ujar Piche Kota mengenai makna di sebalik karya tersebut.

“Ia sangat emosional kerana lahir daripada perasaan yang kuat, sehingga akhirnya mencetuskan harapan untuk bahagia kembali. Kisah ini dekat dengan realiti ramai orang, sebab itu liriknya terasa begitu jujur,” tambahnya.

Dari sudut susunan muzik, Bahagia Lagi hadir dengan tempo perlahan pop balada bernuansa sendu, digarap kemas untuk menonjolkan kekuatan lirik serta karakter vokal unik Piche Kota. Gabungan emosi, melodi dan penyampaian vokal menjadikan lagu ini sebuah karya yang lengkap dan berkesan.

 

Tidak hanya terhad kepada audio, video muzik “Bahagia Lagi” turut memperkukuh penceritaan lagu ini. Dihasilkan dalam bentuk mini filem, visualnya menyampaikan emosi kehilangan dan harapan secara sinematik. Video muzik ini diarahkan oleh Gustaf Weldy dan menjalani penggambaran di Beantown, menampilkan naratif yang mendalam serta estetika visual yang kuat.

“Saya berharap lagu ini dapat menjadi penguat semangat dan seolah-olah runut bunyi untuk mereka yang sedang melalui situasi yang sama. Semoga Bahagia Lagi diterima dan didengarkan oleh lebih ramai pencinta muzik,” ujar Piche Kota.

Single “Bahagia Lagi” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama.

🎧 Dengarkan ‘Bahagia Lagi’ – Piche Kota
🎬 Tonton Video Muzik ‘Bahagia Lagi’ – Piche Kota

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *