Bab 3
Hanya satu persinggahan. Tiba waktu berlalu sepi. Merana seorang diri. Tiada siapa yang peduli.
DEMIKIANLAH sering terjadi. apa yang dirancang tidak memungkinkan dimakbulkan. Ada sahaja halangan. Bagaikan ada yang menghalang untuk meluahkan. Akhirnya segalanya terbuku di hati. Tidak terluahkan. Hanya kekesalan menggigit tangkai hati.
Camelia cuba memujuk hati dengan perancangannya yang separuh menjadi itu. Niatnya untuk menghabiskan masa meraikan hari jadi Arif Mikail tertunai juga. Cuma yang tidak tertunai adalah harapannya. Dia ingin menyampaikan hasrat hati.
Harapan kedua ibu dan ayahnya. Tetapi entah mengapa dia merasakan waktu tidak mengizinkan untuk dia meluahkan apa yang dirancang. Sikap Arif Mikail yang dilihatnya pura-pura mesra itu, menyedarkan Camelia yang dia tidak wajar menambah kepuraan yang terbina itu.
Mereka hanya bercerita soal biasa. Soal makanan, soal minuman. Berbasa basi tentang keputusan peperiksaan nanti. Tiada langsung menyentuh soal lain. Terutamanya soal hati. Itu yang membuatkan Camelia benar-benar kesal kerana dia menjadi begitu kelu dan kaku pada pertemuan yang telah dirancang lama.
“Kau pun tau kan, Ari mana suka buat parti parti ni. Kau sengaja menempah mautlah nak bersuprise bagai,” jelas Amira, teman baiknya ketika dia menyuarakan kekesalannya itu.
“Setahun sekali apa salahnya aku raikan untuk yang tersayang. Tak salah kan?”
“Memanglah pada kau tak salah. Tapi yang sambut hari jadi tu bukan kau. Sepatutnya kau lebih faham apa yang dia suka dan tidak. Kau ikut kepala sendiri. Tanggunglah bahananya…” balas Amira lagi. Jawapan yang memanaskan hati Camelia untuk menerima kenyataan kesilapannya itu.
“Dia tak marah sangat lah. Cuma nampaklah muka kurang selesanya tu. Mujur hanya kami berdua je masa tu. Kalau aku jemput kawan-kawan lain, rasanya dia blah awal kot?” tanya Camelia seakan membayangkan tindak balas Arif Mikail jika dia berbuat sedemikian.
“Bukan blah je. Putus cinta kot!”
“Eh kau ni Mira. Langsung tak sokong aku!”
“Sokong bawa rebah buat apa. Arif Mikail tu pun kawan aku. Aku masak benar dengan perangai dia. Kau yang mengaku sweet heart till jannah takkan tak faham kot?” tempelak Amira seakan mewakili isi hati Arif Mikail untuk menyerang balas perbuatan Camelia itu.
“Tak sempat aku nak sampaikan hajat ibu ayah aku…” keluh Camelia dengan dahi yang berkerut. Mukanya kelat dan masam. Terkilan benar dia.
“Kalau kau sampaikan pun, kau pasti dia bersetuju? Aku berani kerat jarilah, dia akan balik kampung cuti semester ni. Dia takkan duduk di Kuala Lumpur macam kita ni. Apatah lagi kau nak ajak dia bekerja di syarikat ayah kau tu. Lagi lah dia tak nak.”
Camelia mencubit pipi Amira. Terjerit Amira terkejut dengan tindakan spontan Camelia itu.
“Atleast dia dapat timba pengalaman dan tambah duit poket di sepanjang cuti semester ni. Balik kampung buat apa?”
“Eh kau ni… lupa ke Ari tu ada abang di kampung tu. Dia tetap balik kampung kalau cuti semester kan? Bukan kau tak faham lagi…” marah Amira dengan sikap mementingkan diri Camelia. Anak orang kaya semua macam ni ke? Suka buat keputusan ikut kepala sendiri? Desis Amira dalam hati.
“Mengata aku lah tu?” jeling Camelia seraya memandang Amira yang buat tidak peduli dengan pandangannya. Dia tetap tekun menonton cerita korea di kaca tv. Petang minggu itu mereka menghabiskan masa di bilik Camelia. Menonton dan makan-makan.
“Tau pun kau baca isi hati aku ek?” gelak Amira.
“Air muka kau tu aku tahu kau mengata aku…“Padan muka kaulah. Tak pandai jaga hati buah hati sendiri. “
Camelia tidak berkecil hati dengan sindiran Amira itu. Dia tahu Amira hanya berterus terang. Seorang kawan baik adalah kawan yang bukan hanya menurut sahaja. Mereka akan menegur dan mengkritik tanpa perlu menjaga hati. Teguran untuk kebaikan. Kritikan membina. Itulah sikap Amira yang sentiasa tidak bersetuju sekiranya ada tindakannya yang dirasakan kurang wajar. Begitu juga dia berbuat demikian pada Amira. Mereka saling mengingati satu sama lain.
“Kau jumpa je dia lain waktu. Bincang baik-baik… aku yakin Ari okey kalau kau berterus terang sebab sebenar kau mengajak dia bekerja di syarikat ayah kau tu,” ujar Amira memujuk.
“Aku pun tidak pasti bila dapat jumpa dia lagi lah. Tadi pun, aku nak hantar dia balik pun dia tak nak. Dia nak ke satu tempat lain katanya. Bila aku tanya tempat apa. Dia hanya tersenyum. Sakit hati aku betul waktu tu,” jelas Camelia.
“Adalah hal dia tu.”
“Kalau aku hantar kan okey?”
“Dia kan suka naik bas atau mrt je. Macam tak biasa…”
Camelia mengeluh. Bukan dia tidak faham. Tetapi hatinya bagai berbisik ada sesuatu yang disembunyikan daripada pengetahuannya.
Sebelum ini Arif Mikail tidak pernah membantah atau mengelak. Seminggu dua sahaja dia begitu berlainan. Seolahnya ada benda yang dirahsiakan.
“Beri dia masa. Aku yakin dia ada sebab tersendiri tu.”
“Aku harap macam tu lah. Risau aku. Dia tak macam Ari yang aku kenal!”
“Risiklah kat Farid, kawan baiknya tu!”
“Kau ni asyik-asyik Farid. Kalau sehari nama si Farid tu tak keluar dari mulut kau tu tak sah ke?’
“Aku mencadangkan je!” ucap Amira termalu sendiri. Merah mukanya. Tidak dia sangka Camelia terperasan dengan sikapnya itu. Nama Farid tidak pernah tertinggal dalam perbualan mereka jika bersangkut paut dengan Arif Mikail.
“Apa kata kita jumpa Farid?” saran Amira menambah cadangannya. Seperti Camelia yang terkilan tidak dapat meluahkan isihati pada Arif Mikail, begitulah juga dengan dirinya. Liat betul nak merebut hati Farid itu. Sampai masuk cuti semester, Farid masih bermain tarik tali dengannya. Mesej dan panggilannya langsung tidak dihiraukan. Kalau jawab pun ala kadar. Acuh tak acuh saja.
“Untuk apa nak jumpa dia?”
“Kita risiklah apa sebab Ari tu jadi macam tu.”
“Eh, tak nak aku. Kalau Ari tau nanti, mati aku. “
“Kita trylah dulu…”
“Kau nak jumpa dia sangat kan. Call sendirilah. Ngape nak libatkan aku?”
“Sambil menyelam minum air lah Lia oiii.”
“Kalau Ari betul-betul balik kampung awal, kau nak kata apa? Kalau kita dapat info daripada Farid bolehlah kita plan tindakan yang selanjutnya. Farid tu budak Kuala Lumpur. Dia mesti ada di sini sepanjang cuti semester. Bila bila masa aku boleh jumpa dan ngorat dia,” tokok Amira memberi dorongan pada Camelia agar bertindak segera. Walhal Amira amat mengharapkan Camelia bersetuju dengan cadangannya itu. Dia teringin benar nak berjumpa Farid. Tidak dilayan pun tidak mengapa. Janji dapat memandang Farid secara berdepan.
“Betul jugak kata kau tu. Perangai Ari tu lain benar. Buatnya aku tak sempat jumpa dia lagi camne?” Camelia termakan cadangan Amira. Dia yang sibuk mengunyah terhenti menikmati kerepek kegemarannya itu. Dia termenung seketika. Lama berfikir. Mencari idea bagaimana menyempurnakan cadangan Amira itu.
“Aku call Farid sekarang!” Amira senyum lebar mendengar keputusan Camelia. Tidak sia-sia dia memberi cadangan dan semangat. Akhirnya Camelia bersetuju. Seronok sungguh Amira. Tumpuan pada hero Korea di kaca tv terus hilang. Dia terbayangkan Farid minum bersamanya ketika temujanji nanti.





