Bab 8
Ramai lelaki baik, ramai juga perempuan baik. Tidak kurang juga ramai lelaki yang jahat. Perempuan pun sama. Kebaikan dan kejahatan itu hanya dipisahkan garisan yang nipis.
SAYA akhirnya bersetuju dengan pandangan Brian. Walaupun hanya bersandarkan pengalamannya bersama Tuan Khairil dan Cikgu Kamal, ia meninggalkan kesan yang cukup melukakan untuk dia terima.
Mujur Brian bukan seseorang yang mudah larut dengan perasaan sendiri. Dia tetap utamakan pelajarannya. Dia terluka tetapi kelukaan itu tidak menjadikan dia lalai dengan tuntutan masa depan. Brian tetap mahu berjaya. Soal ditinggalkan dan dilukakan, dia anggap sebagai asam garam kehidupan. Dia reda. Dia pasrah.
“ Tuan Khairil dan Cikgu Kamal dua contoh lelaki yang ramai aku temui. Mereka gemar mengambil kesempatan. Mereka juga tidak pernah hiraukan perasaan sesiapa. Hanya pentingkan apa yang mereka inginkan. Kerana itu jangan kau salahkan aku bila aku beranggapan lelaki semua sama macam mereka berdua!” kata Brian memohon pengertian saya.
Dia datang membawa minuman baharu. Kali ini jus tembikai yang dibuat sendiri. Dua buah laici diletakkan dalam setiap gelas. Sepiring kek lapis Sarawak menjadi peneman.
“Saya tak menyalahkan Brian pun. Kita ada pandangan masing-masing kan? Bukan hak saya untuk membuat ulasan sama ada bersetuju atau tidak. Rambut sama hitam, hati lain-lain,” balas saya lembut. Terasa nyaman tekak ketika jus tembikai singgah di kerongkong.
“Golongan seperti aku sering menjadi tempat melampiaskan nafsu lelaki. Percayakah kau kalau aku katakan ada lelaki yang memiliki keluarga yang sempurna, anak yang baik, isteri yang cantik dan menjaga makan minum sebaik mungkin tapi berskandal dengan orang seperti kami?”
Saya senyum nipis. Andai Brian tidak bercerita pun saya ada mendengar cerita itu. Malah ada melihat sendiri pelakunya. Bukan lagi sesuatu yang dirahsiakan. Cuma bak kata sesetengah daripada mereka. Pandai makan pandai simpan!
“Kami ingin menumpang sayang seketika. Cubalah berlaku adil sikit. Tetapi yang buat aku geram tu bila di depan umum atau isteri mereka, kami dikutuk macam anjing buruk kepala. Tetapi di belakang pengetahuan sesiapa terutama isteri mereka, mereka menagih perkhidmatan kami. Sanggup menjalani hubungan secara diam-diam atas alasan si isteri tidak mampu memuaskan keinginan nafsu mereka,” jelas Brian dengan geram.
“Salah isteri jugalah ye?” usik saya.
“Isteri yang baik dipersalahkan. Yang tak baik tu jangan cakaplah. Lagilah mereka kutuk. Sebab tu bila kawan-kawan seperti aku bercerita tentang skandal mereka dengan suami orang, aku gelak je. Dah lali. Depan isteri kutuk kami. Depan kami kutuk isteri. Mereka saja yang betul dan terbaik.”
Ramai lelaki baik, ramai juga perempuan baik. Tidak kurang juga ramai lelaki yang jahat. Perempuan pun sama. Makanya selagi dinamakan manusia, kebaikan dan kejahatan itu hanya dipisahkan garisan yang nipis.
***
BELAJAR melupakan Cikgu Kamal adalah sesuatu yang melukakan. Meskipun menghindari daripada terlibat dengan aktiviti persatuan dan teater, hatiku tetap juga tidak tenang. Aku sentiasa diburu rasa sakit hati dan benci terutamanya jika teringat atau terserempak dengan Cikgu Kamal.
Seboleh mungkin aku cuba mengelak daripada berjumpanya. Tetapi seperti biasa, sesuatu yang kita elakkan, tetap juga mendatang. Cikgu Kamal cuba memulihkan hubungan dengan aku. Tetapi aku telah nekad.
Hubungan kami sekadar itu sahaja. Jika dia ingin hubungan itu kekal sebagai cikgu dan anak muridnya, maka teruskan sahaja. Aku tidak akan bersetuju. Kami tidak bermula dengan hubungan sebegitu.
Cikgu Kamal akhirnya putus asa apabila aku terus melarikan diri daripadanya. Akhirnya kami menjadi asing di sekolah. Itu yang terbaik untuk kami berdua.
Kebetulan tiada urusan untuk aku berhubung dengannya. Dia tidak mengajar aku. Jika terserempak sekalipun aku pura-pura tidak mempedulikannya.
Menyibukkan diri dengan buku pelajaran, sedikit sebanyak membantu melupakan Cikgu Kamal. Peperiksaan percubaan STPM tidak berapa lama lagi. Aku tidak mahu tumpuanku terganggu hanya kerana Cikgu Kamal. Atas keyakinan itulah aku menumpukan sepenuh hati pada pelajaran. Setiap malam menelaah hingga jam dua pagi. Sebelah petang pula ke perpustakaan membuat rujukan.
Dalam kesibukan itu seringkali juga aku mengunjungi Kak Som yang menguruskan butik andaman pengantin. Kak Som selalu mengajak aku membantunya. Dia tidak menang tangan menerima tempahan mengandam terutamanya di musim cuti sekolah.
Aku yang sememangnya berminat dengan kerja seperti itu tidak menolak. Di waktu kelapangan aku berada sepanjang hari di butik Kak Som. Di situlah banyak ilmu baru tentang kecantikan dan dandanan aku pelajari. Kak Som tidak lokek mengajar. Kata Kak Som aku ada bakat menyolek. Jemariku begitu bersahaja ketika menyolek salah seorang pembantu
Kak Som ketika dia meminta aku membuat latihan amali solekan.
Perkenalan aku dengan Kak Som bermula apabila sepupuku Mariam ingin berkahwin. Dia mengajak aku menemaninya mencari butik perkahwinan sekitar bandar. Mariam yang akan berkahwin dengan seorang askar, mengimpikan sebuah perkahwinan yang sederhana. Dia ingin kelihatan cantik dengan solekan yang minimal tetapi anggun.
Lantas aku teringatkan butik andaman pengantin Kak Som yang bersebelahan restoran mamak yang sering aku kunjungi. Semenjak itulah aku dan Kak Som rapat. Dia cukup memahami aku. Kak Som sering memberi perangsang dan nasihat. Kami selalu berkongsi cerita. Daripada soal biasa sehinggalah hal peribadi.
Kak Som ramai kawan sepertiku. Dia faham tentang naluri golongan seperti aku. Kata Kak Som, aku masih dalam kategori mencari nilai diri. Masih terperangkap dengan dunia lelaki dan perasaan seorang perempuan. Memang secara zahir aku tampil berpakaian seperti lelaki, tetapi dalaman aku lebih dari seorang perempuan.
Bersama Kak Som aku boleh berkongsi apa juga cerita. Dia melayanku seperti seorang adik perempuannya. Kisah aku dengan Tuan Khairil dan Cikgu Kamal pun aku ceritakan pada Kak Som tanpa rahsia.
“Orang mcam kita ni sering sangat dipermainkan. Akak dulu pun terkena. Berhabisan kerana lelaki. Macam-macam cara akak lakukan untuk menarik perhatiannya. Baiknya hanya sekejap. Jumpa yang berdahi licin, dia cabut lari,” cerita Kak Som tentang bekas suaminya yang kahwin lari dengan janda anak lima dari seberang.
“Akak yang begini cantik pun dipermainkan?” aku bertanya dengan hairan. Kak Som yang belum menjangkau 40 tahun itu memang cantik. Bentuk badan langsing dan pejal. Apabila berkebaya pendek dan bersanggul, terpukau mata memandang. Tiada siapa tahu dia sudah ada enam orang anak.
“Orang lelaki ni bukan kira kita cantik atau tidak. Kalau dah datang angaunya, bidadari syurga pun tidak mereka pandang. Macam kes akak, suami akak tu alim, solat tak tinggal, tetapi digoda perempuan seberang, lupa segalanya. Lupa anak bini, lupa segala janji sehidup semati. Gitu-gitu je akak ditinggalkan,”
“Sebab tu akak malas nak fikir soal kahwin lagi. Nak tumpu pada bisnes ni je. Besarkan anak-anak. Soal jodoh tu akak tak tolak. Tetapi kalau boleh biarlah ditemukan dengan lelaki yang boleh menerima akak dan anak-anak dengan penuh kasih sayang,” jelas Kak Som tenang.
“Mamak pemilik restoran sebelah ni nampaknya berkenan dengan akak?” usik aku.
Kak Som mencebik. Dia lantas ketawa. Bukan aku sahaja yang menyedari Pakcik Maiden selalu menghantar makanan ke butik Kak Som tanpa dipinta, Kak Som juga tahu. Dia sedar tentang ‘rasuah’ makanan percuma pemilik restoran itu. Tetapi Kak Som buat tak peduli. Dia jinak-jinak merpati. Dipandang boleh, didekati terbang tinggi.
“Malas nak fikirlah Bahrin oii. Akak senang hidup macam ni. Bebas. Tak ada siapa nak halang apa akak nak buat. Kalau ada suami, mana mungkin akak boleh tumpu pada butik ni siang malam. Silap hari bulan dia nak berkepit je. Tidakpun jadikan akak punca pendapatannya. Eee… akak tak rela. Kalau lelaki makan duit bini ni. Selisih malaikat empat puluh empat!”
“Mamak sebelah tu kaya raya kak. Hensem boleh tahan. Nombor empat selepas Shah Rukh Khan,” usikku. Kak Som gelak besar mendengar usikanku.
Begitulah kami saling menasihati satu sama lain. Kalau seorang tengah sedih, seorang lagi akan menenangkan.
Memiliki minat yang sama terus menjadikan kami semakin akrab. Kak Som terus menurunkan ilmu solekan dan dandanannya. Buat pertama kali dalam hidup aku merasa amat bahagia dengan apa yang aku pelajari. Jemariku semakin mahir untuk menyolek wajah sesiapapun. Seandainya Kak Som sibuk, aku akan menggantikannya.
Disedari atau tidak, sering kali juga aku mencuri peluang menyolek diri sendiri. Ada waktunya aku akan memerap lama di bilik air untuk berdandan. Puas hati dengan wajah bersolek cantik, aku mencuci kembali. Bimbang teman-teman ketahuan. Seboleh mungkin biarlah kegiatanku itu di luar pengetahuan sesiapa. Belum waktunya aku mendedahkan siapa sebenar dan apa aktiviti aku kepada sesiapapun.
Dan dalam berhati-hati itu tembelangku pecah. Kejadian malam itu masih segar diingatan. Waktu itu aku di rumah sedang bersiap untuk memulakan kelas persekolahan pada esoknya setelah bercuti penggal.
Di luar kesedaranku, ayah telah atau memang sengaja berbuat begitu telah membuka begku. Ibu hanya tercegat kaku apabila ayah membaling set solekan pemberian Cikgu Kamal ke arahku.
Aku yang baru keluar dari bilik air terpinga-pinga. Malam itu ayah bagai gajah naik minyak. Aku disepak terajang. Tubuhku lumat menerima penumbuk dan kakinya.
“Tidak! Aku lebih rela engkau mati daripada memalukan keluarga!” ayah bingkas bangun. Dia bergegas ke dapur.
Beberapa ketika kemudian dia muncul dengan parang panjang di tangan. Ibu menjerit meminta tolong. Aku memejamkan mata ketika ayah meluru ke arahku.
Dalam kekalutan itu, aku terdengar bunyi benda jatuh. Segera aku membuka mata. Ya Allah, ibu jatuh pengsan. Dia terjelepuk di lantai. Ayah yang begitu bersemangat meluru ke arahku, termati langkah. Pantas dia mendapatkan ibu lalu memangku di pahanya. Berulang kali ayah memanggil nama ibu.
Memikirkan tiada gunanya berlamaan lagi, aku bersegera turun ke tanah. Biarlah seketika aku berpindah dan menetap di rumah Kak Som. Esok lusa aku akan pulang. Andai ayah masih marah terserahlah. Aku tetap akan pulang demi ibu.
***
“HEI, apa yang difikirkan tu? Terkenang kekasih lama?” bisik Syed Ikram memeluk aku dari belakang. Berdiri romaku apabila bibirnya mencium pangkal telingaku.
“Eh, semua tetamu dah balik?” aku memandang keliling. Kediamanku sunyi sepi. Hanya sisa makanan yang masih di meja.
“Itulah asyik melamun, kawan-kawan balik pun tak sedar!” usik Syed Ikram penuh mesra.
Aku menjadi malu dengan sikapku itu. Mengapalah aku menghabiskan masa terindahku dengan bermenungan. Mengingati kisah lama yang melukakan. Sewajarnya ‘malam perkahwinanku’ ini diisikan dengan kemesraan dan gurau senda.
“Dah la tu sayang, yang lepas tu biarlah lepas. Fikirkan apa yang terjadi sebenar lagi…” senyum Syed Ikram melebar.
Renungannya menikam kalbu. Aku gelisah dan hati merintih gembira.
Belum sempat membuka mulut, Syed Ikram dengan pantas mengangkat aku dalam dukungannya. Terkedu aku dan hilang kata-kata. Hanya termampu memejamkan mata dan membiarkan Syed Ikram mengatur langkah ke kamar pengantin.





