ASYRAF NASIR BAWA NAFAS BAHARU HIP HOP MALAYSIA
“CINDERELLA” – Kisah Dongeng Moden Dengan Sentuhan Segar
Nama Asyraf Nasir semakin mengukuhkan kedudukannya dalam dunia hip hop tempatan apabila tampil dengan single terbaharu berjudul “CINDERELLA”. Sebuah karya penuh gaya dan keyakinan, lagu ini membawa nafas baharu dalam menterjemahkan kisah dongeng moden, bebas daripada klise kasut kaca tetapi sarat dengan mesej keberanian untuk tampil menonjol.
Dilancarkan sebagai lagu feel-good untuk mereka yang sering dipinggirkan atau dianggap underdog, “CINDERELLA” meraikan momen apabila seseorang akhirnya mendapat perhatian dunia – bukan dengan keseriusan yang berat, tetapi dengan aura segar, nakal, dan penuh pesona.
“CINDERELLA adalah untuk sesiapa sahaja yang pernah merasa terpinggir, namun tetap percaya bahawa mereka punya keistimewaan tersendiri. Lagu ini adalah tentang keyakinan – saat semua mata tertumpu pada anda, dan anda menikmatinya sepenuhnya,” ujar Asyraf.
Menariknya, “CINDERELLA” dihasilkan hanya dalam tempoh dua hari, sebahagian besarnya menggunakan rakaman pertama (first take), mengekalkan keaslian tenaga dan kejujuran emosi. Kolaborasi bersama penerbit dan rakan seniman, SonaOne, turut melahirkan hasil yang segar dan organik.
Asyraf menambah, “Bekerja dengan SonaOne ibarat bermain ping-pong idea. Dia tahu bila perlu membina ruang, bila perlu meningkatkan tenaga. Tiba-tiba, lagu ini hidup dengan sendirinya.”
Lagu ini turut menampilkan elemen istimewa apabila bahagian pembukaan dengan bunyi eccentric synth piano diolah daripada lagu lama Malaysia, diberi sentuhan moden sehingga menghidupkan kembali memori dalam dimensi baharu.
Menariknya, “CINDERELLA” bermula sebagai demo pada tahun 2020. Selepas lima tahun, melodi asal masih kekal kuat, sehingga hampir tiada perubahan besar dilakukan dalam versi akhir. “Kita hanya perhalusi adunan muzik, tetapi jiwa lagu itu dikekalkan. Saya percayakan KidKenobi untuk memastikan sentuhan akhirnya sempurna,” jelas Asyraf.
Sebagai nota tambahan, tajuk asal lagu ini pernah diguraukan sebagai “Condifento” – namun kini berevolusi menjadi “CINDERELLA”, pembuka tirai kepada era baharu Asyraf Nasir.
“Anda sedang menyaksikan babak pertama fasa baharu saya. Setiap lagu selepas ini akan hadir dengan karakter dan personaliti tersendiri, seolah-olah watak dalam sebuah filem. Saya mahu pendengar tenggelam dalam fantasi muzik ini,” kata Asyraf penuh yakin.
Dengan “CINDERELLA”, Asyraf bukan sahaja menampilkan sisi terbaharunya, tetapi juga membuktikan bahawa kisah dongeng moden boleh disampaikan dengan rentak hip hop – penuh gaya, penuh keyakinan, dan penuh identiti.
Single “CINDERELLA” boleh didapati di semua platform digital bermula 8 Ogos 2025.





