ZYNAKAL KEMBALI MENYENTUH JIWA MENERUSI SINGLE TERBAHARU “NIAT”
Sebuah Refleksi Emosi Tentang Keikhlasan, Keraguan dan Keberanian Untuk Mencintai Semula
SELEPAS melalui pelbagai fasa dalam perjalanan seni dan kehidupan, penyanyi, komposer serta penerbit muzik prolifik, Zynakal, kembali dengan single terbaharunya berjudul “NIAT”, sebuah karya yang mengangkat sisi paling rapuh dalam emosi manusia — keinginan untuk dicintai, ketakutan untuk terluka, dan persoalan tentang keikhlasan dalam sebuah hubungan.
Dikenali dengan keupayaannya menghasilkan karya yang dekat dengan realiti kehidupan generasi masa kini, Zynakal sekali lagi membuktikan kematangannya sebagai pengkarya menerusi lagu yang sarat dengan kejujuran emosi dan penceritaan yang mendalam. “NIAT” hadir sebagai sebuah refleksi tentang dilema yang sering menghantui ramai individu apabila berdepan dengan perasaan cinta selepas melalui pengalaman yang meninggalkan kesan mendalam.
Melalui bait lirik yang menyentuh seperti “apa niat dalam hati, benarkah aku kau cari, atau cuma mahu isi kekosongan dalam hati”, Zynakal merakamkan kegelisahan seseorang yang cuba memahami maksud sebenar kehadiran insan lain dalam hidupnya. Ia bukan sekadar kisah percintaan, tetapi gambaran tentang pencarian keyakinan, kepercayaan dan keberanian untuk membuka hati sekali lagi.
Sebelum dikenali sebagai penyanyi, Zynakal terlebih dahulu membina reputasi kukuh sebagai komposer dan penerbit rakaman di sebalik beberapa karya popular tanah air. Antaranya termasuk “Sabar” nyanyian Ismail Izzani, “Selamat Tinggal Sayang” oleh Haqiem Rusli serta “Terasa Cinta” yang dipopularkan oleh Fara Hezel dan Aiman Tino.
Karier nyanyiannya pula mula mendapat perhatian menerusi single “Terbang” pada tahun 2018 sebelum fenomena “Sakit” bersama Yonnyboii melonjakkan namanya sebagai antara figura paling berpengaruh dalam landskap muzik urban Malaysia. Lagu tersebut mencipta sejarah tersendiri apabila menduduki tangga pertama carta RIM ‘Single Paling Distrim di Malaysia’ selama lapan minggu berturut-turut.
Kini, menerusi “NIAT”, Zynakal tampil dengan sisi yang lebih matang dan introspektif. Lagu ini lahir daripada pemerhatian terhadap realiti kehidupan serta pengalaman yang membentuk dirinya sebagai seorang individu dan pengkarya. Ia menjadi suara kepada mereka yang pernah berdepan ketidakpastian dalam hubungan, namun masih menyimpan harapan untuk menemukan cinta yang tulus.
Dari sudut produksi, “NIAT” mengetengahkan susunan muzik yang minimalis namun penuh nuansa emosi. Gabungan melodi yang mudah dihayati bersama lirik yang jujur menjadikan lagu ini dekat dengan pengalaman ramai pendengar, sekali gus memperkukuhkan kekuatan Zynakal dalam menghasilkan karya yang autentik dan relevan.
Dengan pelancaran “NIAT”, Zynakal meneruskan komitmennya untuk menghasilkan muzik yang bukan sahaja menghiburkan, malah menjadi ruang refleksi dan terapi emosi buat pendengar yang melalui pelbagai warna kehidupan.
“NIAT” kini boleh distrim di semua platform penstriman digital.
Kredit Lagu
Komposer: Zynakal
Lirik: Zynakal
Penerbit: Wongie7
Jurutera Adunan (Mixing Engineer): Zynakal
Jurutera Mastering (Mastering Engineer): Ian Koren





