KHADAM PERKUKUH NARATIF EMOSI MENERUSI RUNUT BUNYI ASAL “TAK BERLAGU”

APABILA SUNYI BERBICARA, “TAK BERLAGU” MENJADI NADI EMOSI FILEM KHADAM

Lagu Tema Rasmi Filem Seram Dramatik Khadam Menampilkan Ernie Zakri Dalam Sebuah Persembahan Penuh Jiwa dan Penghayatan

MENJELANG tayangan filem seram dramatik Khadam pada 11 Jun ini, runut bunyi asal (OST) rasmi berjudul “Tak Berlagu” dilancarkan sebagai sebuah karya yang memperluaskan naratif filem tersebut melalui bahasa muzik yang mendalam, menyentuh dan penuh makna.

Dipersembahkan oleh penyanyi tersohor Ernie Zakri, “Tak Berlagu” merupakan sebuah balada emosional yang mengangkat tema kasih sayang, kehilangan dan pengorbanan seorang ibu. Lagu ini menjadi cerminan kepada perjalanan emosi watak utama, Melor, yang berdepan ujian getir demi melindungi insan yang paling dicintainya.

Dicipta oleh Rendra Zawawi bersama NJWA, yang turut menulis lirik sepenuhnya, karya ini dibangunkan secara teliti bagi menyelaraskan perkembangan emosi lagu dengan perjalanan naratif filem. Bermula dengan susunan yang sederhana dan penuh ketenangan, lagu ini berkembang kepada sebuah ledakan emosi yang mendalam, mencerminkan pergolakan jiwa yang dialami oleh watak utama.

Menurut Datuk Ahmad Izham Omar, Penerbit Eksekutif Khadam, kekuatan utama “Tak Berlagu” terletak pada keupayaannya menyampaikan emosi secara organik dan berlapis.

“Keistimewaan lagu ini terletak pada bagaimana melodi dan ritmanya dibentuk dengan ketelitian yang tinggi, bukan sahaja dari sudut teknikal tetapi juga dari segi emosi. Ia bergerak seiring dengan perkembangan jalan cerita dan perjalanan jiwa Melor, menjadikannya sebahagian daripada pengalaman penceritaan filem ini.”

Berbeza daripada kebanyakan karya seram yang bergantung kepada elemen kejutan, Khadam memilih pendekatan yang lebih mendalam dengan menekankan kekuatan emosi dan hubungan kemanusiaan. Dalam konteks itu, muzik memainkan peranan penting dalam membentuk suasana dan pengalaman keseluruhan filem.

Komposer dan penerbit lagu, Rendra Zawawi, menjelaskan bahawa “Tak Berlagu” dibina daripada ruang sunyi yang menjadi asas kepada segala rasa yang ingin disampaikan.

“Dalam Khadam, muzik tidak sekadar mengiringi cerita. Ia menjadi medium untuk menyampaikan emosi yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Lagu ini berkembang daripada keheningan yang sarat dengan perasaan.”

Beliau turut mengakui bahawa sentuhan NJWA sebagai seorang ibu telah memberikan dimensi yang lebih jujur dan dekat kepada karya tersebut.

Dari sudut produksi, “Tak Berlagu” menampilkan standard bertaraf antarabangsa menerusi proses adunan oleh Alvin Wee, anak Malaysia yang kini berpangkalan di Los Angeles, manakala proses mastering dikendalikan oleh Jett Galindo. Kedua-duanya merupakan penerima pengiktirafan Anugerah Grammy, sekali gus mengangkat mutu teknikal lagu ini ke tahap yang lebih tinggi.

Keindahan karya ini turut diperkukuhkan menerusi penggunaan instrumen akustik secara langsung termasuk piano, violin, viola, cello dan double bass yang menghasilkan tekstur bunyi lebih organik, intim dan menyentuh jiwa.

Bagi Ernie Zakri, penglibatannya dalam projek ini hadir daripada hubungan emosinya yang mendalam terhadap kisah yang diketengahkan.

“Sebagai seorang ibu, saya benar-benar dapat merasakan setiap emosi yang dibawa dalam cerita ini. Apabila mengetahui lagu ini merupakan hasil kerjasama Rendra dan NJWA, saya terus yakin untuk menjadi sebahagian daripadanya.”

Beliau turut mengakui bahawa proses rakaman lagu tersebut merupakan antara pengalaman paling emosional sepanjang kerjayanya.

“Saya tidak dapat menahan air mata sepanjang sesi rakaman kerana saya benar-benar menyelami perasaan yang ingin disampaikan oleh watak Melor.”

“Tak Berlagu” diterbitkan menerusi kerjasama strategik antara Komet Productions, Red Communications dan Universal Music Malaysia, yang menghimpunkan kepakaran dalam bidang penerbitan filem, komunikasi strategik dan industri muzik dalam satu kolaborasi yang saling melengkapi.

Menurut Hermond Cheng, Pengarah Kanan A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, projek ini menonjol kerana muzik dan penceritaan bergerak seiring sebagai satu kesatuan kreatif.

“Filem Khadam memberi penekanan yang besar terhadap penceritaan melalui lagu. Muzik bukan sekadar elemen pelengkap, tetapi menjadi sebahagian daripada naratif itu sendiri. Ernie pula mempunyai kekuatan vokal dan keupayaan luar biasa dalam menyampaikan emosi, menjadikannya pilihan paling tepat untuk karya ini.”

Pelancaran “Tak Berlagu” membuka ruang baharu kepada Khadam untuk mendekati audiens menerusi platform muzik digital, sekali gus memperkukuhkan kedudukannya sebagai sebuah karya seram dramatik yang mengutamakan kekuatan emosi, ketelitian bunyi dan mutu produksi yang tinggi.

“Tak Berlagu” kini boleh distrim di semua platform muzik digital utama, manakala video muzik rasmi akan dilancarkan dalam masa terdekat menerusi saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia.

Filem Khadam bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 11 Jun 2026.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *