ANDI BERNADEE REALISASIKAN IMPIAN SEDERAP DEKAD MENERUSI ALBUM SULUNG “DING GEDING”
SELEPAS hampir sedekad mengukuhkan namanya dalam industri muzik tanah air menerusi deretan lagu hit dan persembahan yang memikat perhatian ramai, penyanyi, penulis lagu dan penghibur serba boleh, Andi Bernadee, akhirnya melakar satu lagi pencapaian penting dalam kerjayanya dengan pelancaran album sulung berjudul “Ding Geding.”
Menampilkan 12 buah lagu yang merentasi pelbagai warna muzik, emosi dan pengalaman hidup, album ini menjadi simbol perjalanan seni Andi yang penuh jatuh bangun, keberanian untuk bereksperimen serta kematangan yang dibina sepanjang sembilan tahun berkarya.
Menurut Andi, “Ding Geding” bukan sekadar sebuah album, sebaliknya sebuah dokumentasi peribadi yang merakamkan pelbagai episod kehidupan yang pernah dilaluinya.
“Album ini menghimpunkan pelbagai emosi – kegembiraan, kekecewaan, kekeliruan dan kebahagiaan. Itulah realiti kehidupan yang sebenar. Saya mahu pendengar merasai setiap perjalanan emosi itu bersama saya dan menemukan sebahagian daripada kisah mereka dalam lagu-lagu yang saya hasilkan,” katanya.
Antara karya yang paling dekat di hati Andi ialah “Seksa Jiwa”, sebuah lagu berteraskan soul ballad yang memperlihatkan sisi vokal dan ekspresi emosi yang jarang diterokainya sebelum ini. Walaupun genre tersebut bukan kebiasaan buat dirinya, cabaran menghasilkan lagu itu akhirnya membuahkan kepuasan yang sukar digambarkan.
“Proses menyiapkan ‘Seksa Jiwa’ sangat mencabar kerana ia berada di luar zon selesa saya. Namun apabila lagu itu siap sepenuhnya, ia menjadi salah satu karya kegemaran saya dalam album ini. Lagu tersebut mempunyai jiwa dan kesan yang sangat mendalam apabila didengari secara peribadi,” jelasnya.
Melalui album ini juga, Andi memperlihatkan evolusi dirinya sebagai seorang pengkarya yang lebih terbuka terhadap eksplorasi muzik baharu tanpa mengabaikan identiti seni yang telah membina hubungan erat antara dirinya dan para peminat selama ini.
Keunikan tajuk album “Ding Geding” pula tercetus daripada inspirasi sebuah babak ikonik dalam filem klasik Melayu Ahmad Albab, khususnya frasa terkenal “berding-geding” yang diungkapkan oleh watak anak jin dalam filem tersebut. Frasa itu kemudiannya berkembang menjadi konsep utama album yang bersifat santai, kreatif, menghiburkan dan mudah melekat dalam ingatan.
“Saya mahukan sesuatu yang unik dan mengundang rasa ingin tahu. Sama seperti album ini, setiap lagu mempunyai karakter tersendiri yang menjadikan pengalaman mendengarnya lebih menyeronokkan dan berwarna-warni,” katanya.
Lebih istimewa, pelancaran album ini hadir selepas Andi melalui tempoh yang cukup mencabar apabila berdepan masalah kesihatan yang menyebabkan perancangan asal penerbitannya terpaksa ditangguhkan. Sepanjang tempoh tersebut, beliau turut bergelut dengan cabaran fizikal dan mental, namun tetap meneruskan proses kreatif demi merealisasikan impian yang telah lama disimpan.
“Sejujurnya saya berasa sangat lega dan bersyukur. Saya menunggu hampir sembilan tahun untuk menghasilkan album pertama ini. Ada ketika saya berdepan situasi di mana suara saya tidak keluar dan badan saya menggeletar, tetapi saya tetap hadir ke studio dan meneruskan perjuangan selagi mempunyai kekuatan,” ujarnya.
Pengalaman tersebut turut mengubah cara pandangnya terhadap kehidupan dan dunia seni. Bagi Andi, nilai sebenar kejayaan bukan sekadar terletak pada destinasi akhir, tetapi pada setiap proses, cabaran dan pengorbanan yang dilalui sepanjang perjalanan.
Melalui “Ding Geding”, Andi berharap setiap lagu yang dihasilkan mampu menjadi teman, penguat semangat dan ruang pelarian buat para pendengar yang sedang melalui pelbagai fasa kehidupan.
“Jika ada satu lagu dalam album ini yang mampu membuat seseorang berasa difahami, tidak keseorangan atau kembali mempunyai harapan, itu sudah cukup bermakna bagi saya sebagai seorang pengkarya,” katanya.
Album “Ding Geding” akan mula menemui peminat di semua platform penstriman digital bermula 5 Jun 2026, menandakan bermulanya satu babak baharu dalam perjalanan seni Andi Bernadee.
Ikuti perkembangan terkini Andi Bernadee menerusi platform media sosial rasmi beliau di Instagram, TikTok dan YouTube.





