STACY KEMBALI MENYENGAT! “MEGA CHING!” CIPTA FENOMENA DANCE POP

 

Stacy Kembali Menggegarkan Pentas Muzik — “Mega Ching!” Tanda Era Baharu Energi Elektro-Dance

 RATU tari negara, Stacy, kembali mencorakkan landskap muzik tempatan dengan pelancaran single terbaharunya berjudul “Mega Ching!”, sebuah karya beridentiti segar yang menggabungkan elemen elektro-dance kontemporari dan karakter artistik yang sudah sinonim dengan perjalanan seninya.

Dicipta sepenuhnya oleh Stacy di bawah nama pena Bunga Cantik, “Mega Ching!” tampil sebagai simbol keberanian, keyakinan serta ekspresi diri yang mencerminkan evolusi muzik penyanyi kelahiran Sabah itu. Single ini turut menandakan kemunculan semula warna muzik yang menjadi kerinduan peminat sejak awal kemunculan beliau di industri.

Inspirasi & Proses Kreatif yang Teliti

Menurut Stacy, “Mega Ching!” lahir daripada personaliti dan aura pentasnya sendiri.

“Idea ini datang ketika saya berada di atas pentas — cara melunturkan rasa gementar sambil mendisiplinkan diri ketika menyanyi dan menari. Istilah ‘mega ching’ pula memang mencerminkan karakter bersahaja saya sejak dulu,” jelasnya.

Mengambil masa hampir lima bulan dengan beberapa kali penukaran melodi, Stacy dan pasukan produksi memberi penekanan khusus pada kualiti serta ketelitian pembikinan lagu tersebut.

Identiti Baharu: EDM K-pop, Rap & Dialek Sabah

“Mega Ching!” membawa pembaharuan total dalam katalog muzik Stacy. Mengadun ‘arrangement’ berinspirasikan EDM K-pop bersama melodi serta lirik yang mengekalkan karakter uniknya, lagu ini turut memaparkan elemen baharu — rap dengan dialek Sabah, buat pertama kali dalam kerjayanya.

“Rentaknya fun, energetic dan menjadi booster keyakinan. Tema persaingan sihat dan sindiran manja dalam lirik memberi mesej jelas: ‘Bring it on!’ — teruskan usaha, yakin pada diri, tetapi tetap tahu batas,” katanya.

Sambutan Awal & Harapan Buat Peminat

Maklum balas awal daripada pasukan produksi dan rakan industri amat positif — ramai menyifatkan lagu ini sebagai “kepulangan Stacy”.

“Semoga ‘Mega Ching!’ menjadi suntikan aura positif dan ‘feel good’ buat pendengar. Saya mahu peminat berani, autentik dan keluar daripada zon selesa,” ujarnya.

Sebahagian Daripada Projek Album Terbaharu

Stacy turut mengesahkan bahawa “Mega Ching!” merupakan salah satu trek daripada projek album penuh yang kini dalam proses akhir rakaman.

Bagi video muzik rasmi, Stacy hanya memberikan teaser ringkas: “Surprise!”


Ketersediaan di Platform Digital

Single “Mega Ching!” terbitan Nova Music Malaysia boleh mula distrim di semua platform digital mulai 28 November 2025.
Video lirik rasmi  dilancarkan di saluran YouTube Rhythm & Rhyme Entertainment pada hari yang sama, jam 8 malam.


 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *