MALAYSIA PERKUKUH EKOSISTEM AGROMAKANAN MELALUI MAHA 2026

MAHA 2026 PERKUKUH AGENDA KETERJAMINAN MAKANAN NEGARA
TEMA BAHARU: “PENCIPTAAN NILAI DEMI KETERJAMINAN MAKANAN”

 PAMERAN Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) kembali mengangkat aspirasi negara melalui Pra Pelancaran MAHA 2026 yang disempurnakan oleh YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, hari ini di MAEPS, Serdang.

Edisi MAHA kali ini, yang dijadualkan berlangsung pada 28 Ogos hingga 6 September 2026, mengusung tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan” atau “Value Creation for Food Security”, mencerminkan visi Malaysia membina ekosistem agromakanan yang lebih teguh, berdaya tahan serta dipacu teknologi masa depan.

Majlis pra pelancaran ini berperanan sebagai pemangkin kesedaran awal, merangsang penyertaan, dan mengukuhkan kerjasama strategik antara agensi kerajaan, rakan industri, pemain sektor pertanian serta pihak media. Pada majlis tersebut, logo, maskot serta sasaran utama MAHA 2026 turut diperkenalkan, disusuli acara pelepasan kenderaan Road to MAHA 2026.

Selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 (DAN 2.0), MAHA 2026 menegaskan komitmen Malaysia dalam memastikan bekalan makanan negara kekal mencukupi, selamat dan mampan. Ia turut memberi fokus kepada inovasi, pendigitalan serta penciptaan nilai yang mampu membuka peluang pertumbuhan ekonomi baharu dalam sektor agromakanan.

Selain mengangkat teknologi dan inovasi, agropelancongan terus diraikan sebagai jambatan yang menghubungkan masyarakat, mengukuhkan warisan desa serta mempromosikan hasil tempatan dan kepelbagaian budaya Malaysia. MAHA 2026 akan menghimpunkan para petani, usahawan, pelabur, institusi serta penginovasi bagi memperluaskan rangkaian perniagaan dan memperkukuh transformasi industri pertanian negara.

Pelbagai segmen dan tarikan istimewa bakal menanti pengunjung termasuk pameran bunga, pameran agroteknologi, fiesta makanan, pertandingan agro, persembahan laser dan air, sukan rakyat, rewang warisan, Rhythm of the Farmers (ROTF), sesi santai kopi, Agropreneur Muda, Kiddies Wonderland, Agro Safari, Taman Burung dan banyak lagi.

MAHA 2026 juga menjadi platform unggul bagi memperkenalkan teknologi pertanian terkini, produk dan perkhidmatan agromakanan kepada pasaran yang lebih luas. Para usahawan berpeluang meneroka peluang perdagangan, kolaborasi teknologi, pasaran import-eksport serta melancarkan produk inovatif yang berpotensi tinggi dalam sektor agro.

Dengan penyertaan pempamer tempatan dan antarabangsa, MAHA 2026 memberi peluang strategik kepada perniagaan untuk memperkukuh jaringan sedia ada, membina hubungan global serta memahami trend pasaran terkini bagi meningkatkan daya saing.

Sasaran penganjuran MAHA 2026 adalah:

  • 4 juta pengunjung

  • RM8 bilion nilai pemeteraian MOU/MOA

  • RM58 juta transaksi jualan

  • Lebih 2,000 pempamer

  • 800,000 penglibatan belia


 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *