MENUJU PUNCAK…

AJL39 : MENUJU PUNCAK ✌️
.
Marsha Milan menunggu 20 tahun untuk berada di puncak Anugerah Juara Lagu. Perjuangan empat tahun berbaloi di pentas AJL39 merealisasikan segala Hening Rindunya. Sebuah rindu yang berbalas.
.
Tanpa sedar AJL36 menghimpun bintang dari Akademi Fantasia. Bintang yang dikatakan dahulu ‘mee segera’ kini menggegarkan persada seni muzik Malaysia. Daripada Akim, Hafiz, Amir Masdi, Aisyah Aziz, Hael Husaini dan Stacy ( Bunga Cantik) kesemua mereka tentunya dalam hati menyanyikan Reunion lagu keramat AF Menuju Puncak. Ternyata setelah sekian lama bakat bintang AF terus relevan dan menjadi tunjang kemeriahan setiap pentas akhir AJL.
.
Begitu juga Nadeera dan Aina Abdul,program Mentor dan Ernie Zakri, RTM. Bintang-bintang program realiti inilah yang sentiasa memberikan wajah berbeza dan kreatif dalam setiap persembahan mereka.
.
Aina Abdul dengan jantung dan darahnya itu pasti Puas Sudah dengan anugerah Persembahan Terbaik meskipun ianya undian daripada peminat tegar beliau. Saban tahun Aina sentiasa hadir dengan persembahan berbeza. Dan kita ternanti-nanti gimik dan tema apa yang akan dipersembahkan. Aina mengingatkan saya pada Noraniza Idris yang sentiasa bawa team sekampung dalam AJL lalu.
.
Pun begitu banyak hal juga saya ingin katakan tentang AJL39. Rata-rata semua finalis sakan memberikan persembahan terbaik mereka. Pujian harus diberikan untuk semua. Justeru apakah tidak mustahil pada edisi ke 40 nanti, penambahan jumlah RM dipertingkatkan sesuai dengan prestij AJL itu sendiri. Jika OIAM yang mengangkat bakat baru seperti Marygrace membawa pulang RM500 ribu, kenapa tidak hadiah kemenangan untuk AJL juga begitu. Tidak mustahil bukan? Apakah taraf AJL lebih rendah daripada OIAM sendiri apabila jumlah hadiah untuk artis yang bertungkus lumus di pentas akhir sekadar jumlah yang sama setiap tahun?
.
Saya tidak pertikaikan kemenangan Hening Rindu dan barisan pemenang yang lain. Seperti lagu Akim Saksama, kesemua pemenang diberi anugerah yang Saksama. Tiada yang pulang dengan anugerah yang lebih. Walau sebenarnya saya mengharapkan Kumpulan Masdo menang Juara Lagu, saya tetap berlapang dada. Sekurangnya pilihan saya Nadeera dan Erni Zakri tidak pulang kosong. Hael Husaini yang gagal dengan Diamnya, boleh jugak tersenyum dengan kemenangan Bukan Lagi Kita selaku pencipta lagu. Tidak mengapalah. Adat pertandingan bukan?
.
Naz dan Sissy Imann berjaya dengan sisi pengacaraan. Ilmu muzik yang diberikan Sissy cukup kena dengan konsep AJL. Tidak perlu lawak murahan lagi. Cukup sekadar bercerita tentang lagu, lirik dan sejarah AJL. Cuma Sissy perlu lebih relax sedikit dan santai santai ketika mengacara. Mujur Naz banyak menyelamatkan situasi.
.
Entah mengapa perlu diselitkan lagu dari Tiada Logika nyanyian Agnes Monica pada pembukaan. Apatah kita terlalu kurang lagu rancak sebegitu? Ku Milikmu Siti Nurhaliza , Ikut Rentakku Jaclyn Victor atau Apokalips serta Tanya Sama Hud Hud dari M.Nasir pun lebih sesuai. Sepatutnya ‘opening act’ memberi penghormatan pada lagu yang pernah menang dan diadun semula dengan muzik terkini untuk moment terbaik. Lihatlah betapa ramainya menyanyi ketika Amir Ukay’s dan Sham Visa mendendangkan ‘killer song’ mereka. Inilah yang sepatutnya berlaku. Mana mungkin hanya serangkap lirik Cindai sahaja dipersembahkan. Sementara Asmaradana dialunkan hampir penuh. Andai untuk menyesuaikan dengan konsep persembahan Balqis lagi sesuai.
.
AJL39 telah sempurna kesudahannya. Biar apapun pandangan ianya perlu kembali pada asal tujuan. Mengangkat muzik Malaysia ke tahap tertinggi. Soal sekarang antara semua lagu yang pernah menang AJL, lagu apakah yang paling mendonia sehingga kini? Jawapan yang paling mudah adalah Cindai, Aku Cinta Padamu dan tentunya Nirmala. Masterpiece dari Biduanita Negara Dato’ Sri Siti Nurhaliza. Yang menang edisi beberapa tahun lalu hanya gah di pentas akhir. Selepas itu terus suram. Stream di Spotify pun boleh dibilang.
.
Kembalikan AJL pada konsep asalnya. Kategori Irama Malaysia perlu ada semula. Angkat kembali lagu tradisi dan bertanggungjawablah dengan budaya kita. Dan jika serahkan pada juri untuk menilai Persembahan Terbaik pasti malam tadi ianya milik Masdo. Undian dari peminat biarkan untuk kategori popular sahaja. Yang terbaik biarlah dari juri. AJL perlu berbeza dan luar biasa di edisi ke 40 nanti. 🔥🔥🔥
.
#AJL39 #NadaRasa #tv3 #StailistaLevelUp Apple Kinn

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *