Wali Band KEMBALI DENGAN AZAM BAHARU, TEKAD TEBUS KECEWAAN PEMINAT MENERUSI KONSERT SOLO DI KUALA LUMPUR
SELEPAS berdepan cabaran yang tidak dijangka dalam penganjuran konsert terdahulu di ibu negara, kumpulan pop terkenal dari Tangerang, Indonesia, Wali Band tampil dengan semangat dan komitmen baharu untuk kembali menghiburkan peminat Malaysia menerusi Konsert Wali Band Kembali yang bakal berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 1 Mei 2026.
Dianggotai oleh Faank (vokalis), Apoy (gitar), Tomi (dram) dan Ovie (papan kekunci), kemunculan semula Wali Band di Malaysia bukan sekadar sebuah persembahan ulangan, sebaliknya simbol dedikasi dan penghargaan terhadap peminat setia yang sentiasa menyokong perjalanan seni mereka.
Konsert solo ini dianjurkan oleh GIS Entertainment & Events bersama Infinity Love Creative Ventures, pasukan yang sama di sebalik penganjuran Konsert RadjaWali pada Januari lalu.
Menurut Faank, keputusan untuk kembali ke Kuala Lumpur lahir daripada rasa tanggungjawab moral terhadap peminat yang tidak berpeluang menikmati sepenuhnya persembahan mereka sebelum ini.
“Kami memahami perasaan peminat kami di Malaysia. Justeru, kami mahu kembali menebus kekecewaan itu menerusi konsert solo kami sendiri.
Apa yang berlaku sebelum ini tidak mematahkan semangat kami, malah menjadikan kami lebih bersedia dan berazam untuk memberikan persembahan yang jauh lebih baik,” ujar Faank.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama berterusan bersama pihak penganjur dibuat atas dasar profesionalisme dan keyakinan terhadap pengalaman serta rekod penganjuran mereka.
“Kami selesa bekerjasama dengan mereka kerana profesionalisme dan pengalaman luas mereka dalam industri konsert. Insiden terdahulu adalah sesuatu yang boleh berlaku dalam mana-mana penganjuran berskala besar. Apa yang penting, kami semua komited untuk memperbaiki dan tampil lebih mantap,” tambahnya.
Sementara itu, wakil penganjur, Mubarak Akhtar Mohd Aris, menjelaskan bahawa konsert ini merupakan manifestasi tanggungjawab dan komitmen mereka dalam memastikan pengalaman hiburan yang lebih tersusun, lancar dan berkualiti.
“Konsert ini bukan sekadar soal keuntungan, tetapi tentang kepuasan penonton dan kepercayaan peminat. Kami mahu menghadirkan sebuah persembahan yang benar-benar memenuhi ekspektasi, dengan penambahbaikan menyeluruh dari segi teknikal dan pengurusan acara,” katanya.
Pada malam konsert nanti, Wali Band dijangka mempersembahkan rangkaian lagu-lagu hit dan karya popular mereka dalam repertoir yang lebih padat, disokong sistem bunyi dan pencahayaan bertaraf tinggi serta produksi pentas yang lebih dinamik dan interaktif.
Konsert Wali Band Kembali menjanjikan sebuah malam penuh emosi, energi dan nostalgia — satu pengalaman muzik yang lebih tersusun dan tidak akan dilupakan peminat.
MAKLUMAT TIKET
Jualan tiket akan bermula pada 16 Februari 2026 dengan kategori harga seperti berikut:
VIP – RM777
CAT2 – RM327
CAT3 – RM237
CAT4 – RM177
CAT5 – RM157
CAT6 – RM127
CAT7 – RM77
GA – RM137
Penonton Konsert RadjaWali terdahulu layak menikmati diskaun 20% dengan menggunakan kod promo pembelian tiket terdahulu secara dalam talian.
Tiket boleh dibeli menerusi laman rasmi: www.ilassotickets.com
Ikuti perkembangan terkini menerusi media sosial rasmi @konsertwalikembali2026 di TikTok dan Instagram.
Konsert ini turut mendapat sokongan Era FM, Sinar dan THR Gegar selaku rakan radio rasmi, manakala Astro Gempak bertindak sebagai portal rasmi.





