Bab 1
“Kau tu bukan calang-calang. Lelaki kiriman Tuhan tau!”
PAGI minggu itu adalah pagi yang dinantikan. Pagi yang menyempurnakan apa yang tersirat di hati. Pagi yang perlu diselesaikan sebaik mungkin. Makanya, pagi itu dia mulakan dengan selawat dan zikir. Jauh di sudut hati, dia berharap pertemuan sebentar lagi akan menjadi sebuah pertemuan yang diberkati dan dirahmati. Begitulah doanya ketika solat subuh dan dhuha tadi.
Dia memilih kemeja hitam lengan pendek bercorak etnik di dada dan seluar kegemarannya, jeans hitam lusuh menjadi gandingan. Disarung dan mengayakan di depan cermin. Geleng. Lantas membuka almari semula dan dikeluarkan kemeja warna yang lebih terang. Kali ini dia tersenyum lebar. Kemeja rona merah itu sepadan dengan jeans hitam. Dikemaskan rambut dengan gel. Disisir dengan jari dan ditarik sedikit jambul ke depan. Dia angguk. Tersenyum lebar. Tanda bersetuju dengan penampilannya itu.
Farid yang masuk ke biliknya merenung tanpa berkedip. Dia duduk di meja tulis. Buku yang dipinjam kelmarin diletakkan semula ke rak.
“Wah bergaya sakan, ada majlis istimewa ke?” tanya Farid ingin tahu. Agaknya jarang dia melihat sahabat baiknya itu bersiap kemas, menimbulkan pertanyaan pula.
“Lia nak jumpa aku. Ajak makan tengah hari sebelum cuti semester ni. Ada perkara penting dia nak beritahu aku…” jawabnya tanpa berpaling. Dia masih menghadap cermin. Nampaknya ada lagi gaya yang perlu diperbetulkan.
“Dia nak suruh kau pinang lah tu… maklumlah kau orang kan sedang mabuk asmara!”
Dia berpaling. Tampak kurang selesa dengan gurauan Farid itu. “Bukan sebab tu lah. Mesti ada benda lain,” balasnya.
“Kalau betul aku cakap?”
“Tak ada maknanya. Tak betul semua tu!” bantahnya. Memandai sahaja buat andaian. Masih terlalu awal untuk membicarakan soal tunang. Rapat dan mesra bukan bererti harus terus diikat. Banyak lagi perkara yang belum disempurnakan. Umur masih muda. Masih awal. Banyak lagi impian belum tercapai.
“Sekarang ni ramai je yang bertunang masa muda-muda. Booking dulu. Agaknya Camelia tu takut kalau kau sambung ke luar negara nanti jumpa awek lain. Tu yang nak ikat kau dulu tu,” Farid terus dengan usikannya.
Dia memang sengaja berbuat demikian. Seronok tengok Arif Mikail marah-marah dan sakit hati.
“Kau ingat aku ni tiket bas or wayang ke siap nak booking booking?”
“Sesama booking lah tu. Camelia tu apa kurang. Kang melepas kalau disambar balak lain…”
“Oii Lid, kau ni belum makan ubat lagi ke? Pagi-pagi dah mengarut tak tentu hala. Kita ni baru tahun satu pun je pun. Entah-entah sempat ke nak habiskan pengajian… ada hati pulak tu nak bercinta sakan. Dia tu kayangan lah. Aku ni siapa?”
“Kau tu bukan calang-calang. Lelaki kiriman Tuhan tau!” Farid terus dengan sikapnya. Gemar bergurau tanpa mengira waktu.
Arif Mikail malas hendak melayan usikan Farid itu. Dia mengambil pewangi lalu disembur ke seluruh badan. Sempat dia menghala semburan ke arah Farid. Farid mengelak dan hampir jatuh kerusi.
Padan muka! Gelak Iskandar seraya keluar bilik. Dia mengambil kasut.
Beberapa langkah ke muka pintu, dia berpaling semula. Farid yang sudah di ruang tamu sedang menonton tv serentak memandangnya. Mereka akhirnya tergelak sendiri dengan kebetulan itu.
“Cuti semester ni kau ikut aku balik kampung ye?”
Farid terpana. Merenungnya dengan hairan. “Apa mimpi ni. Semenjak bila pulak kau baik hati sangat ni. Dulu aku nak ikut balik banyak pulak alasan kau beri!”
“Kali ni aku ajak sungguh-sungguh. Nak minta tolong kau ni,” jawabnya penuh harap.
“Tolong apa pulak ni?” Farid kelihatan terganggu dengan kata-katanya itu.
“Ikut sajalah. Tanya banyak pulak budak ni…” cebiknya mula sakit hati dengan sikap sahabat baiknya itu yang sememangnya banyak mulut.
“Misteri ni… lain macam je permintaan kau ni?”
“Kau nak ikut ke tak?”
“Okeylah. Disebabkan aku memang lama nak bercuti di kampung kau tu, aku ikut sajalah apa syaratnya. Tapi jangan misteri sangat ye… aku ni penakut orangnya!”
“Ada sajalah kau ni… tugas kau hanya ikut ke mana aku pergi je. Temankan aku selesaikan apa yang belum selesai…” katanya seraya membuka pintu.
Ditinggalkannya Farid dengan wajah berkerut penuh bingung.
Farid cuba menghadam segala kata Arif Mikail itu. Dia sedar ada persoalan yang mula bermain di hatinya. Melihat wajah penuh harapan berserta permintaan yang seakan mendesak daripada Arif Mikail itu, Farid pasti ada sesuatu yang sedang dirancangkan.
Begitulah selalunya sikap Arif Mikail. Dia akan meminta pertolongan sekiranya dia tidak mampu menyelesaikannya sendiri. Arif Mikail bukan jenis manusia yang akan bergantung harapan pada pertolongan orang. Selagi boleh dan mampu, dia akan lakukan dengan tulang empat keratnya. Tanpa meminta bantuan atau membebankan sesiapa, itulah sikap terpuji yang Farid kenali semenjak mereka rapat setahun lalu.
Mereka berdua dalam jurusan yang sama. Jurusan Perniagaan. Apabila menyewa bersama selepas itu, mereka rapat dan berkongsi banyak perkara.
Namun jarang sekali soal keluarga dibincangkan. Arif Mikail hanya fokus pada pengajiannya. Dia hanya memberitahu Farid yang dia ada seorang abang di kampung. Itulah tempat dia menumpang sayang selepas kedua ayah dan ibunya terlibat dalam kemalangan ketika dia masih di tingkatan tiga dahulu.
Kampung Arif Mikail di Temerloh, Pahang Darul Makmur. Kampung Buntut Besar, berhampiran Sungai Pahang yang terkenal dengan ikan patinnya itu. Sungai itulah menjadi punca pendapatan utama abangnya, Sulaiman yang membela ikan patin secara sangkar.
Sesekali apabila Arif Mikail balik kampung, dia akan pulang membawa patin masak tempoyak yang dimasak abangnya. Memang enak sekali. Begitu berselera Farid dan rakan serumah menikmati hidangan utama daerah Temerloh itu. Kata orang kalau ke sana, tidak makan patin tempoyak memang tak sahlah lawatannya.
Sesuai dengan nama Temerloh Bandar Ikan Patin, Farid sudah berhasrat lama untuk turut mengikuti Arif Mikail balik. Dia ingin merasai sendiri pengalaman hidup seperti orang kampung.
Dia anak jati Kuala Lumpur. Tiada kampung. Kalau ada pun hanya Kampung Baru yang dikelilingi hutan batu. Semua itu bukan kampung. Suasananya tiada. Sekadar nama sahaja.
“Satu hari nanti, tetap aku akan bawa kau balik kampung. Aku nak tengok kau boleh ke suaikan diri dengan suasana kampung. Kita mandi sungai. Pergi sawah padi. Toreh getah. Chop kelapa sawit. Atau kalau nak lagi adventure kita pergi ke Taman Negara. Naik bot redah sungai….” jawab Arif Mikail pada setiap kali dia menyampaikan hasratnya itu.
Itulah impiannya. Dan apabila Arif Mikail sendiri yang menawarkan dia mengikut pulang, kesempatan itu tidak akan dilepaskan. Apapun alasan, permintaan atau bantuan yang Arif Mikail inginkan dia akur. Yang penting hasratnya untuk balik kampung tercapai.
“Dia nak rancang apa ni ek? “ Farid terus berteka-teki.





