UNIVERSAL MUSIC MALAYSIA DOMINASI AIM24 DENGAN 10 ANUGERAH
Kekal Unggul sebagai Syarikat Rakaman Nombor Satu di Malaysia
Universal Music Malaysia (UM) bersama rakan kerjasama strategik, Faithful Music, sekali lagi membuktikan keunggulannya apabila mendominasi pentas berprestij Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) dengan meraih 10 anugerah utama, meneguhkan kedudukan sebagai syarikat rakaman nombor satu negara.
Antara kemenangan penting yang mengangkat UM ke mercu kejayaan termasuk:
Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik – Masing-Masing (Ernie Zakri & Ade Govinda)
Kulit Single/Album Terbaik – Iman (Irfan Ramos)
Rakaman Lagu Terbaik – Aura (John Jeeves)
Album Terbaik – Belagu II (Aubrey Suwito – edaran UM)
Lagu Paling Tinggi Distrim – Masing-Masing (Ernie Zakri & Ade Govinda)
Kejayaan album Belagu II nyanyian Dayang Nurfaizah turut diraikan dengan Dana Kandungan Digital (DKK) bernilai RM200,000 daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures – satu pengiktirafan besar terhadap mutu karya yang diangkat oleh UM.
Lebih bermakna, AIM24 turut menyaksikan penghormatan tertinggi kepada Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, penerima Anugerah Sri Wirama, yang juga rakan kolaborasi UM menerusi syarikat SN Legacy.
Kim Lim, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia berkata:
“Kemenangan ini adalah cerminan komitmen kami dalam membentuk dan memperkukuh bakat tempatan agar mampu menyerlah di pentas antarabangsa. Universal Music akan terus menjadi platform terbaik buat artis untuk berkarya dan melakar sejarah.”
Sementara itu, Ernie Zakri, pemenang dua trofi AIM24, berkongsi rasa syukur:
“Kemenangan ini bukan hanya untuk saya, tetapi untuk seluruh pasukan kreatif di belakang Aura dan Masing-Masing. Ia bukti muzik Malaysia mampu menembusi pasaran serantau. Terima kasih kepada Universal Music Malaysia, AIM24 dan semua peminat.”
Selain deretan anugerah, AIM24 turut dimeriahkan dengan persembahan memukau artis-artis UM dari Malaysia, Thailand dan Indonesia, termasuk DOLLA bersama Tobii (Def Jam Thailand), kolaborasi istimewa Ernie Zakri & Anggi Marito (UM Indonesia) serta persembahan emosional Ernie bersama Ade Govinda (MyMusic Records, Indonesia).
Tidak ketinggalan, nama besar Faizal Tahir mengukuhkan legasi dengan kejayaan membanggakan dalam empat kategori termasuk Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, serta Lagu Dengan Hasilan Video Tertinggi di TikTok.
Kejayaan UM kali ini turut membuka ruang untuk bakat baharu seperti Hanis Rafi, Iqie Hugh, Glowrush, Fahimi dan Firdaus Rahmat, yang buat pertama kali diraikan di pentas AIM – membuktikan bahawa Universal Music Malaysia terus menjadi wadah penciptaan generasi bintang masa depan.





