MERDU DAN SEDAP ; TENTANG PATAH HATI
.
Maestro terkemuka Dato’ Ramli MS mengatakan seseorang penyanyi itu perlu ada dua hal dalam menyanyi. Merdu dan Sedap.
Saya tertarik dengan pandangan bernas Tok Ram ini ketika memberi komen di Gegar Vaganza 11. Hari ini saya merasakan tidak ramai penyanyi yang menyanyi dengan sedap serta merdu berbanding penyanyi zaman Tan Sri P. Ramlee maupun Puan Sri Saloma.
Pun begitu bagi saya pula era 70an adalah zaman penyanyi bersuara merdu dan sedap, lunak dilahirkan. Mengambil contoh Sharifah Aini, D.J..Dave, Hail Amir, Uji Rashid, Julie Remie, Sanisah Huri, Ahmad Jais, J.Mizan, Kartina Dahari, Sarena Hashim, M.Sani dan ramai lagi, ada trademark tersendiri dalam nyanyian mereka. Sekilas kita pejam mata, akan tahu siapa penyanyi tersebut . Mereka tidak berlebihan dalam nyanyian. Namun cukup menghiburkan dan merdu didengar.
Sebagai contoh lagu malar segar Patah Hati yang kerap kali diulang nyanyi oleh ramai penyanyi. Lagu ini memiliki lirik yang meruntun jiwa. Cerita tentang rasa cinta yang tewas. Hati yang parah terluka. Tidak ramai penyanyi sekarang boleh membawakan lagu Patah Hati ini dengan baik sekali.
.
Tan Sri S.M. Salim, Datuk Sharifah Aini, Dato’ Sudirman dan Dato’ Sri Siti Nurhaliza sahajalah ketika menyanyikan Patah Hati cukup menikam perasaan. Merdu dan sedap didengar. Dan jika antara keempat penyanyi legenda tersebut jika dipertandingkan siapa paling terhebat menyanyikan Patah Hati, tempat pertama adalah Dato’ Sudirman, kedua Datuk Sharifah Aini, ketiga Tan Sri S.M.Salim dan Dato’ Sri Siti Nurhaliza ke empat.
Nyatanya Patah Hati bukan lagu yang mudah untuk dinyanyikan. Siti Nurhaliza generasi terkini yang memiliki suara merdu dan sedap pun tidak mampu menewaskan tiga legenda tersebut. Patah Hati dari Siti Nurhaliza belum remuk redam rasanya berbanding Sudirman, Sharifah Aini maupun S.M.Salim.
Anda boleh dengar versi keempat mereka di YouTube dan nilaikan sendiri samada pandangan saya ini benar atau sebaliknya. Kita akan mendengar versi berbeza keempat legenda ini cukup sempurna. Tetap sedap dan merdu, seperti mana kata Tok Ram.
Penyanyi hari ini merasakan melontarkan suara tinggi hingga terpaling ke langit, merekalah hebat. Anda mungkin merasakan begitu. Tetapi bab sedap merdu itu ada di mana?
AJL39 akan berlangsung Februari ini, saya melihat perang vokal akan menjadi taruhan utama setiap peserta. Percayalah, para peminat akan bersorak ketika siapa yang siapa paling lantang menjerit vokalnya. Tanpa prejudis, saya rasa sudah sampai masanya soal merdu dan sedap dititik-beratkan dalam penjurian vokal terbaik.
Untuk persembahan terbaik si penyanyi bolehlah berkreatif dari corak persembahan, vokal dan aspek busana, tetapi pihak penjurian bab vokal terbaik fokus lah pada mereka yang bersuara merdu, sedap, lunak dan menyentuh hati.
Apple Kinn
#ajl39
#gegarvaganza2024
#sudirman #sitinurhaliza #sharifahaini #smsalim #TV3 #tokram #OIAM #CalpisSodaOIAMTV3
TENTANG PATAH HATI





