Ceritakan siapa anda dan kerjaya, serta perkembangan terkini anda?
Saya adalah seorang pemain biola dan penggiat muzik, Atiyah binti Ismail yang merupakan tenaga pengajar di FR Music & Academy. Terkini, saya merupakan guru violin bagi kelas perseorangan dan seorang coach bagi program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) serta merupakan pemain biola freelance bagi majlis-majlis keraian, undangan perkahwinan dan persembahan.
Untuk 2024, apakah misi dan visi anda?
Misi dan visi saya pada 2024 adalah untuk menjadikan FR Music & Academy sebagai salah satu pusat pembelajaran muzik yang unggul bagi semua peringkat umur.
Apakah cabaran terbesar anda untuk bersaing sebagai ahli perniagaan seterusnya meletakkan jenama FR Music & Academy sebaris dengan yang lain?
Cabaran terbesar adalah untuk meletakkan industri muzik sama penting dengan industri teknikal yang lain dan mempunyai prospek yang luas.
Bagaimana anda berhadapan dengan persaingan dan cara terbaik untuk memastikan jenama anda diterima semua?
FR Music & Academy sudah dikenali sebagai sebuah pusat pembelajaran muzik. Bagi memastikan terus dikenali, FR Music & Academy telah memasuki industri T-VET melalui Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) sebagai Pusat Bertauliah bagi menghasilkan pemuzik yang berkualiti.
Antara momen dan anugerah terindah pernah anda lalui di sepanjang kerjaya ini?
Sebagai seorang pendidik di FR Music & Academy, momen terindah apabila dapat menganjurkan Konsert Rekayasa Budaya pada 2021 di Warisan Hall Studio, Sijangkang untuk pemarkahan terakhir perantis kami yang mengikuti Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN). Sebagai seorang pemain biola pula, anugerah terindah adalah apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah Cultural Award oleh Yayasan Albukhary, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 2003.
Untuk remaja ingin terlibat dalam dunia seni terutama bidang muzik dan nyanyian, apa nasihat terbaik anda untuk mereka?
Seorang pemuzik atau penyanyi perlu mempunyai ilmu asas dalam bidang muzik, dan tidak hanya bersandarkan bakat semulajadi sahaja untuk bertahan lama dan untuk berada di tahap yang lebih tinggi dalam industri muzik. Industri muzik adalah sangat dinamik dan memerlukan penggiat muzik yang boleh berkarya di luar kotak dan kreatif. Pembelajaran asas di dalam bidang muzik akan menjadi penanda aras dan juga batu loncatan kepada seorang yang ingin bergiat dalam industri ini.
Siapakah idola anda dalam bidang ini dan mengapa memilih beliau?
Allahyarham Tan Sri P. Ramlee merupakan idola saya kerana ilmu yang beliau ada dan keberanian beliau membolehkannya pergi ke semua cabang industri muzik dan seni kreatif.
Bakat lain yang ramai tidak tahu tentang diri anda?
Selain boleh bermain biola, saya juga seorang pemain piccolo dan flute dan saya telah mula bermain alat muzik ini sejak umur 13 tahun.
Gambarkan diri anda dalam tiga perkataan?
Cekal, tekun, yakin.
Prinsip hidup anda?
Cubalah baru tau hasilnya.
Sebagai seorang usahawan, apakah rahsia anda untuk terus kekal bergaya, petah berbicara serta disenangi ramai?
Sebagai seorang usahawan, kita perlu yakin dengan diri sendiri dan perkara yang hendak dilakukan. Jadikan setiap cabaran itu suatu pengalaman yang perlu ditempuh dan kekal positif dalam apa jua situasi.
Pandangan anda tentang baik buruknya kepesatan gelombang media sosial dikalangan netizen hari ini?
Gelombang media sosial boleh memberi impak positif sebagai batu loncatan dalam sesebuah perniagaan dan dalam kehidupan seharian. Penggunaan yang bijak akan dapat mengoptimumkan impak terhadap kehidupan dan perniagaan. Namun jika kehidupan terlalu bergantung kepada media sosial, dan jika media sosial melampaui batas agama dan nilai kehidupan, maka seharusnya diletakkan batas dalam penggunaannya.
5 tahun dari sekarang anda adalah?
Seorang pemain biola yang dikenali sebagai penghibur majlis keraian, serta seorang pengajar dan pengurus sebuah studio muzik yang menghasilkan banyak bakat-bakat seni muzik tanah air.
Biodata :
Nama penuh : Atiyah Binti Ismail
Nama komersil : Atiyah Ismail
Kerjaya : Pemain Biola, pengurus dan tenaga pengajar
di FR Music & Academy,
Pendidikan : Ijazah Sarjana Muda
Perancangan dan Desa & Sijil Kemahiran Malaysia Alat Muzik Bertali Tahap 3.
Asal : Ipoh, Perak
Adik beradik: 5 orang (bongsu)
Hobi : Bermain alat muzik
Anugerah : Cultural Award oleh Yayasan Albukhary, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) 2003.
Media sosial : FB/ Instagram/ Tiktok
Atiyah Ismail/Atiyah Ismail/
@atiyah.ismail





