SYASYA RIZAL: A DIFFERENT CHAPTER

SYASYA RIZAL BUKA BABAK BAHARU MENERUSI SINGLE ANTARABANGSA, “DIFFERENT”

“Same Syasya, Just a ‘Different’ Chapter” — Menandai evolusi seorang wanita, isteri dan ibu yang kembali menulis perjalanan seninya dengan identiti solo yang lebih personal.

 SETELAH melalui perubahan besar dalam kehidupan peribadi, figura muzik muda Syasya Rizal kini kembali melangkah ke pentas muzik dengan sebuah karya yang hadir bukan sekadar sebagai single baharu, tetapi sebagai manifestasi kepada sebuah fasa kehidupan yang lebih matang, berani dan penuh keyakinan.

Berjudul “Different”, karya terbaharu ini menjadi penanda penting dalam perjalanan solo Syasya, memperlihatkan sisi dirinya yang lebih personal dan autentik — seorang wanita yang terus berkembang sebagai individu, isteri dan ibu, tanpa pernah melepaskan impian untuk terus berkarya.

“Different” hadir dengan suntikan pop yang segar, dinamik dan kontemporari, namun pada masa yang sama masih mengekalkan elemen tenaga serta identiti muzik yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan Syasya sebelum ini.

Karya ini dicipta dan ditulis bersama barisan komposer serta penulis lagu berbakat, terdiri daripada Amirul Azhar, Asyraf Nasir, Adib Hamdi, Naim Daniel dan Syasya Rizal sendiri, menjadikan “Different” sebuah karya kolaboratif yang turut memberi ruang kepada Syasya untuk terlibat secara lebih dekat dalam proses kreatif.

Lebih daripada sekadar sebuah lagu, “Different” membawa mesej tentang pemerkasaan diri, keyakinan dan keberanian untuk membina laluan sendiri tanpa terperangkap dalam perbandingan dengan orang lain.

Menurut Syasya, idea utama karya ini lahir daripada keinginannya untuk memperkenalkan identiti sebenar sebagai seorang artis solo.

“Bila pertama kali masuk ke studio bersama Amirul, saya beritahu dia bahawa saya mahu buat muzik yang apabila orang dengar, mereka terus tahu, ‘Oh, ini Syasya.’ Elemen tenaga dan muzik yang orang kenal sebelum ini masih ada, cuma kali ini saya tampil dengan fasa kehidupan dan pengalaman yang baharu. Same Syasya, just a different chapter.”

Bagi Syasya, perjalanan menuju “Different” turut mencerminkan perubahan yang berlaku dalam kehidupan sebenarnya.

Daripada seorang anak seni yang sedang membina nama, kini dirinya berada pada sebuah persimpangan baharu sebagai seorang isteri dan ibu, sambil terus mempertahankan kecintaan terhadap muzik serta impian untuk berkembang sebagai artis.

Justifikasi itu menjadikan “Different” lebih daripada sekadar sebuah karya pop — ia merupakan refleksi tentang pertumbuhan, penerimaan dan keberanian seorang wanita untuk terus memilih dirinya sendiri, tanpa perlu meninggalkan peranan yang hadir bersama kehidupan baharunya.

“Saya mencurahkan sepenuh hati dalam lagu ini. Mesej utamanya sangat ringkas, saya di sini bukan untuk bersaing dengan sesiapa, tetapi untuk membina laluan saya sendiri.

“Fasa motherhood atau perkahwinan bukanlah penghalang untuk seorang wanita berhenti mengejar impian. Keutamaan kita mungkin berubah, tetapi impian tidak perlu dipadamkan.

“Saya berharap lagu ini dapat memberi peringatan kepada wanita di luar sana bahawa anda boleh terus membesar, berubah dan mengejar impian yang membuatkan anda berasa hidup,” katanya.

BERANI MENULIS DENGAN SUARA SENDIRI

Pembentukan “Different” turut menjadi pengalaman baharu buat Syasya apabila buat pertama kalinya beliau terlibat secara lebih dekat dalam proses penulisan lagu.

Walaupun masih baharu dalam bidang tersebut, Syasya menyifatkan pengalaman bekerjasama bersama barisan produksi sebagai sebuah perjalanan kreatif yang membuka ruang untuk dirinya lebih berani menyuarakan pandangan dan identiti muzik sendiri.

“Meskipun saya masih baharu dalam bidang penulisan lagu, mereka sangat terbuka mendengar idea dan pandangan saya. Suasana kerja yang selesa dan saling menghormati membolehkan saya lebih berani untuk menyuarakan apa yang saya inginkan secara kreatif.

“Semua orang mahukan yang terbaik untuk lagu ini, dan daripada situlah lahirnya ‘Different’,” tambahnya.

Dengan karakter pop yang bertenaga serta mesej yang dekat dengan perjalanan kehidupan masa kini, “Different” diharapkan mampu menemukan tempatnya bukan sahaja dalam kalangan peminat setia Syasya, malah pendengar baharu di peringkat lebih luas.

Bagi Syasya sendiri, pelancaran ini merupakan satu permulaan.

“Saya berharap para pendengar dapat menikmati tenaga lagu ini, menari bersama dan memahami mesej di sebaliknya.

“Untuk semua yang telah sabar menanti saya mengeluarkan lagu solo, terima kasih atas kesabaran anda. Insya-Allah, ini hanyalah permulaan kepada banyak lagi perkara menarik yang akan datang,” katanya mengakhiri bicara.

“Different” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital.

PROFIL SYASYA RIZAL

Instagram | TikTok | YouTube

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *