SUASANA RAYA DI HONG KONG: SENTUHAN NOSTALGIA MODEN OLEH ERNIE ZAKRI & SYAMEL DI DESTINASI MESRA MUSLIM
MENJELANG sambutan Aidilfitri yang bakal tiba, dua figura tersohor industri muzik tempatan, Ernie Zakri dan Syamel, kembali menyatukan kekuatan artistik menerusi single raya terbaharu berjudul Suasana Raya.
Istimewanya, karya ini hadir melalui kolaborasi strategik bersama Hong Kong Tourism Board, yang turut menampilkan penggambaran video muzik di pelbagai lokasi ikonik serta destinasi mesra Muslim di sekitar Hong Kong.
Menggabungkan keindahan melodi klasik Aidilfitri dengan sentuhan kontemporari, Suasana Raya menzahirkan makna pagi Syawal yang penuh ketenangan, kesyukuran dan kebersamaan keluarga. Lagu ini bukan sekadar hiburan bermusim, tetapi sebuah runut bunyi yang membangkitkan nostalgia dan memori Aidilfitri yang dekat di hati masyarakat.
Melalui kolaborasi ini, dimensi visual lagu diperkaya dengan latar kota Hong Kong yang moden, dinamik serta inklusif kepada pelancong Muslim. Antara lokasi yang diketengahkan termasuk Islamic Centre Canteen sebagai pilihan gastronomi halal, serta Kowloon Mosque, mercu tanda spiritual komuniti Muslim di bandar tersebut.
Selain itu, keindahan destinasi mesra keluarga seperti Ocean Park Hong Kong turut melengkapkan naratif visual, sekali gus menampilkan Hong Kong sebagai destinasi pelancongan yang serasi dengan nilai kekeluargaan dan gaya hidup Muslim moden.
Menurut Ernie Zakri, pemilihan Hong Kong selari dengan aspirasi lagu ini yang menggabungkan elemen tradisional dan kontemporari.
“Hong Kong menawarkan kemudahan Muslim-friendly yang memudahkan kami mendapatkan makanan halal dan melawat tempat ibadah. Ia menjadikan pengalaman penggambaran bukan sahaja profesional, malah sangat bermakna secara peribadi.”
Syamel pula menegaskan bahawa suasana bandar yang vibrant menjadi inspirasi kepada estetika video muzik.
“Kami mahu peminat merasai aura kemeriahan dan kepelbagaian budaya Hong Kong yang seiring dengan semangat lagu ini — gabungan nostalgia dan modeniti.”
Sebagai tanda penghargaan kepada peminat, sesi tontonan eksklusif video muzik telah diadakan pada 17 Februari 2026 di Aurum Theatre, Kuala Lumpur. Hampir 100 peminat terpilih berpeluang menyaksikan tayangan awal serta mempelajari koreografi rasmi bersama kedua-dua artis, menjadikan pengalaman tersebut lebih intim dan signifikan.
Dikenali dengan karya balada yang penuh emosi, Ernie menyifatkan proses rakaman lagu ini sebagai sesuatu yang segar dan menyeronokkan, manakala Syamel menekankan kekuatan utama lagu terletak pada melodinya yang catchy dan sesuai dengan suasana perayaan.
Penggambaran video muzik juga menjadi memori peribadi yang istimewa apabila ia turut melibatkan momen kekeluargaan sepanjang berada di Hong Kong.
Kedua-dua artis berharap agar Suasana Raya akan terus menjadi antara lagu yang mengiringi detik indah Aidilfitri dari generasi ke generasi.
Kini, Suasana Raya boleh dinikmati di semua platform penstriman digital.





