FAJAR NOOR PERTARUH KARYA PALING PERIBADI MENERUSI ALBUM SULUNG “SEMENTARA, SELAMANYA”
SELEPAS mencuri perhatian menerusi karya-karya yang sarat dengan emosi, penyanyi dan penulis lagu berbakat, Fajar Noor, melakar satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan seninya menerusi pelancaran album sulung berjudul Sementara, Selamanya. Menampilkan himpunan karya yang paling intim dan reflektif sepanjang kariernya, album ini menjadi manifestasi perjalanan emosi yang merangkumi cinta, kehilangan, penyesalan dan harapan.
Lebih daripada sekadar sebuah album, Sementara, Selamanya mengangkat konsep “cycle of love”, menggambarkan perjalanan sesebuah hubungan bermula daripada detik pertama jatuh cinta, berdepan konflik, melalui perpisahan dan kehilangan, sehinggalah kepada perasaan yang masih kekal meskipun kisah itu telah berakhir. Setiap lagu menjadi helaian kepada sebuah naratif yang saling melengkapi, membentuk sebuah pengalaman mendengar yang menyentuh sisi paling jujur dalam kehidupan.
Album ini turut menyelami emosi yang sering sukar diungkapkan dengan kata-kata—rasa rindu yang tidak pernah hilang, penyesalan yang tidak sempat diluahkan, serta harapan yang masih tersisa walaupun hubungan tidak lagi mempunyai arah. Dengan pendekatan yang tulus dan bersahaja, Fajar berjaya menghasilkan karya yang dekat dengan realiti kehidupan ramai pendengar.
Bagi merealisasikan visi artistiknya, Fajar berganding bahu bersama penerbit terkenal Arsy Widianto dan Iqbal Siregar, menghasilkan susunan muzik pop balada moden yang elegan, minimalis dan penuh nuansa. Gabungan melodi yang kuat, aransemen yang bersih serta lirik yang mendalam menjadikan setiap lagu memiliki identiti tersendiri, sekali gus memperkukuhkan kekuatan penyampaian emosi album ini.
Menerusi Sementara, Selamanya, Fajar turut memperlihatkan kematangannya bukan sahaja sebagai seorang penyanyi, malah sebagai seorang pencerita yang mampu menterjemahkan pengalaman hidup kepada karya yang autentik. Album ini bukan sekadar mencerminkan kisah cintanya sendiri, bahkan menjadi cerminan kepada pelbagai pengalaman emosi yang pernah dilalui oleh ramai pendengar.
Mengulas mengenai penghasilan album sulungnya, Fajar berkata karya ini merupakan naskhah yang paling dekat dengan dirinya kerana setiap lagu lahir daripada pengalaman serta perjalanan emosinya sendiri.
“Cabaran terbesar adalah untuk jujur dengan diri sendiri. Banyak lagu dalam album ini datang daripada pengalaman dan emosi yang sangat dekat dengan saya. Saya berharap setiap lagu bukan sahaja mewakili kisah saya, tetapi juga dapat menyentuh hati sesiapa yang pernah melalui fasa cinta, kehilangan dan penyesalan. Jika pendengar dapat menemukan sebahagian daripada kisah hidup mereka dalam album ini, itulah penghargaan paling bermakna buat saya,” katanya.
Dalam sesi temu bual eksklusif secara langsung bersama ERA Sabah, ERA Sarawak dan Gempak di TikTok, Fajar turut berkongsi berita menggembirakan buat para peminat di Malaysia apabila mengumumkan bakal hadir ke negara ini bagi mempromosikan album sulungnya.
Lebih mengujakan, beliau turut mengesahkan bakal mengadakan sebuah persembahan album secara langsung, sekali gus memberi peluang kepada peminat tempatan menikmati lagu-lagu daripada Sementara, Selamanya dalam suasana yang lebih intim dan eksklusif. Pengumuman tersebut disambut penuh keterujaan oleh para peminat Malaysia yang selama ini setia mengikuti perkembangan kerjaya seninya.
“Terima kasih kepada semua peminat di Malaysia yang sentiasa menyokong muzik saya. Saya benar-benar teruja untuk akhirnya bertemu kalian buat pertama kali. Saya berharap persembahan album ini akan menjadi pengalaman yang istimewa buat kita semua, dan saya tidak sabar untuk berkongsi lagu-lagu daripada album ini secara langsung bersama kalian,” ujar Fajar.
Maklumat lanjut mengenai tarikh, lokasi serta butiran persembahan album secara langsung itu akan diumumkan dalam masa terdekat menerusi saluran media sosial rasmi Fajar Noor serta Universal Music Malaysia.
Dengan penghasilan yang matang serta penceritaan yang sarat emosi, Sementara, Selamanya diyakini mampu menemani pendengar dalam pelbagai fasa kehidupan, mengingatkan bahawa setiap pengakhiran sentiasa membuka ruang kepada sebuah permulaan yang baharu.
Album Sementara, Selamanya kini boleh distrim di semua platform penstriman digital.
Profil Fajar Noor
Instagram | TikTok | Spotify





