DOLLA Raikan iDOLLAs Dalam Fan Meet Eksklusif Penuh Makna
KUMPULAN wanita terkemuka negara, DOLLA, sekali lagi membuktikan keutuhan hubungan mereka bersama peminat apabila kembali bertemu iDOLLAs menerusi sebuah acara eksklusif yang sarat emosi dan penghargaan, DOLLA Exclusive Fan Meet, yang berlangsung pada 6 Disember 2025 (Sabtu), jam 3.00 petang di LG1 Pyramid Concourse, Sunway Pyramid.
Dianjurkan khusus bagi meraikan kesetiaan serta sokongan tidak berbelah bahagi para peminat, acara berkonsepkan intim ini menjadi simbol penghargaan tulus DOLLA kepada komuniti iDOLLAs yang terus berdiri teguh bersama mereka dalam setiap fasa perjalanan seni — baik ketika meraikan kejayaan mahupun mengharungi cabaran.
Sepanjang acara, para peminat disajikan dengan pengalaman yang lebih dekat dan peribadi menerusi sesi interaksi santai, perkongsian cerita, serta momen berharga bersama ahli kumpulan. Suasana turut dimeriahkan dengan aktiviti kreatif apabila peminat membawa aksesori mini untuk “DOLL-ify” ahli-ahli DOLLA, mencetuskan detik ceria dan kenangan manis yang sukar dilupakan.
Acara ini turut menampilkan jualan barangan eksklusif di lokasi, termasuk Baby Tee, Crew Tee, Photocard Holder, Trading Card Pack, serta pelancaran rasmi Light Stick V2, yang buat julung kalinya diperkenalkan kepada umum pada hari tersebut.
Berkongsi makna di sebalik penganjuran acara ini, Tabby menzahirkan penghargaan mendalam terhadap sokongan berterusan peminat.
“Tiada siapa yang sentiasa bersama kami seperti iDOLLAs. Semakin sukar masa yang kami lalui, semakin kuat sokongan mereka. Acara ini adalah ruang untuk kami menebus masa, berhubung semula, dan berkongsi perancangan DOLLA menjelang 2026. Ia juga satu penegasan bahawa DOLLA tidak akan berhenti menghasilkan muzik dan kandungan yang bermakna buat peminat,” ujarnya.
Selepas acara berlangsung, Tabby turut berkongsi keterujaan dapat kembali bertentang mata dengan peminat.
“Kami sangat bersyukur akhirnya dapat mengadakan meet & greet ini. Melihat wajah-wajah peminat, berinteraksi, dan membuat persembahan kecil untuk mereka adalah perasaan yang tiada tandingan. Walaupun impian konsert sentiasa ada, hakikat bahawa peminat sanggup datang dari pelbagai tempat semata-mata untuk bertemu kami sudah cukup bermakna.”
Beliau turut mendedahkan perancangan padat DOLLA bagi tahun hadapan yang merangkumi festival antarabangsa, persiapan album baharu serta showcase khas untuk peminat, selain hasrat untuk mengetuai sebuah kempen kesedaran bersama pihak kerajaan.
Sementara itu, Angel menyifatkan acara ini sebagai pengalaman yang amat bermakna buat kumpulan.
“Peluang untuk berinteraksi secara dekat dalam suasana intim bukan sahaja menggembirakan peminat, malah memberi kami suntikan semangat untuk terus melangkah lebih jauh sebagai sebuah kumpulan.”
Mengulas ikatan erat antara DOLLA dan iDOLLAs, Sabronzo menegaskan bahawa peminat kekal menjadi sumber motivasi utama mereka.
“Kehadiran dan sokongan konsisten iDOLLAs membuktikan kasih sayang mereka terhadap kami dan muzik kami. Meet & greet ini adalah cara kami membalas semula kasih itu — dengan berkongsi masa, tawa dan momen bermakna bersama ‘day ones’ kami.”
DOLLA Exclusive Fan Meet bukan sekadar sebuah acara pertemuan, tetapi sebuah perayaan komuniti, muzik dan kesetiaan. Tatkala DOLLA melangkah ke fasa baharu menjelang 2026, acara ini menjadi titik penting untuk kembali berhubung, menghargai perjalanan yang telah dilalui, serta mencipta memori baharu bersama para iDOLLAs yang setia.





