SAYA BERDAMAI DENGAN TAKDIR! – NILAM ORTIZ

NILAM ORTIZ: PERJUANGAN SEORANG IRON LADY DAN IBU MUDA YANG TIDAK PERNAH MENGALAH

“Saya Berdamai Dengan Takdir. Air Ketuban Pecah Pun Saya ‘Live’!” – Nilam Ortiz
Oleh Anwar Razali         Foto : Amizan Ahmad

 DI SEBALIK persona glamor seorang pelakon dan usahawan berjaya, terdapat kisah ketabahan yang jarang dipaparkan kepada umum. Itulah perjalanan luar biasa yang sedang ditempuhi oleh Nur Nilam Ortiz, yang bukan sahaja bergelar figura seni, malah seorang ibu dan wanita besi yang bangkit melalui ujian demi ujian tanpa pernah mematahkan semangatnya.

Ketika ditemui di kamar hospital, Nilam menyambut saya dengan senyuman lembut; wajahnya tenang meskipun hatinya sarat dengan debaran seorang ibu. Bayinya yang kini hanya dirujuk sebagai “KJ”, berusia lima minggu, sedang menerima rawatan akibat jangkitan kuman dalam darah — ujian yang bukan mudah buat mana-mana ibu, apatah lagi seorang tokoh yang menjadi perhatian ramai.

“Kehadiran KJ memberi peluang untuk saya memulakan banyak perkara yang saya tinggalkan sejak tujuh tahun lalu. Rasa kekok itu ada, tapi belajar semula menguruskan bayi… itulah pengalaman paling indah saat ini,” tutur Nilam sambil memandang lembut ke arah anak kecilnya.

Pendedahan Nilam menerusi siaran langsung TikTok baru-baru ini tentang keadaan kesihatan anaknya mengejutkan masyarakat, sekali gus menjawab persoalan mengapa berita kehamilannya tidak pernah diumumkan kepada umum.

Keputusan itu bukan dibuat tanpa sebab.

“Ramai tertanya-tanya sejak bila saya mengandung. Saya memilih untuk berdiam kerana saya pernah melalui keguguran. Saya mahu lindungi kandungan ini daripada sebarang tekanan luar,” jelasnya.

Namun, perjalanan sembilan bulan itu tidak semudah yang disangka. Konflik rumah tangga, tekanan perniagaan dan cabaran peribadi meninggalkan kesan mendalam terhadap emosi dan kesihatan beliau.

“Saya bukan hanya menjaga kandungan, tetapi juga diri sendiri. Tekanan yang saya hadapi mungkin menjejaskan kesihatan bayi. Itu antara punca keadaan KJ sekarang,” ujar Nilam dengan nada yang cuba disandar kuat kepada ketabahan.

Sebagai seorang ibu, doanya kini satu — kesembuhan penuh buat KJ.

“Saya mohon doa semua agar KJ segera pulih. Saya mahu beri sepenuh perhatian kepada anak ini, tanpa diganggu isu-isu yang tidak membawa manfaat,” katanya.

Namun, di sebalik badai yang melanda, tersingkap satu sisi Nilam yang paling mengagumkan — kekuatan mental yang tidak pernah luntur.

Beliau mengakui kini sedang belajar berdamai dengan takdir.

“Allah uji saya dalam banyak perkara, tapi satu demi satu kebenaran terbongkar. Saya pilih jalan tenang. Tahun 2026, perancangan Nilam Empire akan jauh lebih besar,” ujar usahawan itu dengan keyakinan yang jelas terpancar.

Keyakinan itu bukan retorik kosong. Dalam keadaan sarat hamil, Nilam tetap bekerja keras — malah terkenal dengan sifatnya yang tidak pernah berhenti berusaha.

“Air ketuban pecah pun saya buat live. Saya tidak kenal makna putus asa. Saya lady boss, dan saya ada agenda besar selepas ini,” katanya tersenyum namun penuh ketegasan.

Di TikTok, hampir setiap hari Nilam bersiaran mempromosikan tiga produk utamanya — Nilam Suri Massage Oil, Nilam Anggun, dan Susu Kolostrum Za’faran — yang mencatat jualan menggalakkan meskipun beliau sedang melalui fasa mencabar dalam kehidupan peribadi.

KJ merupakan anak pertama hasil perkongsian hidup Nilam dan pelakon Azlan Komeng setelah lima tahun mendirikan rumah tangga. Nilam turut mempunyai seorang anak lelaki berusia tujuh tahun daripada perkahwinan terdahulu.

Namun bagi wanita yang digelar ramai sebagai iron lady ini, setiap dugaan bukan penghalang — malah menjadi batu loncatan untuk bangkit dengan lebih kuat, lebih matang, dan lebih bersedia untuk mengorak langkah baharu.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *