NSOMNIACKS & YONNYBOII SUARAKAN KEJUJURAN EMOSI
DALAM SINGLE BAHARU “BERSUARA”
KUMPULAN band popular tempatan, insomniacks, kembali mencabar zon selesa mereka menerusi single terbaharu berjudul “Bersuara”, sebuah kolaborasi berani bersama artis versatil Yonnyboii. Karya ini bukan sekadar memperlihatkan evolusi bunyi yang lebih berat dan agresif, malah menjadi manifestasi kejujuran emosi tentang keberanian mempertahankan maruah dan menyuarakan kebenaran diri.
“Bersuara” terhasil daripada pengalaman peribadi — rasa terpinggir, tidak didengari dan tekanan emosi yang sering dipendam. Menurut insomniacks, lagu ini lahir daripada detik apabila suara dan pandangan seseorang seolah-olah diketepikan.
“Ini lagu tentang berdiri untuk diri sendiri. Tentang tahu nilai diri dan berani bersuara, terutamanya apabila berdepan dengan penindasan atau buli,” jelas mereka.
Dari sudut muzik, “Bersuara” menampilkan sisi insomniacks yang lebih ‘heavy’, gritty dan lantang, berbeza daripada identiti balada emosional yang sinonim dengan kumpulan ini sebelum ini. Walaupun masih mengekalkan kekuatan emosi sebagai teras, lagu ini membuka ruang eksplorasi bunyi yang lebih tegas — satu perkembangan semula jadi dalam perjalanan artistik mereka.
Kolaborasi bersama Yonnyboii pula menjadi nadi penting kepada keseluruhan karya ini.
“Yonny ialah jiwa kepada lagu ini. Dia menulis hook dan membawa tenaga yang mentah serta berani. ‘Grittiness’ yang dia bawa menjadikan ‘Bersuara’ lebih hidup,” kata insomniacks.
Bagi Yonnyboii sendiri, “Bersuara” merupakan luahan yang sangat dekat dengan realiti hidupnya.
“Lagu ini terhasil bila saya rasa saya tidak didengari oleh sekelompok orang. Jadi saya jadikan ia satu bentuk keyakinan untuk bersuara tentang kesusahan yang saya lalui,” kongsinya.
Menariknya, Yonnyboii turut menampilkan sisi vokal yang lebih berteraskan rock dan alternatif, jauh berbeza daripada gaya rap yang selama ini sinonim dengan namanya.
“Saya sebenarnya lebih lama menjiwai muzik alternatif berbanding rap. Bila masuk ke genre rock, saya rasa lebih selesa. Ini ‘fresh start’ untuk saya kongsi sisi lain diri saya dengan pendengar,” katanya.
Proses kolaborasi bersama insomniacks juga disifatkan sebagai pengalaman yang santai dan menyeronokkan.
“Kerja dengan mereka sangat ‘fun’, tak ada tekanan. Saya harap kolaborasi ini bukan yang terakhir,” tambah Yonnyboii.
Secara keseluruhan, “Bersuara” membawa mesej yang jelas dan tegas — meluahkan lebih baik daripada memendam, dan keberanian bersuara adalah langkah pertama untuk menyembuhkan luka emosi. Melalui lagu ini, insomniacks dan Yonnyboii berharap ia dapat menjadi ruang selamat buat pendengar untuk mengekspresikan perasaan, serta sebagai peringatan keras terhadap isu buli.
“Beranilah bersuara. Dan yang paling penting, hentikan buli,” tegas mereka.
Single “Bersuara” boleh distrim di semua platform penstriman digital bermula 6 Februari 2026.





