BAB 6 – USAI LARA

 Bab 6
 
Menitis air mata melihat bayi yang masih bertali pusat dan beruri dikerumuni semut-semut halus. Hanya tuala membalut tubuh bayi yang masih berlumuran darah.
 
 
 
MAGHRIB itu mereka bersolat jemaah bersama-sama. Aswad Ismadi menjadi imam dengan bacaan yang begitu menusuk kalbu. Pengalaman baru untuk Farid. Dia terasa ketenangan yang tidak pernah dirasakan ketika berada di rumah Arif Mikail ini. Kemesraan kedua beradik itu memang berbeza daripada apa yang biasa dilihat maupun didengar.
 
Keakraban keduanya melebihi apa yang dijangka. Sangka Farid, hubungan Arif Mikail dan  Aswad Ismadi tidak lebih daripada hubungan abang dan adik. Jika ada kasih sayang yang sarat pun, ianya tidak seperti apa yang dilihat. Pandangan dan percakapan Arif Mikail dan Aswad Ismadi bersulam kemesraan yang tulus serta gelak tawa kasih sayang yang jujur. Meskipun rasa hormat tetap ada, Aswad Ismadi tetap melayan Arif Mikail sebagai seorang sahabat baik yang boleh berkongsi apa juga cerita.
 
Selepas berdoa, Aswad Ismadi membuka kitab tafsir hadis Nabi Muhammad S.A.W. Dia membacakan sepotong hadis berkenaan kasih sayang.
 
“Orang-orang yang memiliki sifat kasih sayang akan disayang oleh Allah yang Maha Penyayang, sayangilah semua yang ada di bumi maka semua yang ada di langit akan menyayangimu. Kasih sayang itu bagian dari rahmat Allah, barang siapa menyayangi, Allah akan menyayanginya. Siapa yang memutuskannya, Allah juga akan memutuskannya. Hadis riwayat Tirmidzi.” 
 
“Dalam hidup ini kasih sayanglah yang boleh memberi kekuatan untuk kita menghadapi cabaran kehidupan. Kasih sayang itu ada saktinya. Jangan sempitkan erti kasih sayang itu. Sesama manusia, haiwan, alam semula jadi juga perlu kita sebarkan kasih sayang. Hatta dengan seekor semut sekalipun. Kita perlu berlaku adil dan sentiasa meletakkan kasih sayang sebagai tunjang kehidupan,” tambah Aswad Ismadi dengan tenang. 
 
Tersentuh hati benar Farid mendengar bait-bait kata nasihat dari bibir Aswad Ismadi. Arif Mikail lebih banyak memerhati sambil tekun mendengar. Sesekali dia angguk dan tersenyum. Mengiyakan tazkirah lima minit abangnya itu.
Arif Mikali bangun dan melipat sejadah. Dia mengajak Farid keluar ke anjung. Dia memberi isyarat tentang rutin abangnya yang akan membaca al-Quran dan berzikir sementara menunggu waktu Isyak. Selepas itu barulah mereka akan makan malam. 
 
“Sejak dulu lagi itulah rutin abang. Kalau dia tidak ke masjid, kami akan bersolat bersama. Mengaji dan membaca terjemahan Al-Quran atau hadis. Kata abang, dari maghrib hingga ke Isyak, jangan dipersiakan dengan bercakap kosong. Banyak rahmat di antara waktu itu,” jelas Arif Mikail ketika mereka duduk di pangkin bawah pokok rambutan. 
 
Sayup-sayup kedengaran arus air Sungai Pahang mengalir. Kebetulan rumah Arif Mikail kedudukannya di atas bukit, suasana senja yang mendamaikan begitu jelas kelihatan. Suasana begitu sunyi. Hanya kedengaran suara cengkerik dan katak yang silih berganti bersahutan.
 
“Macam nak hujan je malam ni? Sejuk semacam rasanya,” Farid menyuarakan ramalannya. Dia memeluk tubuh. Angin maghrib yang rakus berpuput seakan memberi tanda hujan akan turun sebentar lagi.
 
“Sekarang musim hujan. Kau tengoklah keruhnya air sungai tu. Macam teh tarik yang kau suka minum tu,” tambah Arif Mikail bersetuju dengan pandangan Farid itu. 
 
“Sangkar ikan patin abang Madi di bawah tu ke?”
“Ada lima belas sangkar patin dan talapia di bawah tu. Selebihnya di hujung sana tu,” beritahu Arif Mikail. 
“Banyak ye. Mesti besar jugak cabarannya menguruskan sangkar ikan patin tu. “
“Semua kerjaya ada cabarannya. Lebih-lebih lagi waktu hujan sebegini. Ikatan tali setiap sangkar mesti kuat. Kalau tidak akan dihanyutkan air. Itu belum kalau ada batang kayu yang melanggarnya. Silap hari bulan semua benih anak ikan dan yang dewasa akan mati atau terlepas.” 
 
“Rumah rakit sana tu masih ada orang duduk ke?”
“Ada. Masih ramai yang tinggal di sana. Nanti kita melawat mereka. Aku ramai kawan yang tinggal di rumah rakit.”
 
Farid pantas membayangkan kehidupan serba sederhana jika tinggal di rumah rakit sebegitu. Tiada kemudahan seperti di darat namun ianya tetap memberikan pengalaman terindah untuk mereka yang tinggal di sana. Dia sendiri teringin untuk berbuat sedemikian, tetapi dia kurang yakin dengan kesabaran dirinya. Barangkali sehari dua untuk merasai pengalaman baru memadai. 
 
Selepas solat Isyak, Arif Mikail masuk ke biliknya. Dia ingin berbaring sebenar. Tubuhnya terasa sedikit penat. Dia berpesan kepada Farid agar mengejutkannya ketika waktu makan malam. Aswad Ismadi sedang sibuk di dapur menyiapkan juadah. Farid ingin membantu tetapi dilarang. Aswad Ismadi menyuruh Farid menonton tv sahaja. Dia tetamu.  Tetamu harus dilayan sebaik mungkin. Bukan sebarang tetamu. Datang dari Kuala Lumpur. Justeru dia tidak mahu membebankan Farid dengan suasana kampung yang belum biasa untuknya itu.
 
“Ari mana?” tanya Aswad Ismadi ketika melihat Farid menonton sendiri. Dia memandang keliling mencari kelibat adik kesayangannya itu.
“Ada dalam bilik tu. Katanya nak baring sekejab sementara tunggu abang siapkan makan malam,” jawab Farid dengan ramah. 
“Sekejab lagi kita makan ye? Abang tengah panaskan gulai lemak ni. Lepas tu nak goreng sambal petai udang, kegemaran Ari tu. Dia kalau balik, tak ada sambal petai udang ni merajuk nanti tu.”
“Pandai abang masak. Saya ni pandai makan saja,” cerita Farid seraya mengekori Aswad Ismadi ke dapur.  Dia duduk di meja makan sambil melihat Aswad Ismadi menyiapkan bahan-bahan memasak sambal petai udang.
“Masakan orang bujang, Farid. Bolehlah kalau sekadar nak makan kita berempat ni. Kalau tak sedap diam-diam saja tau…” Aswad Ismadi bergurau sambil tangannya pantas memotong bawang. Begitu teratur sekali. Seperti tukang masak professional.
 
“Berempat?” terpacul pertanyaan dari mulut Farid. Dia yang mencuba memotong bawang putih terhenti. Diletakkan bawang ke tepi. Siapa pula yang akan datang nanti?
“Kita ada tetamu malam ni. Nak meraikan kedatangan kau orang berdua lah…” jawab Aswad Ismadi tersenyum penuh erti. 
 
Farid pasti tetamu yang datang adalah antara kawan sekampung Arif Mikail sendiri. Tidak pula Arif Mikail memberitahu tentang tetamu lain yang akan datang.  Farid  cuba pula membuat tekaan Suraya yang akan datang. Tetapi hatinya cepat-cepat membantah. Mana mungkin Suraya datang dalam waktu malam begini. Kalau datangpun mesti sebelah siang. Tidak manis anak dara berkunjung rumah orang bujang. Hidup di kampung adab susila perlu dijaga.
“Apa yang difikirkan tu. Kata nak potong bawang putih tu. Abang dah nak mula masak ni,” tegur Aswad Ismadi ketawa kecil. Farid termalu sendiri. Dia terbawa dek fikirannya. Terlebih peduli pulak dia. Rumah Aswad Ismadi dan Arif Mikail, sesiapapun boleh datang melawat. 
Dua puluh minit kemudian semuanya sudah tersedia. Di meja makan  terhidang gulai lemak kobis, sambal petai udang, ikan talapia goreng berserta ulam kampung dan sambal tempoyak. Seteko teh o ais  pelengkap selera berserta potongan manga sebagai pemanis mulut. 
Farid ke bilik. Dia mengejutkan Arif Mikail untuk bangun makan. Terpisat-pisat Arif Mikail bangun. Dia mengemaskan diri. Disisirnya rambut dan ikatan kain pelekat dikemaskan, dia yang hanya berbaju melayu itu melangkah keluar bilik. Bau sambal petai yang semerbak itu memberikan dia kesegaran dan selera yang berbunga-bunga. Pandai sungguh abang  mengambil hati. Tidak pernah terlupa hidangan kegemarannya. 
Namun sebaik sahaja tiba ke ruang dapur, dia terpana sendiri. Dia terasa bermimpi. Dia gosok matanya berkali-kali. Ternyata apa yang dilihatnya bukan mimpi. 
Seperti mana Arif Mikail kaget dengan apa yang dilihat, begitu juga dengan Farid. Dia terlopong. Melihat senyuman Sulaiman dan ‘tetamu’ yang tidak diduga itu, jantung Farid bagaikan terhenti. Dia pasti kedatangan ‘tetamu’ itu bukan kebetulan. Ada cerita lain di sebalik kedatangan itu. 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *