KES SAMAN FITNAH: NUR NILAM ORTIZ & AZLAN KOMENG MENANG PERINTAH INJUNKSI – “INI LANGKAH PERTAMA UNTUK KEBENARAN”
KUALA LUMPUR, 5 November 2025 —
Foto : Amizan Ahmad
PASANGAN selebriti dan usahawan, Nur Nilam Ortiz dan Azlan Komeng, menghela nafas lega apabila Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan injunksi inter partes terhadap seorang individu bernama Norsufiah, atau lebih dikenali sebagai CP, berhubung kenyataan berunsur fitnah yang dikaitkan dengan mereka sebelum ini.
Melalui perintah tersebut, mahkamah melarang pihak CP daripada mengeluarkan atau menyiarkan sebarang kenyataan berpotensi fitnah terhadap pasangan itu sehingga kes saman difailkan oleh mereka selesai sepenuhnya.
Pasangan berkenaan diwakili oleh firma guaman Tetuan Kung, Yudhist, Anis, Rasyid Aziana & Co, yang mengesahkan bahawa mahkamah membenarkan injunksi berkenaan selepas meneliti segala dokumen dan hujahan kedua-dua pihak.
Bagi Nur Nilam Ortiz, keputusan ini memberi kelegaan besar selepas melalui tempoh penuh tekanan akibat pelbagai tohmahan dan tuduhan tidak berasas di media sosial.
“Saya anggap ini langkah pertama untuk menegakkan kebenaran. Kami bukan mahu mencari kontroversi — cuma mahu membersihkan nama dan teruskan hidup dengan tenang. Semoga perjalanan ini berakhir dengan keadilan yang sebenar,” kata Nilam dengan nada sebak.
Sementara itu, Azlan Komeng turut menegaskan bahawa tindakan undang-undang diambil bukan kerana dendam, tetapi demi maruah dan hak mereka sebagai individu.
“Kami percaya setiap manusia ada had kesabarannya. Bila maruah dan nama baik diganggu, undang-undang harus jadi pelindung. Ini tentang prinsip dan tanggungjawab terhadap diri sendiri,” ujar Azlan.
Perintah injunksi ini menandakan permulaan bab baharu buat pasangan selebriti itu, yang kini mahu memberi tumpuan kepada kerjaya dan kehidupan peribadi tanpa gangguan negatif.





